Penduduk Blok 559 Pasir Ris St 51 jalani ujian swab selepas jangkitan COVID-19 dikesan
Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dimaklumkan tentang kes-kes jangkitan COVID-19 di Blok 559 Pasir Ris Street 51 baru-baru ini.
SINGAPURA: Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol dimaklumkan tentang kes-kes jangkitan COVID-19 di Blok 559 Pasir Ris Street 51 baru-baru ini.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan demi menjaga keselamatan serta kesejahteraan para penduduk, Kementerian Kesihatan (MOH) sudah memaklumkan semua penduduk di blok tersebut supaya menjalani ujian swab di Pusat Ujian Daerah (RSC) yang ditempatkan di bangunan lama Sekolah Rendah Coral.
Demikian menurut Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Punggol Desmond Tan dalam catatan Instagram dan Facebooknya pagi ini (23 Mei).
Menurut beliau, para penduduk boleh menjalani ujian saringan tersebut hari ini dan esok dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Para penghuni blok tersebut sudahpun dimaklumkan tentang cara-cara untuk menjalani ujian berkenaan menerusi risalah MOH yang diedarkan dari rumah ke rumah.
Encik Tan berkata para penduduk juga akan menerima kiriman mesej melalui kaedah SMS untuk menempah janji temu bagi ujian swab mereka.
"Sila patuhi slot janji temu untuk mengelakkan kesesakan di RSC dan memastikan ujian swab boleh dijalankan dengan lancar dan selamat." nasihat Encik Tan.
PENGHUNI BLOK BERDEKATAN TIDAK PERLU DIUJI JIKA TIDAK KUNJUNGI RUMAH PENDUDUK BLK 559
Encik Tan menambah bahawa para penduduk yang tinggal sekitar Blok 559 tidak perlu menjalani ujian kecuali jika mereka ada bertemu dengan keluarga-keluarga yang tinggal di blok tersebut dari 2 Mei.
Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol juga sudah bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk membersihkan dan membasmi kuman secara menyeluruh di kawasan-kawasan awam Blok 559 dan blok-blok di sekelilingnya.
"Saya berterima kasih atas usaha pantas mereka. Saya ucapkan terima kasih kepada MOH, HPB, HDB, PA dan para pegawai daripada banyak agensi lain kerana meluangkan masa untuk membantu melicinkan pelaksanaan ujian swab khas ini dalam jangka masa singkat demi memberi keyakinan dan ketenangan kepada masyarakat kita," ujar Encik Tan.
Sehubungan itu, Encik Tan menyeru para penduduk supaya memainkan peranan masing-masing dengan menjaga kesihatan dan berjumpa doktor jika sakit.
"Ayuh mainkan peranan kita untuk menjadikan Pasir Ris selamat untuk kita semua. Duduk di rumah seberapa boleh dan dapatkan rawatan perubatan jika tidak sihat," kata beliau.
UJIAN SARINGAN DI HOUGANG SUDAH SELESAI
Secara berasingan, ujian saringan COVID-19 yang diwajibkan ke atas para penghuni Blok 506 di Hougang sudahpun selesai.
Seramai 116 keluarga menjalani ujian tersebut dalam tempoh dua hari itu.
Naib Dekan Sekolah Saw Swee Hock bagi Kesihatan Awam Profesor Hsu Li Yang berkata penularan penyakit di estet-estet HDB jarang sekali berlaku.
Namun, kawasan tertutup dengan jumlah orang yang ramai mungkin membolehkan virus COVID-19 itu merebak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.