Pendidikan wajib bagi anak berkeperluan khas: Pengalaman Iyad Perdaus persiap murid sedemikian
Dengan kanak-kanak berkeperluan khas juga diwajibkan menghadiri persekolahan mulai tahun depan, persediaan awal di peringkat prasekolah dapat membantu kanak-kanak sedemikian menyesuaikan diri bagi alam persekolahan.
BERITAmediacorp: Dengan kanak-kanak berkeperluan khas juga diwajibkan menghadiri persekolahan mulai tahun depan, persediaan awal di peringkat prasekolah dapat membantu kanak-kanak sedemikian menyesuaikan diri bagi alam persekolahan.
Jadi, bagaimanakah pusat-pusat prasekolah mempersiapkan murid-murid sedemikian? Apakah yang diterapkan untuk menjadikan pendidikan bagi murid-murid dengan keperluan khas lebih inklusif?
Di Iyad Perdaus, sikap inklusif di kalangan kanak-kanak dipupuk dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang sama - sama ada bagi kanak-kanak dengan keperluan khas ataupun dan murid lain.
Sebagai satu-satunya pusat prasekolah Melayu/Islam yang menawarkan Program Penjagaan Kanak-Kanak Bersepadu (ICCP) bagi kanak-kanak berkeperluan khas, ia juga menawarkan Program Sokongan Pembangunan (DSP) bagi melengkapi mereka dengan keperluan pembangunan dan persediaan bagi alam persekolahan.
Sejauh ini, seramai 30 kanak-kanak keperluan khas sudah meraih manfaat di bawah program Iyad Perdaus itu.
Berdasarkan keperluan kanak-kanak itu, mereka akan diberikan sokongan pembelajaran ataupun sokongan pembangunan.
Nilai-nilai persefahaman dan inklusif turut diterapkan melalui kegiatan dalam kelas.
Dalam wawancara bersama BERITA, Guru K2 Iyad Perdaus Cawangan Jurong East, Norliani Osman berkata: "Melalui sesi bercerita tentang kisah-kisah sosial, kita dapat memberikan mereka gambaran tentang bagaimana dapat menangani ataupun bergaul dengan kawan-kawan mereka yang berkeperluan khas."
Sejak kebelakangan ini, permintaan bagi tempat-tempat di sekolah untuk kanak-kanak berkeperluan khas semakin meningkat.
Bagi menampung permintaan ini, Iyad Perdaus giat menghantar guru-guru mereka mengikuti kursus-kursus kemahiran dan latihan demi memperkasa mereka dengan pengetahuan menangani kanak-kanak berkeperluan khas.
Sebuah unit sokongan pembelajaran dan perkembangan (LDSU) juga ditubuhkan bagi memberikan lebih banyak sokongan kepada kanak-kanak dengan keperluan khas. Hasilnya ternyata memberangsangkan.
"Melalui program LSDS ini, kita dapat melihat kanak-kanak dalam suasana inklusif ini lebih prihatin tentang keperluan kawan-kawan mereka. Mereka lebih faham apa itu sifat tolong-menolong dan juga nilai-nilai murni seperti belas kasihan yang dapat mereka memahami," kata Ketua Unit Sokongan Pembelajaran dan Perkembangan Iyad Perdaus, Farah Mashhur Ali.
Tahun lalu, Kementerian Pendidikan sudahpun mengumumkan bahawa mulai 2019, kesemua kanak-kanak berkeperluan khas, antara usia 6 tahun dengan 15 tahun, wajib bersekolah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.