Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk blok di Jalan Bukit Merah ditawar pemeriksaan TB percuma setelah 7 kes dikesan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2022 03:06PM Dikemas Kini : 21 May 2022 09:23PM

SINGAPURA: Penduduk dan bekas penduduk Blok 2 Jalan Bukit Merah akan ditawarkan pemeriksaan batuk kering (TB) secara sukarela setelah satu kelompok sebanyak tujuh kes dikesan. 

Demikian menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Sabtu (21 Mei). 

Pemeriksaan itu merupakan langkah berjaga-jaga setelah tujuh orang yang tinggal di tujuh unit berbeza di blok tersebut   didiagnosis dengan penyakit tersebut itu, menurut MOH. 

Pemeriksaan ditawarkan secara percuma antara 27 Mei dengan 31 Mei.

"Penduduk, pegerai dan pemilik kedai serta pekerja di Blok 2 Jalan Bukit Merah amat digalakkan untuk mengambil bahagian dalam pemeriksaan TB ini," menurut MOH.  

Pasukan-pasukan bergerak akan dikerahkan ke blok tersebut untuk menjalankan pemeriksaan bagi penduduk. 

Stesen pemeriksaan di Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon Hock San Queenstown di Blok 3 Jalan Bukit Merah juga akan disediakan untuk pekerja di kedai dan gerai serta penduduk yang rumah mereka tidak sesuai untuk menjalankan pemeriksaan. 

KELOMPOK TB PERTAMA DIKESAN PADA MAC

MOH dimaklumkan pada 2 Mac mengenai tujuh kes TB melibatkan penduduk yang tinggal di Blok 2 Jalan Bukit Merah. Penduduk itu diuji antara Februari 2021 hingga Mac 2022. Kesemuanya  tinggal di unit-unit berbeza. 

MOH menyatakan penduduk yang terjejas segera  menjalani rawatan sebaik sahaja  didiagnos. Dua daripada mereka sudahpun selesai rawatan mereka, manakala tiga lagi sedang menjalani rawatan. Secara berasingan, dua yang dijangkiti  meninggal dunia "atas sebab tidak berhubung kait dengan TB", menurut MOH. 

"Memandangkan individu-individu yang dijangkiti TB tidak mudah berjangkit sebaik sahaja mula mendapatkan rawatan, kes tersebut tidak menimbulkan risiko kesihatan awam," jelas MOH. 

MOH menyatakan siasatan kontak bagi setiap daripada tujuh kes itu dilakukan selepas ia dimaklumkan. 

Kontak rapat kes-kes tersebut juga dikenal pasti dan dihubungi untuk menjalani pemeriksaan. Siasatan bagi setiap tujuh kes menunjukkan mereka tidak mengenali satu sama lain sebagai kontak rapat, dedah MOH. 

PEMERIKSAAN AMAT DIGALAKKAN

MOH menyatakan kakitangan dari Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), dengan sokongan Persatuan Rakyat (PA) akan mengunjungi flat-flat di blok terbabit antara 21 hingga 23 Mei untuk bertemu dengan penduduk, pemilik gerai dan kedai serta pekerja, untuk menggalakkan mereka  menjalani pemeriksaan yang ditawarkan. 

Walaupun pemeriksaan itu tidak diwajibkan, MOH sangat menggalakkan penduduk agar berbuat sedemikian untuk mengenal pasti jika mereka ada penyakit atau jangkitan TB (tidak berjangkit). 

Mereka yang didapati mempunyai  penyakit TB akan diberikan rawatan segera, manakala mereka yang terkena  jangkitan TB akan diberikan janji temu susulan dan rawatan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit TB pada masa depan

Bekas penduduk dan penyewa yang pernah tinggal di blok tersebut mulai Oktober 2020 akan dihubungi menerusi panggilan telefon pada Jun 2022 dan ditawarkan untuk menjalani pemeriksaan di Unit Kawalan Batuk Kering (TBCU). Mereka juga boleh menghubungi hotline janji temu TBCU di 6258 4430. 

"Risiko TB berjangkit kepada individu-individu yang bukan kontak rapat kes TB sangat rendah. Justeru, pemeriksaan tidak perlu bagi mereka yang hanya sekali sekala pergi ke blok tersebut atau persekitarannya," menurut MOH. 

MOH menyatakan  batuk kering adalah endemik di Singapura.

Jangkitan batuk kering bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam penduduk kita, kerana ia berleluasa di Singapura sehingga tahun 1970-an dan warga Singapura yang lebih tua mungkin terdedah kepada batuk kering dan mendapat jangkitan batuk  ketika mereka masih muda.

Mereka yang dijangkiti TB tidak mengalami gejala batuk kering dan ia tidak berjangkit.

"TB boleh dirawat dan penyebarannya boleh dicegah. Pengesanan awal dan rawatan segera  kekal penting dalam membantu mereka yang dijangkiti dan menjadikannya tidak berjangkit," kata MOH.

Gejala penyakit TB termasuk batuk berterusan yang berlarutan selama tiga minggu atau lebih, demam ringan, berpeluh pada sebelah malam, rasa letih, turun berat badan dan sakit dada.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan