Skip to main content

Singapura

Penduduk kesan kerosakan di kondominium Hazel Park susuli operasi pelupusan bom Perang Dunia Kedua

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk kesan kerosakan di kondominium Hazel Park susuli operasi pelupusan bom Perang Dunia Kedua

(Gambar-gambar oleh para penduduk kondominium Hazel Park)

Diterbitkan : 26 Sep 2023 11:56PM

INGAPURA: Beberapa kerosakan dilihat di sebuah kondominium berhampiran kawasan letupan terkawal dan pelupusan bom Perang Dunia Kedua di sebuah tapak binaan di Upper Bukit Timah pada Selasa (26 Sep).

Kondominium Hazel Park terletak sekitar 200 meter dalam kawasan tapak bom itu. Para penduduknya adalah antara mereka yang terpaksa berpindah sewaktu operasi, di mana unit pelupusan senjata letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) melupuskan relik perang melalui dua letupan terkawal.

Pemeriksaan keselamatan dijalankan dan para penduduk di kawasan itu diberi izin pulang ke rumah sekitar pukul 5.00 petang.

Walaupun sebahagian besar penduduk yang berpindah mendapati bahawa tiada kerosakan yang dikesan pada rumah mereka, segelintir penduduk Hazel Park menemui kerosakan di beberapa kawasan umum di kondominium itu.



Gambar yang tersebar dalam kumpulan sembang penduduk di sana menunjukkan kepingan plaster yang jatuh dan tingkap retak yang dihadang dengan pita, dengan tanda amaran supaya penduduk tidak menyentuh tingkap yang terjejas.

Seorang penduduk Hazel Park memberitahu CNA bahawa beliau melihat keretakan pada panel kaca yang menghadap tapak letupan itu.

"Saya lihat ada retakan pada panel kaca di bahagian tepi pintu di lobi utama Blok 21. Blok 21 adalah salah satu di antara dua blok yang berhadapan tapak letupan itu," kata penduduk itu yang tidak mahu namanya didedahkan.

Penduduk itu juga mendapati bahawa terdapat "kepingan plaster" di lantai di lobi lif bawah tanah di Blok 17 kondominium itu, satu lagi bangunan yang berhadapan tapak letupan itu.



Menurutnya, plaster yang terjatuh itu "betul-betul di bawah apa yang kelihatan seperti panel akses di siling palsu."

CNA menghubungi Penguasa Bangunan dan Pembinaan untuk mendapatkan maklumat lanjut, termasuk sama ada kerosakan harta benda di Hazel Park itu disebabkan oleh letupan bom.

Pertanyaan juga sudah diserahkan kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kerosakan yang terjadi.

Bom pesawat Perang Dunia Kedua seberat 100kg itu dijumpai minggu lalu di tapak binaan kondominium Myst berhampiran stesen MRT Cashew.

Kedua-dua letupan itu dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari dan 1.45 tengah hari. Letupan yang terakhir itu boleh didengar di Kelab Masyarakat Senja-Cashew, sejauh dua kilometer daripada tapak letupan.

Kelab masyarakat itu dijadikan sebagai kawasan menunggu bagi para penduduk yang terjejas.

Bagi memastikan operasi dijalankan dengan selamat, beberapa jalan raya tertentu di sekitar kawasan itu turut ditutup.

Lebih 4,000 orang yang tinggal dan bekerja di kawasan itu dipindahkan akibat operasi pelupusan bom.

Insiden terakhir yang dilaporkan mengenai relik Perang Dunia Kedua yang belum disiasat adalah pada tahun 2019, apabila bom pesawat seberat 50kg ditemui di Jiak Kim Street di kawasan River Valley. Ia turut ditemui semasa kerja-kerja penggalian di sebuah tapak pembinaan.

Pada 2016, unit pelupusan senjata letupan SAF turut melupuskan relik perang seberat 100kg yang ditemui di tapak binaan di Mandai.

Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita