Penduduk di 4 kondominium didenda kerana langgar peraturan COVID-19
Para penduduk di empat kondominium dan sebuah badan pengurusan kondominium Amber Road didenda kerana melanggar peraturan COVID-19.
SINGAPURA: Para penduduk di empat kondominium dan sebuah badan pengurusan kondominium Amber Road didenda kerana melanggar peraturan COVID-19.
Syarikat pengurusan kondominium Amber Road itu didenda kerana tidak menutup semua kemudahan yang dikongsi sama dan salah seorang penduduknya didapati menggunakan kemudahan gimnasium di kondominium itu, menurut kenyataan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) pada Isnin (20 Apr).
BCA bagaimanapun enggan mendedahkan nama kondominium-kondominium itu.
Sejak sebulan yang lalu, Singapura melaksanakan beberapa peraturan dan undang-undang yang bertujuan membendung penularan COVID-19, yang kini mempunyai 6,588 kes secara keseluruhan di negara ini. Sebelas orang telah meninggal dunia akibat komplikasi daripada COVID-19.
Pada Isnin, BCA menyatakan ia menjalankan pemeriksaan terhadap lebih daripada 230 bangunan kediaman hak milik strata sejak langkah "pemutus litar" Singapura berkuat kuasa pada 7 Apr.
Ia mengenakan denda komposisi S$1,000 kepada Perbadanan Pengurusan (MCST) kondominium di Amber Road itu kerana gagal menutup semua kemudahan yang dikongsi sama. Penduduk yang didapati menggunakan kemudahan gimnasiumnya juga didenda.
Dua daripada kes-kes ketidakpatuhan melibatkan seorang penduduk dari sebuah kondominium di Irrawaddy Road yang menggunakan kolam renang dan seorang lagi penduduk dari sebuah kondominium di Flora Road yang membawa anak-anaknya untuk bermain di kolam renang.
Denda juga dikenakan ke atas seorang penduduk kondominium di Sims Drive yang tidak memakai pelitup di pintu masuk utama.
Para penduduk kondominium itu masing-masing didenda S$300.
"Bagi mengurangkan pergerakan dan interaksi di tempat-tempat yang dikongsi sama dan menghadkan hubungan antara individu yang tinggal di rumah berlainan, semua kemudahan yang dikongsi sama di bangunan kediaman hak milik strata, seperti kondominium, mesti ditutup," menurut BCA.
"Para penduduk harus memastikan tiada pengunjung ke rumah mereka bagi tujuan sosial, dan tidak harus mengadakan majlis keramaian dalam estet. Jika para penduduk harus keluar rumah bagi sebab munasabah, mereka mesti memakai pelitup meskipun berada dalam pekarangan estet mereka."
BCA juga menggesa MCST dan ejen-ejen pengurusan untuk meningkatkan usaha bagi mengingatkan para penduduk akan kepentingan mematuhi peraturan jarak selamat yang dipertingkat.
Para individu boleh melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada BCA menerusi laman webnya.
Pegawai penguat kuasa BCA akan terus menjalankan pemeriksaan secara rambang di bangunan kediaman hak milik strata semasa tempoh pemutus litar bagi memastikan peraturan jarak selamat dipertingkat dipatuhi, menurut BCA.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.