Penduduk 'Bukit Gombak Peduli' hulur bantuan, agih pek perlindungan diri kepada petugas barisan hadapan Ren Ci
Sebanyak 180 pek perlindungan diri dihulurkan kepada para kakitangan barisan hadapan Rumah Jagaan Ren Ci pada Ahad (19 Sep).
Cik Low Yen Ling menghulurkan pek perlindungan kepada wakil daripada Rumah Jagaan Ren Ci pada 19 September. (Gambar-gambar: Bukit Batok Constituency Office)
SINGAPURA: Sebanyak 180 pek perlindungan diri dihulurkan kepada para kakitangan barisan hadapan Rumah Jagaan Ren Ci pada Ahad (19 Sep).
Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada inisiatif 'Bukit Gombak Peduli' itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada golongan pekerja tersebut atas dedikasi dan kerja keras mereka menjaga para penghuni warga emas di rumah jagaan berkenaan.
Kad-kad penghargaan yang ditulis oleh murid-murid PCF Sparkletots.
Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah pandemik koronavirus, khususnya setelah rumah jagaan itu dikenal pasti sebagai kelompok jangkitan COVID-19 baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Jawatankuasa Perundingan Rakyat Bukit Gombak yang disokong oleh Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Barat Daya, ia bertujuan untuk mendapatkan sokongan masyarakat bagi menunjukkan perpaduan dan sifat empati demi membantu satu sama lain di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Setiap pek perlindungan diri antara lain, mengandungi cecair pencuci tangan, cecair pembasmi kuman, vitamin tambahan dan pelitup pakai buang.
Kandungan pek perlindungan yang diberikan kepada kakitangan Rumah Jagaan Ren Ci.
Murid-murid prasekolah Yayasan Masyarakat PAP (PCF) Sparkletots di kawasan undi Bukit Gombak turut menyertai inisiatif itu dengan melipat 180 bunga origami dan kad-kad ucapan tulisan sendiri khas buat para kakitangan barisan hadapan tersebut.
"Inisiatif akar umbi oleh para penduduk dan rakan-rakan masyarakat membuktikan bahawa rakyat Singapura sentiasa bersedia untuk menyokong para petugas barisan hadapan kita," kata Datuk Bandar CDC Barat Daya yang juga Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Bukit Gombak Low Yen Ling.
Dalam pada itu, beliau juga berkata bahawa pasukannya akan terus memupuk budaya mengambil peduli dan bersikap empati terhadap golongan memerlukan di Bukit Gombak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.