Penduduk kian menua, kemajuan bidang perubatan sumbang kepada kenaikan kos jagaan kesihatan
Penduduk yang kian menua, kemajuan dalam bidang perubatan dan kos operasi lebih tinggi, adalah antara faktor yang menyumbang kepada perbelanjaan jagaan kesihatan lebih tinggi di Singapura, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen hari ini (2 Nov).

Gambar hiasan.
SINGAPURA: Penduduk yang kian menua, kemajuan dalam bidang perubatan dan kos operasi lebih tinggi, adalah antara faktor yang menyumbang kepada perbelanjaan jagaan kesihatan lebih tinggi di Singapura, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Koh Poh Koon di Parlimen hari ini (2 Nov).
Dr Koh berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Anggota Parlimen (AP) Ang Mo Kio, Ng Ling Ling, tentang "sebab-sebab utama kenaikan kos jagaan kesihatan" dan "sasaran untuk mengekalkan kenaikan kos dalam jangkaan yang ditetapkan dan diberitahu kepada rakyat dalam tempoh lima tahun ke depan".
Dr Koh berkata, dengan penduduk yang kian menua di Singapura, pesakit lebih tua sering kali mengalami lebih daripada satu masalah kesihatan, di tambah pula dengan komplikasi lain - semuanya memerlukan perhatian perubatan, ubat-ubatan, prosedur perubatan dan rawatan di hospital untuk tempoh lebih lama.
Pada 2019, pesakit berusia 65 tahun dan ke atas secara purata duduk di hospital awam selama 6.9 hari berbanding 3.9 hari bagi mereka yang berusia bawah 65 tahun.
"Maka itu, apabila kita lebih berumur, kemungkinan besar kita perlu berbelanja lebih bagi jagaan kesihatan. Dan secara kolektif, dengan kita mempunyai lebih ramai warga emas dalam masyarakat kita, perbelanjaan jagaan kesihatan secara keseluruhannya juga akan meningkat," kata Dr Koh sambil menambah, perbelanjaan Kementerian Kesihatan bagi sektor jagaan jangka panjang melonjak dari S$296 juta kepada S$723 juta antara 2013 dengan 2018, iaitu kenaikan 20 peratus setiap tahun.
Pada September, Majlis MediShield Hayat menyarankan agar premium bagi insurans jagaan kesihatan kebangsaan Singapura dinaikkan, dengan jumlah premium mungkin bertambah sehingga 35 peratus bagi sesetengah pemegang polisi insurans. Kos jagaan kesihatan disebut sebagai antara faktor premium semakin meningkat.
KEMAJUAN DALAM PERUBATAN, KOS OPERASI LEBIH TINGGI
Kemajuan dalam bidang perubatan akan bermakna, penyakit yang sebelum ini sukar dirawat, kini boleh ditangani. Rawatan-rawatan cara lama juga boleh digantikan dengan kaedah-kaedah baru meski lebih mahal, kata Dr Koh.
"Kemajuan-kemajuan ini boleh meningkatkan lagi jangka hayat dan mutu kehidupan, tetapi ada harganya," tambah beliau.
Misalnya, pembedahan penggantian lutut - yang tidak tersedia pada masa lalu - menjadi lebih biasa bagi mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas, sepanjang 20 tahun lalu. Pada 1999, terdapat 187 pesakit bagi setiap 100,000 penduduk berusia 65 tahun dan ke atas yang menjalani pembedahan ini. Jumlah tersebut meningkat kepada 499 pesakit pada 2019, menurut Dr Koh.
Sementara itu, kos operasi juga terus meningkat dengan kos tenaga manusia membentuk 60 peratus kos jagaan kesihatan.
"Kenaikan kos tenaga manusia ini akhirnya menjejas kos jagaan kesihatan secara keseluruhannya," jelas Dr Koh.
Namun, beliau menegaskanm pemerintah akan memastikan bahawa rakyat Singapura akan sentiasa mendapat akses kepada khidmat jagaan kesihatan bermutu tinggi yang sesuai dan termampu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.