Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk flat baharu BTO Punggol berdepan masalah 'timbunan' sampah yang dibuang di tempat letak kereta

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk flat baharu BTO Punggol  berdepan masalah 'timbunan' sampah yang dibuang di tempat letak kereta

Gambar: Penduduk di Blok 448B Punggol Way

SINGAPURA: Apabila Andy Ke berpindah ke flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di Punggol pada awal 2024, tidak terlintas di fikirannya beliau perlu menangani masalah sampah untuk beberapa bulan akan datang.

Gambar-gambar yang dikongsi penduduk estet Punggol Point Cove berusia 41 tahun itu, menunjukkan kotak kadbod besar dan kepingan plastik yang dibuang di laluan pejalan kaki.

Apabila Mediacorp meninjau blok berkenaan pada Rabu (12 Jun), terdapat beberapa kotak kadbod besar serta bingkai yang diperbuat daripada kayu ditinggalkan di sebuah tempat letak kereta bawah tanah. Ini meskipun tindakan pembuangan secara sembarangan membawa hukuman denda sebanyak S$1,000.

Encik Ke, seorang pengarah sebuah syarikat logistik, berkata sejak pertama kali beliau ternampak sampah itu, ia mengambil masa selama sebulan sahaja sebelum ia menjadi "timbunan" sampah yang hampir mencecah siling.

"Saya (tidak boleh) menahannya lagi. Saya merasakan bahawa sesuatu mesti dilakukan. Seseorang mesti mengatakan sesuatu mengenainya," luah Encik Ke, sambil menambah bahawa beliau bimbang ia akan mencetuskan bahaya kebakaran mahupun infestasi tikus.
Gambar: Natasha Ganesan/CNA
Penduduk-penduduk lain juga berkongsi dengan Mediacorp mengenai seorang lelaki warga emas yang hampir tergelincir, serta apabila seorang amah bergelut untuk menolak warga emas yang berkerusi roda, gara-gara barangan kadbod yang bersepah di lantai.

Para penduduk juga berkata terdapat tiada tempat sesuai yang disediakan bagi mereka untuk membuang barangan besar.

Satu makluman daripada Majlis Bandaran Pasir-Ris Punggol, yang ditampal berhampiran lif, menunjukkan tong sampah hijau "sementara" telah diletakkan berhampiran pintu masuk blok.

Tong sampah itu bagaimanapun tidak dilihat di sana, apabila Mediacorp mengunjungi kawasan itu pada Rabu. Tempat itu malah, disekat oleh tiang besi, yang dipasang kira-kira seminggu yang lalu, menurut penduduk.

"MENIMBUN DENGAN CEPAT"

Para penduduk memberitahu Mediacorp bahawa mereka telah menghubungi pusat khidmat bangunan blok itu mengenai perkara tersebut, tetapi sebaliknya dirujuk kepada Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol.

Mereka menceritakan bahawa mereka perlu ke hulur hilir antara agensi-agensi itu, dan bahkan sehingga menghubungi Anggota Parlimen kawasan tersebut, Dr Janil Puthucheary.

Menjawab pertanyaan CNA, jurucakap Majlis Bandaran Pasir Ris - Punggol berkata tempat letak kereta bawah tanah itu "belum diserahkan" daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi kerja penyelenggaraan untuk dilaksanakan, memandangkan blok itu baru sahaja dibina.

Jurucakap tersebut menambah majlis bandaran itu sedang bekerja rapat dengan HDB untuk menangani masalah itu.

Pusat khidmat bangunan blok tersebut belum menjawab pertanyaan Mediacorp. Mediacorp juga sudahpun menghubungi HDB dan Dr Puthucheary untuk memberi komen mengenai hal tersebut.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan