Penduduk GRC Marine Parade & Tampines akan terus dijaga, kata para menteri
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong (tengah) melangkah keluar daripada sesi MPS di Chai Chee pada 17 Jul 2023. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)
Encik Tong berkata demikian semasa menjalani sesi bertemu penduduk (MPS). Beliau kini menggantikan mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin yang meletak jawatan kerana menjalin hubungan sulit dengan mantan Anggota Parlimen Tampines Cheng Li Hui.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong terdahulu pada Isnin (17 Jul) mengatakan bahawa Encik Tong akan menjaga para penduduk Kembangan-Chai Chee di GRC Marine Parade sementara Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli akan melakukan perkara sama di bahagian timur GRC Tampines.
"Saya rasa kestabilan itu penting. Saya dan rakan-rakan seperjuangan akan meneruskan kerja baik yang sudah dilakukan di sini," ulas Encik Tong. "Kami akan memastikan keutamaan kami adalah kebajikan dan keperluan para penduduk."
Beberapa penduduk masih lagi didampingi dalam sesi MPS di Blk 35 Chai Chee Avenue apabila Encik Tong melangkah keluar dan bertemu pihak media pada sekitar jam 7.55 malam. Selepas memberi kenyataan ringkas, beliau enggan menjawab pertanyaan lain daripada para wartawan lalu segera meninggalkan tempat itu dengan menaiki sebuah kereta.
AP lain di GRC Marine Parade ialah Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng, Encik Seah Kian Peng dan Encik Mohd Fahmi Aliman.
Bercakap kepada para wartawan sebelum menghadiri sesi MPS, Encik Masagos berkata beliau ingin memberi jaminan kepada para penduduk bahawa keperluan mereka akan dipenuhi.
AP GRC Tampines, Desmond Choo, akan menggantikan Cik Cheng Li Hui sebagai pengerusi Majlis Bandaran Tampines. Encik Baey Yam Keng pula akan menjadi naib pengerusi majlis bandaran itu.
Dr Koh Poh Koon merupakan seorang lagi AP GRC Tampines.
"Pasukan Tampines akan terus menjalankan dan menyediakan khidmat kepada para penduduk, tanpa sebarang perubahan pada mutu perkhidmatan kami. Majlis bandaran akan menjalankan khidmat-khidmat seperti biasa," kata Encik Masagos.
"Semua akar umbi juga akan terus menawarkan khidmat untuk memastikan masyarakat di sini terus bersatu padu, dan pastinya, Hab Tampines Kita akan menjalankan semua rancangan bagi para penduduk kami, sebagaimana yang sudah kami lakukan sepanjang beberapa tahun lalu. Jadi ia hanya soal mengisi dan pembahagian tugas (yang berubah)."
Cik Cheng, yang menjadi AP bagi Tampines sejak terjun ke dalam dunia politik pada 2015, berkata dalam suratnya kepada Perdana Menteri bahawa beliau "sangat kesal perlu meletak jawatan dalam keadaan sebegini".
"Li Hui selama ini berkhidmat kepada para penduduk dan kami menghargai kepimpinan beliau dalam Majlis Bandaran Tampines sepanjang bersama kami," tulis Encik Masagos menerusi satu catatan Facebook pada Isnin (17 Jul).
Di bawah kempimpinan Encik Choo dan Encik Baey, "Majlis Bandaran akan terus beroperasi dengan lancar dan tanpa sebarang gangguan," tambahnya.
"Para penduduk GRC Tampines boleh bertemu atau menulis kepada kami sekiranya memerlukan bantuan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.