Skip to main content

Singapura

Penduduk estet Sembawang Park marah, dapat notis kereta diletak secara haram

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk estet Sembawang Park marah, dapat notis kereta diletak secara haram

(Gambar: Tangkapan skrin video TikTok)

SINGAPURA: Penduduk di estet privet Penaga Place di Sembawang berdepan dengan masalah pada hujung minggu lalu apabila mereka disaman kerana meletak kereta secara haram dan diarah mengalihkan kereta mereka ke tempat lain. 

Satu rakaman video TikTok yang dimuat naik pada Ahad (5 Jun) menunjukkan dua pegawai keselamatan Certis meronda di sekitar estet Sembawang Park itu, sambil meletak notis saman, menyebabkan beberapa penduduk keliru dengan kelakuan mereka. 

Video itu termasuk tangkapan skrin yang mendakwa bahawa penduduk disaman, sudah mendapat lebih 149,700 tontonan dan 570 komen. 

Peraturan meletak kereta di estet privet agak rumit. Jika terdapat satu garis putih yang memisah jalan raya dua hala, seperti yang dilihat dalam video tersebut, pemandu tidak boleh meletak kereta di kedua-dua tepi jalan raya itu pada bila-bila masa. 

Pengguna TikTok yang memuat naik video tersebut mendakwa bahawa penduduk "seluruh kejiranan" itu tidak puas hati kerana mereka tidak ada tempat untuk meletak kereta. Meskipun setiap rumah mempunyai tempat untuk meletak satu kereta, sebilangan besar keluarga di estet tersebut memiliki sekurang-kurangnya tiga kereta, katanya. 

Meskipun sebilangan warganet berasa simpati dengan pengguna TikTok itu, kebanyakan respons kepada video itu tidak bersimpati dan menganggap aduan mereka sebagai "masalah orang kaya". Namun, ada juga yang meninggalkan komen-komen lucu, mengapi-apikannya untuk "membeli tanah tambahan" demi meletak kereta mereka. 

Isu meletak kereta secara sembarangan di estet privet seperti yang dirakamkan dalam video itu merupakan isu yang sudah lama dihadapi penduduk dan pengunjung. Seperti yang dikatakan sesetengah pengguna TikTok, lori sampah dan kenderaan-kenderaan lebih besar mungkin sukar melalui jalan itu apabila kereta diletak berderet di tepi jalan.

Sebilangan penduduk juga menggunakan tong sampah atau pasu bunga untuk menghalang pemandu lain daripada meletak kereta di lot 'pilihan' mereka. 

Pada Disember tahun lalu, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengeluarkan kenyataan, mengingatkan penduduk estet privet untuk mengamalkan adab meletak kereta yang baik dengan meletak kereta mereka di pekarangan rumah masing-masing.

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita