Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk Marsiling terkejut terpaksa berpindah; berat hati tinggalkan 'kampung kesayangan'

Anggaran Waktu Membaca:
 Penduduk Marsiling terkejut terpaksa berpindah; berat hati tinggalkan 'kampung kesayangan'

Encik Md Nurezwan Mazlan, 31 tahun, bersama ibu bapanya, Cik Moharani Mahadi, 72 tahun dan Encik Mazlan Long, 73 tahun, di flat mereka di Blok 218, Marsiling Crescent, pada 26 Mei 2022. (Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)

Diterbitkan : 27 May 2022 12:23PM Dikemas Kini : 27 May 2022 07:28PM
SINGAPURA: Sesetengah penduduk di Marsiling yang terjejas dengan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands berkata bahawa mereka berasa terkejut kerana terpaksa berpindah keluar pada hujung 2028.

Ini lebih-lebih lagi setelah mereka mula menyukai kejiranan masing-masing.

Masyarakat di Blok 210 hingga 218 Marsiling Crescent/Lane misalnya, sudah memupuk "semangat kampung bergotong-royong", dengan para penduduk memuji kawasan itu kerana keamanannya, selain kawasan kediaman mereka terletak berhampiran dengan Woodlands Waterfront dan pemandangan Selat Johor yang terbentang luas.

Pihak berkuasa mengumumkan pada Khamis (26 Mei) bahawa sembilan blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan diperolehi sebagai sebahagian daripada projek peluasan tersebut, dengan matlamat untuk mengurangkan kesesakan dan menyingkatkan masa perjalanan bagi menangani jumlah lalu lintas yang dijangka akan terus meningkat.
Para penduduk dan penyewa yang ditemui Mediacorp pada Khamis (26 Mei) berkata bahawa berita itu diumumkan secara mengejut. Ini meskipun sesetengah penduduk sudah terdengar khabar angin tentang rancangan tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ramai juga yang mengatakan bahawa mereka mungkin akan menimbangkan untuk berpindah ke flat-flat HDB yang terletak di luar kawasan Woodlands Street 13.

Para penduduk menerima kiriman mesej daripada pihak berkuasa mengenai berita tersebut sekitar 12.00 tengah hari semalam, sedang para pegawai daripada agensi-agensi berkenaan berkunjung dari rumah ke rumah di blok yang terjejas untuk menangani sebarang keprihatinan.

Sesetengah penduduk juga dilihat sedang berbincang mengenai berita tersebut dengan satu sama lain di ruang-ruang umum ketika para pegawai HDB melakukan lawatan ke kawasan tersebut untuk mengedarkan risalah.

Pemandu kereta sewa privet, Encik Mohd Said Abdullah, 66 tahun, yang sudah tinggal di Blok 212 selama 22 tahun berkata bahawa beliau berhasrat untuk terus menetap di flat empat bilik itu sepanjang hayatnya supaya ketiga-tiga anaknya dapat mewarisi flat tersebut pada masa akan datang.

Sungguhpun demikian, Encik Said menjelaskan bahawa beliau tidak marah dengan langkah itu, beliau sebaliknya percaya pada takdir dan "kehidupan perlu diteruskan".

"Apa guna marah, apa yang boleh dilakukan? Ia sama seperti kami marah pada ayam (daripada Malaysia) yang dilarang masuk, apa yang boleh dilakukan? Jika tiada ayam, maka itu kita perlu mencari pilihan lain dan makan ikan," kata beliau.

Beliau bagaimanapun masih belum pasti sama ada mahu berpindah ke flat baru di Woodlands Street 13 kerana beliau tidak begitu selesa dengan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang lebih kecil. Sebaliknya, beliau bercadang untuk mencari flat jualan semula yang lebih besar di kawasan berhampiran. Ini meskipun beliau terpaksa melepaskan geran Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS).

"Saya tidak bercadang untuk tunggu enam tahun untuk mendapatkan flat baru itu," tambah beliau.

Begitu juga bagi penduduk Blok 212, Encik Ishak Halil, yang turut "terkejut" dengan berita itu, lebih-lebih lagi memandangkan beliau baru sahaja berpindah ke flat tiga bilik itu sekitar dua tahun lalu dan melakukan ubah elok pada unit tersebut baru-baru ini.

"Kami suka dengan kawasan ini; ia nyaman dan kami ada jiran yang baik," kata penduduk berusia 57 tahun itu ketika duduk di luar flatnya sambil membelek-belek buku panduan yang diberikan oleh para pegawai HDB.

"Pada usia saya sekarang, saya fikir flat ini adalah kediaman terakhir saya. Tiba-tiba en bloc, kami terpaksa berpindah lagi."

Encik Ishak, kontraktor ubah elok, menegaskan bahawa selagi boleh beliau berhasrat untuk terus tinggal di flat tiga biliknya. Beliau membeli unit itu pada harga sekitar S$200,000 dan beliau berhasrat untuk melihat berapa banyak pampasan akan diberikan sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Dalam pada itu, para penyewa komersial di Blok 210 lebih bersikap terbuka terhadap pengumuman tersebut.

Encik Winson Ng, pengarah urusan Yassin Kampung Group yang mengendalikan sebuah restoran makanan laut di blok tersebut menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu "yang mengejutkan dan berlaku secara tiba-tiba" meskipun ia sudah dijangkakan dan estet tersebut akan dibangunkan semula pada satu hari nanti.

Malah, ini merupakan kali kedua cawangannya terpaksa berpindah selepas lokasi sebelumnya di Blok 1A Woodlands Centre Road dipilih untuk SERS pada 2012.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan