Skip to main content

Singapura

Penduduk Marsiling, Yew Tee lancar usaha Beriani amal, anjur solat hajat dan tahlil untuk mangsa di Gaza

Para penduduk Marsiling dan Yew Tee bergabung tenaga sekali lagi untuk mengumpul dana bagi mangsa perang di Gaza. Kali ini mereka bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan kempen itu dilancarkan pada Khamis (14 Nov) di Masjid An-Nur.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Marsiling, Yew Tee lancar usaha Beriani amal, anjur solat hajat dan tahlil untuk mangsa di Gaza

(Masjid An-Nur\Facebook)

SINGAPURA: Para penduduk Marsiling dan Yew Tee bergabung tenaga sekali lagi untuk mengumpul dana bagi mangsa perang di Gaza.

Kali ini mereka bekerjasama dengan Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dan kempen itu dilancarkan pada Khamis (14 Nov) di Masjid An-Nur.

Sebelum ini, lebih S$108,519 sudahpun dikumpulkan menerusi pengumpulan dana yang diusahakan penduduk Marsiling-Yew Tee.
(Zaqy Mohamad\Facebook)
Berbanding usaha pengumpulan dana melalui sumbangan tabung dan online sebelum ini, format kali ini berbeza dan ia dilakukan menerusi penjualan Nasi Beriani amal.

Setiap kupon nasi beriani itu dijual pada harga S$10 setiap satu.

Orang ramai boleh membeli kupon di kelab-kelab masyarakat di kawasan Marsiling-Yew Tee termasuk Kelab Masyarakat Marsiling, Kelab Masyarakat Yew Tee, Balai Rakyat Woodgrove dan Pejabat Kawasan Limbang ataupun membuat tempahan secara online.

Nasi beriani itu kemudian boleh diambil di empat tempat yang ditetapkan pada tarikh-tarikh 24 November, 1 dan 6 Disember.

"Kami melihat ramai di antara kita rasa mereka mahu menyumbang. Mereka juga sedih dengan apa yang terjadi di Gaza. Kita memberi platform supaya kita semua dapat berganding bahu membawa bersama dan ini salah satu usaha 'ground up' daripada Marsiling-Yew Tee untuk kita membawa masyarakat kita bersama," kata Penasihat GRC Marsiling-Yew Tee, Zaqy Mohamad.
Meskipun baharu sahaja dilancarkan, respons yang diterima cukup memberangsangkan.

"Saya terharu dengan sumbangan daripada masyarakat. Kita sudah menjual lebih daripada 1,300 pek nasi beriani. Pada minggu-minggu yang akan datang, kami telah mendapat jualan awal di mana kita melihat sumbangan yang agak baik juga daripada masyarakat. Insya-Allah pada 6 Disember, kita akan memberi sumbangan keseluruhannya daripada Marsiling-Yew Tee GRC," jelasnya.

Selain membeli kupon beriani amal, orang ramai juga boleh memilih untuk menderma secara tunai sahaja.

Majlis pelancaran yang diadakan di Masjid An-Nur di Admiralty Road itu turut disertai Datuk Bandar Daerah Barat Laut, Alex Yam dan Penasihat Kedua Limbang, Ong Teng Koon.

SOLAT HAJAT DAN TAHLIL ERATKAN SILATURAHIM ANTARA PENDUDUK

Bersempena dengan pelancaran usaha amal itu, Masjid An-Nur juga menganjurkan sebuah sesi solat hajat dan bacaan tahlil yang diadakan selepas solat Maghrib buat mangsa di Gaza.

"Acara seperti solat hajat ini dapat mengumpulkan penduduk berdekatan untuk kita sama-sama adakan satu acara bagi kita mendoakan saudara-saudara seIslam kita yang berada dalam keadaan yang mencabar.

"Mudah-mudahan pertemuan seperti ini yang dijalankan dapat mengeratkan silaturahim antara kita dan mengukuhkan lagi perpaduan antara kita insya-Allah," kata Pegawai Agama Kanan Masjid, Ustaz Md Zuhaili Md Yusof.
(Masjid An-Nur\Facebook)
Bagi penduduk seperti Encik Mohd Noh Tahir, beliau berbangga dan teruja kerana dapat menabur bakti kepada usaha murni itu.

"Sebagai penduduk di Marsiling-Yew Tee hampir 30 tahun saya mendapati masyarakat di Marsiling-Yew Tee ini banyak membuat bantuan. Harapan saya semoga apa yang kita dapat ini, dapat sampai matlamatnya membantu orang-orang yang memerlukan," kata Encik Mohd Noh.
(Zaqy Mohamad\Facebook)
Dalam memupuk semangat perpaduan antara agama, acara itu turut menarik para penduduk bukan Islam.

"Saya sangat berbangga kerana dapat menyumbang kepada tujuan kemanusiaan ini. Saya juga gembira melihat masyarakat berkumpul untuk menyokong dan adalah sangat menggembirakan untuk dapat berkumpul sebagai sebuah masyarakat yang penyayang. Jadi saya fikir setiap usaha kecil adalah penting dan saya fikir kita harus menyokongnya," kata Cik Jeslin Sin.

Secara keseluruhan, lebih 800 penduduk menyertai acara pelancaran kempen pengumpulan derma itu.

Orang ramai boleh terus menyumbang kepada usaha tersebut hingga Jumaat (6 Dis) manakala usaha pengumpulan dana RLAF akan diteruskan hingga Jumaat (13 Dis).
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita