Skip to main content

Singapura

Penduduk HDB akan terima baucar GST biayai bil api air bulan ini

Sekitar 930,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima agihan Baucar GST - rebat U-Save seterusnya pada Januari. Demikian diumumkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (2 Jan). 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk HDB akan terima baucar GST biayai bil api air bulan ini

Blok HDB di Singapura. (Gambar fail: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 02 Jan 2020 12:28PM Dikemas Kini : 02 Jan 2020 12:30PM

SINGAPURA: Sekitar 930,000 isi rumah warga Singapura yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan menerima agihan Baucar GST - rebat U-Save seterusnya pada Januari. Demikian diumumkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Khamis (2 Jan).

Rebat tersebut, yang merupakan sebahagian daripada skim Baucar GST tetap, diagihkan setiap tiga bulan. Ia membantu isu rumah untuk membiayai bil api air dan mengurangkan perbelanjaan mereka, menurut kementerian tersebut.

Rebat U-Save sehingga S$300 juta secara keseluruhan dijangka diagihkan sehingga hujung Mac 2020.

Isi rumah yang layak akan menerima rebat sehingga S$100 pada Januari, bergantung kepada jenis flat mereka.

Rebat tahunan itu setara dengan bil api air selama tiga hingga empat bulan bagi mereka yang tinggal di flat-flat HDB satu dan dua bilik, menurut MOF.

Bagi mereka yang tinggal di flat-flat HDB tiga dan empat bilik, tambah MOF, rebat pula setara dengan bil api air sekitar satu hingga dua bulan.

SP Group pada Isnin (30 Dis) mengumumkan tarif elektrik bagi pengguna akan meningkat sebanyak 3.5 peratus atau 0.81 sen bagi setiap kilowat jam (kWj), kepada 24.24 sen dalam tempoh Januari hingga Mac.

Tarif terkini itu akan menjadi kadar tertinggi sejak suku akhir 2014 apabila ia berharga 25.28 sen setiap kWj.

Sebagai contoh, keluarga yang tinggal di flat satu bilik boleh menjangkakan bil bulanan purata meningkat sebanyak S$1.02 manakala mereka yang tinggal di flat lima bilik pula boleh menjangkakan bil naik sehingga S$3.20.

City Gas juga pada Isnin mengumumkan tarif gas bagi pengguna akan jatuh sebanyak 4.22 peratus atau 0.76 sen setiap kWj dalam suku pertama tahun ini.

'Kami ingin meyakinkan warga Singapura bahawa terdapat banyak skim yang diadakan untuk membantu dengan kos sara hidup termasuk subsidi mencukupi untuk perumahan, jagaan kesihatan dan pendidikan," kata Cik Indranee Rajah, Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Kewangan merangkap Pendidikan, dalam satu kenyataan media.

"Pemerintah akan sentiasa mencari cara untuk membantu rakyat Singapura dengan kos sara hidup mereka terutamanya sewaktu tempoh ekonomi yang tidak menentu ini," tambah beliau.

Lebih banyak maklumat tentang Baucar GST boleh didapatkan di www.gstvoucher.gov.sg

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita