Skip to main content

Singapura

Penduduk bimbang rancangan bina kompleks kolumbarium baharu di Mandai jejas harga hartanah, en bloc

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk bimbang rancangan bina kompleks kolumbarium baharu di Mandai jejas harga hartanah, en bloc

Gambar: Raj Nadarajan/TODAY

Diterbitkan : 25 Dec 2023 09:49AM Dikemas Kini : 25 Dec 2023 09:51AM

SINGAPURA: Khabar mengenai cadangan pembinaan kompleks kolumbarium di Mandai menyebabkan para penduduk yang tinggal di Sembawang Road bimbang kemungkinan berlaku penurunan dalam harga hartanah, dengan ada yang khuatir ia boleh menjejaskan perjanjian en bloc di salah sebuah kondominium di kawasan itu.

Sesetengah penduduk juga mengatakan bahawa lokasi yang diusulkan, iaitu di tempat yang bertentangan dengan persimpangan bersilang, tidak baik untuk fengshui.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengumumkan pada Isnin (18 Dis) bahawa ia sudah mengenal pasti bidang tanah yang sesuai bagi pembinaan kompleks persemadian dan kolumbarium baharu di persimbangan Mandai Avenue dan Sembawang Road.

Lokasi tersebut terletak kira-kira tiga perhentian bas dari bahagian Sembawang Road, berdekatan dengan Stesen MRT Springleaf, dikelilingi beberapa kondominium termasuk The Brooks I dan II, Hong Heng Mansions, Forest Hills, dan The Essence.

Sebilangan penduduk yang ditemui Mediacorp membeli hartanah di sana memandangkan mereka tertarik kepada pemandangan yang tidak terhalang, ketenangan dan kehijauan estet yang subur sementara berada berhampiran dengan kawasan bandar.

Jurugambar James Koh, yang tinggal di Hong Heng Mansions, bimbang bahawa kolumbarium itu akan menghambat rancangan en bloc kondominiumnya.

Tender awam jualan kolektif untuk Hong Heng Mansions, sebuah kondominium pegangan bebas, dilancarkan pada akhir Februari dengan harga rizab S$133 juta.

"Tetapi ia tidak berjaya kerana tiada pembeli. Jika rancangan kolumbarium ini dilaksanakan, ia akan menjejaskan lagi peluang kami untuk mengadakan jualan kolektif," kata Encik Koh.

Dalam kenyataan media NEA, agensi itu menjelaskan bahawa tapak Mandai Avenue dipilih selepas perbincangan dijalankan dengan pelbagai agensi.


Beberapa faktor yang diambil kira:

- ruang yang diperlukan untuk kemudahan serba guna dengan kolumbarium dan pelbagai perkhidmatan persemadian
- rancangan pembangunan kawasan itu
- kesan trafik
- kesan ke atas pembangunan-pembangunan berdekatan

Sebelum memuktamadkan rancangan pembangunan itu, NEA menyatakan bahawa penilaian kesan alam sekitar dan kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi projek yang dicadangkan untuk mengenal pasti potensi kesan alam sekitar semasa peringkat pembinaan dan pasca pembinaan.

Related article image
Gambar: Raj Nadarajan/TODAY


PENDUDUK PERSOAL PILIHAN LOKASI

Encik Toh Hai Poh, seorang pesara berusia 79 tahun, tidak bersetuju dengan pilihan lokasi itu.

"Kenapa ia perlu terletak di lapangan?" ujarnya.

"Bangunan sedemikian sangat sensitif. Ia sepatutnya terlindung di hujung jalan raya.

"Saya rasa ada banyak lagi tanah di Upper Seletar Reservoir yang boleh mereka pilih. Ia tidak semestinya lokasi tertentu ini."

Encik Toh, yang tinggal di hartanah berhalaman dengan isteri dan anak perempuannya sejak 2002, berkata bahawa beliau terkejut tatkala mengetahui mengenai khabar tersebut.

GESAAN BAGI PEMIKIRAN SIVIK

Sekalipun demikian, tidak semua penduduk Sembawang Road menentang idea tersebut.


"Kami tinggal di sekitar kolumbarium, tiada kebimbangan," ujar seorang penduduk, yang enggan identitinya didedahkan.


Seorang karyawan jagaan kesihatan, Eugene Poh, 45 tahun, berkata bahawa beliau terima cadangan itu.


"Saya harap kita boleh mempengaruhi rakyat Singapura untuk bersikap kurang mementingkan diri sendiri, lebih berfikiran sivik dan berfikir secara lebih logik," jelasnya.


"Kita sememangnya kekurangan tanah. Dan orang-orang yang sedang berkabung mahukan kawasan yang tidak terlalu jauh untuk memberi penghormatan mereka (kepada mereka yang telah pergi)."

Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita