Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk lega selepas rekahan besar tembok blok HDB Punggol diperbaiki

Kerja-kerja memperbaiki tembok retak di sebuah blok perumahan awam di Punggol diselesaikan oleh pihak berkuasa pada Jumaat (11 Sep), sebulan selepas para penduduk menyuarakan keprihatinan mengenai keutuhan struktur bangunan berkenaan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk lega selepas rekahan besar tembok blok HDB Punggol diperbaiki

HDB mendapatkan sebuah kontraktor untuk membaiki rekahan di Blok 310A Waterway Terraces II. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 15 Sep 2020 09:44AM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 09:46AM

SINGAPURA: Kerja-kerja memperbaiki tembok retak di sebuah blok perumahan awam di Punggol diselesaikan oleh pihak berkuasa pada Jumaat (11 Sep), sebulan selepas para penduduk menyuarakan keprihatinan mengenai keutuhan struktur bangunan berkenaan.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan awal bulan ini, dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp, bahawa ia sudahpun mendapatkan khidmat kontraktor untuk memperbaiki panel-panel tembok yang tidak sejajar di Blok 310A Waterway Terraces II.

Sebelum ini, Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol menyatakan ia sudahpun memperbaiki rekahan plaster dan mengecat garis cantuman itu namun para penduduk tidak berpuas hati dengan pembaikan awal tersebut.

Mediacorp pertama kali melaporkan tentang rekahan di permukaan blok itu pada awal Ogos selepas gambar-gambar menunjukkan kerosakan tersebut dimuat naik dalam sebuah kumpulan Facebook tertutup dianggotai para penduduk, lantas menyebabkan ramai daripada mereka meluahkan keprihatinan.

Majlis bandaran dan HDB kemudian memberi jaminan bahawa pihaknya tidak mengesan sebarang masalah keselamatan berikutan satu pemeriksaan di blok berkenaan.

Ia menambah garis rekahan itu disebabkan oleh sedikit masalah penjajaran pada panel-panel pratuang.

Dalam satu notis yang diletakkan di lobi lif blok itu untuk memaklumkan para penduduk tentang kerja-kerja pembaikan pada permukaan blok tersebut, kontraktor Tiong Seng Contractors Pte Ltd menyatakan ia menerima maklum balas daripada penduduk yang prihatin masalah penjajaran panel itu menimbulkan risiko keselamatan.

Notis itu menambah bahawa kerja-kerja pembaikan, yang bermula Isnin lalu, dijalankan untuk menangani keprihatinan penduduk. Ia juga menasihati penduduk akan tarikh dan masa kerja-kerja itu dijalankan.

“Kami juga ingin memberi jaminan bahawa kami sudah memeriksa permukaan serta memastikan ia bukan kerosakan struktur dan tidak akan menjejas keutuhan struktur bangunan," menurut notis itu.

Kerja-kerja pembaikan dialu-alukan oleh penduduk blok tersebut, yang selama beberapa bulan berasa resah tentang sama ada tembok yang retak itu akan roboh dan membahayakan nyawa.

Salah seorang penduduk, Cik Suhaila Shariff, 37 tahun, berkata kerja pembaikan awal oleh majlis bandaran tidak memuaskan kerana cantuman panel-panel itu masih tidak sejajar dan rekahan pada struktur lantai di atasnya masih kelihatan.

Guru prasekolah itu lebih berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan oleh kontraktor tersebut kali ini kerana panel-panelnya kelihatan sejajar, ditampal dan diberi lapisan cat baru.

Penduduk lain seperti para peniaga dari rumah, Cik Fizah Yusoff, 41 tahun dan Cik Sarah Yeo, 34 tahun, bersetuju bahawa kerja-kerja pembaikan itu meredakan kebimbangan mereka.

Cik Yeo berkata beliau berasa lega permukaan yang merekah itu sudahpun diperbaiki dan menantikan estet itu untuk diperbaharui pada masa kelak.

Cik Fizah, bagaimanapun, masih meragui keutuhan struktur bangunan itu dengan berkata bahawa rekahan-rekahan lain di blok berkenaan masih jelas kelihatan dan belum diperbaiki.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan