Penduduk 60 tahun ke atas, berpenyakit kronik boleh mula daftar sertai SG Lebih Sihat
SINGAPURA: Bermula hari ini (5 Julai), warga emas 60 tahun ke atas akan mula menerima SMS bagi pendaftaran program SG Lebih Sihat.
Bagi mereka yang perlukan bimbingan cara-cara mendaftar, mereka boleh dapatkan bantuan Duta SG Lebih Sihat di kelab-kelab masyarakat dan Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama merata negara.
120 PUSAT PENDAFTARAN 'SG LEBIH SIHAT' DITUBUHKAN
Seawal 10.00 pagi, suasana di Kelab Masyarakat Nee Soon East bertambah sibuk dengan kehadiran ramai warga emas.
Ia sekitar 120 pusat pendaftaran yang ditubuhkan bagi membantu rakyat Singapura dan penduduk tetap khususnya golongan emas untuk mendaftar bagi program SG Lebih Sihat.
Mereka akan dibantu oleh duta SG Lebih Sihat yang dikerahkan ke kelab masyarakat dan Pusat Ujian dan Vaksinasi Bersama (JTVC) di merata Singapura.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Antara 1,000 duta yang dilantik itu ialah Encik Mursyid Mazlan.
Selain membimbing orang ramai, beliau juga berkongsi manfaat program tersebut berdasarkan pengalamannya sendiri.
"Dua tahun lepas, ayah saya meninggal akibat serangan jantung jadi ini adalah puncanya sebab daripada darah tinggi dan juga kencing manis. Jadi melalui episod itu, saya dapat melihat bebanan yang telah bapa saya lalui selama tempoh beliau sakit," kata Encik Mursyid, yang sebelum ini pernah menjadi tukang swab.
Di bawah SG Lebih Sihat, mereka yang berdaftar boleh menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun secara percuma dengan doktor keluarga masing-masing serta pemeriksaan saringan dan vaksinasi yang disyorkan.
DUTA BERDEPAN CABARAN KOMUNIKASI
Meskipun kadang-kadang berdepan dengan cabaran bahasa ketika berdepan dengan warga emas berbilang kaum, Encik Mursyid cuba membuat penyesuaian supaya dapat memberikan maklumat yang tepat.
Ini termasuk menggunakan senario-senario dan bahasa yang lebih mudah difahami.
"Sebagai Duta SG Lebih Sihat peranan saya adalah untuk sebarkan mesej. Walaupun mereka boleh mendaftar melalui HealthHub tapi di sini kita boleh membantu mereka berdaftar sekiranya mereka tidak begitu selesa menggunakan aplikasi mereka sendiri.
"Ramai orang tidak begitu fasih dalam bahasa Inggeris dan program ini banyak perkataannya dalam bahasa Inggeris. Kita perlu sesuaikan bahasa kita. Apa yang mereka senang tangkap. Dari situ baru kita boleh beritahu mereka faedah-faedah dan boleh menarik mereka kepada program ini," ujar Encik Mursyid.
Bagi meluaskan usaha inisiatif ini, Kementerian Kesihatan (MOH) juga akan mengadakan hampir 20 pameran bergerak di merata negara sehingga hujung tahun ini.
DOKTOR KELUARGA, PAKAR GERIATRIK ALU-ALUKAN INISIATIF SG LEBIH SIHAT
SMS berkenaan pendaftaran SG Lebih Sihat ini akan dihantar secara berfasa mengikut peringkat umur.
Golongan berusia 60 tahun didahulukan dan keutamaan akan diberikan kepada mereka yang ada penyakit kronik.
Usaha ini juga dialu-alukan oleh doktor keluarga (GP) dan pakar geriatrik.
"Satu perkara yang sangat penting tentang SG Lebih Sihat ialah satu doktor untuk setiap pesakit sebab kalau seseorang itu "doktor shopping", mereka pergi ke sepuluh doktor, ini akan mendatangkan banyak masalah terutamanya kalau seorang itu ada pelbagai penyakit kronik dan ada macam-macam ubat, kadang-kadang mereka tidak tahu. Saya ada pengalaman, pesakit itu makan tiga macam ubat tapi semuanya Panadol sebab dia kumpul dari banyak kedai, banyak klinik," kata Pakar Geriatrik dan Pengasas Klinik Alami, Dr Farhan Alami.

(Gambar: Fazirah Azman)
Bagi SG Lebih Sihat, Dr Farhan juga menasihatkan orang ramai untuk fikir sebaik-baiknya sebelum membuat pemilihan klinik dan doktor.
"Pesakit saya harus percaya dengan saya sebagai doktor mereka untuk memberikan mereka apa yang beliau perlu dan jangan memberi mereka ubat atau apa-apa 'scan', atau ujian darah yang mereka tidak perlu," kata Dr Farhan.
Dengan SG Lebih Sihat, beliau juga berharap para pesakit boleh dapatkan rawatan yang lebih khusus mengikut keperluan mereka.
Ini misalnya rawatan di rumah ataupun "Home-care" yang ditawarkan Klinik Alami buat para pesakit yang memerlukan perhatian dan jagaan yang lebih menyeluruh.
"Saya ada jururawat yang pakar untuk menjaga pesakit kronik dan pesakit dengan penyakit rumit. Saya seorang pakar geriatrik dan boleh menjaga pesakit di rumah dengan macam-macam penyakit atau perlukan saya jumpa mereka dengan kerap," kongsi Dr Farhan.
Klinik Alami yang terletak berdekatan dengan Masjid Kassim dan Darul Aman itu juga menerima permintaan yang sangat memberangsangkan daripada masyarakat Melayu/Islam.
Dr Farhan merancang untuk memulakan konsultasi dengan para pesakit yang memilihnya sebagai GP mereka melalui program SG Lebih Sihat seawal hujung bulan ini.
Orang ramai juga boleh membuat pemilihan daripada senarai lebih 900 klinik GP yang sudah sertai SG Lebih Sihat.
Sekiranya anda sudahpun menerima SMS untuk menyertai SG Lebih Sihat, berikut adalah tiga langkah yang perlu anda lakukan.
1) Muat turun aplikasi HealthHub dan log masuk menggunakan akaun SingPass anda.
2) Anda kemudian akan diberi pilihan di antara tiga klinik berdasarkan rekod lawatan anda sebelum ini dan juga tempat tinggal anda.
3) Selepas memilih klinik, anda akan membuat janji temu untuk Pelan Kesihatan percuma yang pertama buat diri anda.
Melalui aplikasi tersebut juga, anda boleh memberi akses kepada ahli keluarga untuk membantu menguruskan rekod SG Lebih Sihat bagi pihak anda.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.