Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk Braddell View rasai gegaran dek kerja binaan; mungkin perlu bertahan beberapa tahun lagi

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kerja-kerja binaan tidak menganggu Cik Christina Fong sehinggalah "gegaran kuat ibarat gempa bumi" yang dialaminya sebulan lalu mengubah fikirannya.

"Ia seolah-olah bangunan anda akan runtuh pada bila-bila masa sahaja. Saya rasa badan saya terhuyung-hayang. Malah apabila saya sedang baring, saya boleh merasakan gegaran itu. Ia menganggu tidur dan bahkan kerja saya," kata wanita berusia 65 tahun itu, seorang penduduk di Blok 10D di Braddell View.

"Sebelum ini saya tidak merasakan gegaran tersebut sehingga anak perempuan saya yang berada di dalam bilik dan dia bertanya: 'Ibu, kenapa ada sesuatu bergegar?' Barulah saya sedar. Apabila anda berjalan di rumah, anda tidak akan merasakannya. Satu hari semasa saya sedang membuat kerja di komputer, saya rasa gegaran itu."

Braddell View, bekas estet HUDC, kini merupakan estet perumahan privet. Di Blok 10D, setiap tingkat menempatkan empat unit, dua daripada terletak lebih dekat dengan kerja binaan tersebut buat masa ini.

Kerja binaan bagi dua projek utama - Koridor Utara Selatan (NSC) dan pusat baru Hospital Mount Alvernia - dikini dilakukan di hadapan blok berkenaan yang menghadap Marymount Road. Kerja binaan bagi NSC menyebabkan gegaran yang dirasai penduduk baru-baru ini.

Koridor Utara Selatan sepanjang 21.5 kilometer (km) itu akan menjadi koridor pengangkutan bersepadu yang pertama di Singapura apabila ia dibuka pada 2027. Dengan lorong bas ekspres, laluan pejalan kaki dan laluan basikal, koridor tersebut akan menghubungkan bandar-bandar di bahagian utara Singapura ke pusat bandar.

Dengan Koridor Utara Selatan mengambil masa sekitar lima tahun untuk siap dan kerja binaan sudahpun bermula bagi hospital tersebut kira-kira dua hingga tiga tahun lalu, para penduduk di 10D Braddell View hanya dapat menikmati tempoh ketenangan tatkala pandemik COVID-19 apabila kerja-kerja tepaksa dihentikan.

Mediacorp turut bertanyakan penduduk lain tentang keperitan mereka tinggal di bangunan yang berdepan kesulitan dek kerja binaan yang berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Ramai penduduk mengatakan bahawa mereka tidak ada pilihan selain terus hidup dengan kenyataan itu.

Terdapat juga akibat lain yang timbul daripada kerja-kerja binaan itu yang membuatkan para penduduk berasa kurang senang.

Sesetengah penduduk tidak berpuas hati apabila perhentian bas, yang dahulunya terletak betul-betul di luar pintu pagar bersebelahan blok mereka, sudahpun dialihkan lebih jauh ke jalan yang menghala ke Sekolah Marymount Convent.

Menjawab pertanyaan Mediacorp berhubung kesulitan yang dialamai penduduk, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia mendampingi MCST dan penduduk Braddell View secara kerap untuk memberikan mereka kemas kini tentang perkembangan pembinaan Koridor Utara Selatan yang berhadapan dengan Braddell View.

LTA juga akan "terus melibatkan mereka dan melakukan lebih banyak lagi untuk memperbaiki keadaan seberapa mungkin".

Dalam kiriman surat kepada penduduk pada 21 Jun lalu, yang turut dibaca Mediacorp, LTA memberikan anggaran waktu yang menyatakan bila kerja-kerja binaan utama Koridor Utara Selatan di sekitar Braddell View akan selesai dijalankan, bermula dengan kerja-kerja dinding diafragma terowong pada tahun 2024.

Pembinaan terowong dianggarkan selesai pada 2026, manakala pengembalian semula jalan raya dan pembukaan Koridor Utara Selatan pula dianggarkan siap pada 2027, menurut surat tersebut.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan