Skip to main content

Singapura

Penduduk dipindah selepas kebakaran tercetus di kedai kopi Ubi

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk dipindah selepas kebakaran tercetus di kedai kopi Ubi

Kebakaran tercetus di Blok 301 Ubi Avenue 1 pada 30 Mei 2025. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)

Diterbitkan : 31 May 2025 04:00AM Dikemas Kini : 31 May 2025 04:20AM
SINGAPURA: Para penduduk di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Ubi Avenue 1 dipindahkan lewat Jumaat (30 Mei) selepas berlaku kebakaran, dengan sebahagian orang melaporkan letupan.

Insiden itu berlaku di Blok 301 Ubi Avenue 1, di mana sebahagian penduduk dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran itu pada pukul 11.35 malam. Ia melibatkan kandungan di sebuah gerai makanan di sebuah kedai kopi di tingkat satu.

Kebakaran dipadamkan oleh SCDF menggunakan dua jet air, dan beberapa gerai lain juga mengalami kerosakan disebabkan suhu panas dan asap.

Satu orang dinilai sebagai terhidu asap dan dibawa ke hospital.

Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Height Faishal Ibrahim menerusi Facebook beliau berkata kebakaran dipadamkan dengan pantas oleh SCDF. Beliau menambah 76 penduduk dipindahkan.

Seorang penduduk, yang memperkenalkan dirinya sebagai Cik Ng, berkata bekalan elektrik flat beliau terputus sekitar pukul 11.45 malam.

Beliau memberitahu Mediacorp: "Kami tenang sahaja kerana kami tidak nampak sebarang api, kami hanya nampak kepulan besar asap dari kawasan kedai kopi."

"Sebelum bunyi letupan, kami sudah mendengar bunyi ambulans."

Seorang lagi penduduk, Encik Zulkifli, berkata beliau berada di dapur apabila terhidu bau asap.

"Apabila saya turun ke bawah, masih tiada api. Sejurus selepas itu, ada api kecil, dan kemudian api besar, dan kemudian letupan. Bekalan elektrik seluruh blok terputus pada waktu itu," kata beliau.

Penduduk di hostel Touch Ubi, iaitu bangunan kediaman hostel bagi orang dewasa yang mengalami kekurangan upaya ringan yang terletak berdekatan kedai kopi itu, juga dipindahkan.
Related article image
Kebakaran tercetus di kedai kopi di Blok 301 Ubi Avenue 1 pada 30 Mei 2025. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)
Cik Irene Nant, seorang kakitangan hostel itu, berkata tiga kakitangan jagaan dan enam penduduk berada di hostel ketika itu.

Beliau menambah para penduduk dikejutkan oleh kakitangan jagaan pada pukul 11.45 malam dan lampu kecemasan dihidupkan. Asap juga dilihat di luar hostel.

Cik Nant berkata: "Keselamatan klien kami adalah keutamaan dan saya berasa takut dan bimbang."

"Kami rasa lega kerana dapat membawa semua klien ke bawah. Sekurang-kurangnya kami semua selamat," tambah beliau.

Sekitar pukul 1.40 pagi, sebahagian penduduk dimaklumkan oleh SCDF bahawa mereka boleh kembali ke flat masing-masing, dan nombor unit mereka dibacakan.

Menurut seorang sukarelawan Rangkaian Penduduk di Blok 318 Ubi, Encik Shawn Ho, mereka yang tinggal di tingkat dua betul-betul di atas kedai kopi perlu menunggu lebih lama sebelum dibenarkan pulang ke unit masing-masing.

Sebagai alternatif, mereka boleh tidur di Rangkaian Penduduk Greenville di Blok 318.
Related article image
Kenderaan polis dan SCDF di Blok 301 Ubi Avenue 1. (Gambar: CNA/Charmaine Jacob)
Profesor Madya Faishal berada di lokasi kejadian selepas beliau dimaklumkan mengenai insiden itu hampir tengah malam tadi.

"Mereka adalah penduduk saya dan saya rasa peluang untuk datang dan membantu memenuhi keperluan mereka sangat penting," ujar beliau.

"Saya berterima kasih kepada para pemimpin akar umbi, polis, SCDF kerana datang dengan cepat untuk memastikan semuanya selamat dan keadaan terkawal," tambah beliau.

Menurut SCDF punca kebakaran sedang disiasat.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita