Skip to main content

Singapura

Penduduk di kejiranan baharu BTO berskala besar dapat nikmati akses awal kemudahan, khidmat

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk di kejiranan baharu BTO berskala besar dapat nikmati akses awal kemudahan, khidmat
Gambaran pelukis bagi Garden Waterfront I & II di Kolam Tengah. (Gambar: HDB)
Diterbitkan : 04 Mar 2026 08:31PM Dikemas Kini : 04 Mar 2026 08:32PM
SINGAPURA: Penduduk yang berpindah ke kawasan baharu Bina Ikut Tempahan (BTO) berskala besar akan mendapat akses lebih awal kepada tempat makan, barangan runcit, penjagaan kanak-kanak dan perkhidmatan bas, kata Menteri Negara Kanan bagi Pembangunan Negara, Sun Xueling, di parlimen pada Rabu (4 Mac).

Peningkatan ini dilakukan menyusuli cadangan daripada Jawatankuasa Penyelarasan BTO berbilang agensi yang ditubuhkan pada pertengahan 2024 untuk meningkatkan pengalaman penduduk baharu di kawasan HDB berskala besar.

Kawasan BTO berskala besar merujuk kepada kawasan dengan lebih 3,000 unit baharu BTO yang disiapkan dalam tempoh lima tahun, biasanya merangkumi tiga atau empat projek BTO.

Cadangan ini akan dilaksanakan secara berperingkat.

Kawasan BTO berskala besar yang sedang dalam pembinaan akan mendapat beberapa langkah peningkatan, sejauh mana yang boleh, manakala kawasan yang masih dalam perancangan boleh menerima keseluruhan peningkatan.

Pada 2023, penduduk baharu di Tengah mengadu tentang pilihan pengangkutan awam yang terhad dan kekurangan kemudahan, lapor Mediacorp.

Jawatankuasa yang diterajui oleh MND dan HDB itu termasuk Lembaga Pengangkutan Darat (LTA), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Agensi Pembangunan Kanak-Kanak Awal (ECDA), Penguasa Pembangunan Media dan Infokom (IMDA) serta Persatuan Rakyat (PA).

AKSES AWAL KEPADA KEMUDAHAN

HDB akan memperkenalkan langkah bagi mempercepatkan penyediaan kemudahan utama kira-kira enam bulan selepas kumpulan pertama penduduk menerima kunci, kata MND dan HDB.

Kedai di HDB dalam projek baharu BTO biasanya mula beroperasi kira-kira sembilan bulan selepas kumpulan pertama penduduk menerima kunci apabila bilangan pelanggan mencapai tahap kritikal.

Ini menyebabkan penduduk yang berpindah lebih awal mungkin perlu menunggu sebelum kedai dibuka.

Kini, kedai HDB termasuk pasar raya mendapat tempoh sewa percuma selama dua bulan, manakala kedai kopi mendapat tiga bulan, bagi menyokong pengendali semasa kerja ubah elok.

Pada masa hadapan, HDB akan melanjutkan tempoh sewa percuma untuk semua kedai dalam projek BTO baharu sehingga maksimum enam bulan bagi yang mula beroperasi dalam enam bulan pertama selepas mendapat Permit Pendudukan Sementara (TOP).

Selain itu, HDB akan menyemak struktur sewa bertahap-tahap bagi penyewa kedai HDB baharu.

Untuk tahun pertama operasi, penyewa akan membayar 70 peratus daripada sewa tender, berbanding 80 peratus sekarang.

Sewa bagi tahun kedua dan ketiga masing-masing kekal pada 90 peratus dan 100 peratus.

HDB juga akan membina terlebih dahulu kawasan rehat luar di hadapan atau bersebelahan kedai kopi supaya kedai boleh mula beroperasi lebih awal.

Sebelum ini, kawasan ini dibina oleh pengendali selepas penyewaan bermula.

Langkah ini dijangka menjimatkan sehingga lapan bulan masa dan kos yang ketara.

Langkah ini juga dilaksanakan bagi projek BTO yang dilancarkan mulai Julai 2025.

Kedai kopi pertama dengan kawasan rehat luar yang siap binaan awal (prebuilt) ialah di Parc Meadow @ Tengah, yang dijangka siap pada separuh pertama 2027.

HDB juga akan mempertimbangkan penyediaan hidangan siap makan di beberapa blok HDB yang jauh dari kedai kopi, tertakluk kepada minat pasaran.

PUSAT PENJAGAAN KANAK-KANAK & PERHENTIAN BAS

Beberapa pusat jagaan kanak-kanak siap tujuh bulan selepas kumpulan pertama penduduk menerima kunci, manakala ada yang mengambil lebih setahun.

Pihak berkuasa merancang agar pusat jagaan kanak-kanak di kawasan BTO berskala besar mula beroperasi dalam enam bulan selepas kumpulan pertama menerima kunci, memberi keluarga dengan anak kecil akses lebih awal kepada perkhidmatan ini.

HDB dan ECDA mempermudah proses pembinaan dan penyerahan pusat jagaan kanak-kanak, termasuk mempelawa pengendali untuk melihat premis seawal mungkin, bukan hanya selepas kerja pembinaan selesai.

Bagi menyokong pengangkutan, HDB dan LTA akan merancang sekurang-kurangnya satu perkhidmatan bas beroperasi seiring dengan kumpulan pertama penerima kunci.

Bas ini akan boleh diakses dari perhentian bas berdekatan projek BTO dan menghubungkan penduduk ke kemudahan serta nod pengangkutan seperti perhentian bas utama atau stesen MRT.

Projek Plantation Creek, Garden Waterfront II dan Garden Waterfront I di Tengah akan menjadi projek pertama yang mendapat peningkatan ini.

Jika perkhidmatan tetap tidak dapat dimulakan segera, agensi akan mempertimbangkan bas ulang-alik sementara.

LALUAN BERBUMBUNG

HDB juga akan bekerjasama dengan agensi dan majlis perbandaran untuk meningkatkan piawaian laluan berbumbung, terutamanya untuk perhentian bas, sehingga jarak berjalan kaki maksimum 200 meter dari sempadan projek dan termasuk laluan ke projek BTO bersebelahan dalam jarak 100 meter berjalan kaki.

Penduduk yang berpindah ke kawasan Chencharu yang akan datang antara mereka yang akan menikmati peningkatan ini.
 
Sumber : CNA/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita