Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendidikan, sokongan kesejahteraan mental dapat bantu tangani radikalisasi belia: Taman Bacaan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pendidikan dan sokongan kesejahteraan mental diperlukan dalam usaha menangani radikalisasi dalam kalangan para belia.

Demikian menurut Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Abdul Halim Kader, di Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) berhubung usaha memerangi radikalisasi online dalam kalangan belia bagi masyarakat bersatu-padu pada Sabtu (25 Feb).

Dua langkah itu kata beliau perlu segera diambil bagi memastikan trend "membimbangkan" terutama dalam kalangan generasi milenial itu tidak berterusan.

Beliau berkata demikian menyusuli penahanan tiga belia baru-baru ini berusia antara 15 dengan 18 tahun yang menjadi radikal sendiri.
PENDIDIKAN DI SEKOLAH

Salah satu langkah adalah pendidikan di sekolah, tidak kira di sekolah rendah, menengah atau peringkat tinggi, sekolah pemerintah mahupun sekolah privet.

"Sekolah memainkan peranan lebih besar dalam menyebarkan kesedaran tentang bahaya permainan online atau pengaruh media sosial yang salah, yang boleh melanggar undang-undang.

"Kami boleh menghantar para pelajar menghadiri sesi yang mendidik mereka berhubung ancaman catatan dan penglibatan online yang boleh disifatkan sebagai jenayah atau kegiatan radikal," kata Encik Halim.

Beliau menambah, sekolah juga harus memupuk kesedaran pada usia muda tentang betapa serius kesan melanggar undang-undang dan bagaimana tindakan mereka menjejas mereka dan orang-orang tersayang.

TANGANI KESEJAHTERAAN MENTAL

Satu lagi langkah adalah bagi sekolah untuk menangani kesejahteraan mental para pelajar yang memerlukan sokongan.

Ini terutama sekali dalam menangani tekanan dan punca tekanan serta kesihatan mental.

"Kesejahteraan mental adalah sangat penting sekarang. Disebabkan pendedahan meluas kepada internet dengan kurang panduan, ia boleh menyebabkan pengaruh dan pemikiran negatif," kata Encik Halim.

USAHA TAMAN BACAAN

Di samping itu, Taman Bacaan akan menganjurkan perbincangan meja bundar dengan pelbagai pemimpin silang agama.

Ini demi mengukuhkan mesej bahawa sesiapa sahaja boleh menjadi radikal dan ia tidak tertumpu kepada profil tertentu.

Taman Bacaan juga akan terus mengadakan FGD dengan anggota masyarakat bagi mengumpulkan maklum balas, pendapat dan cadangan berhubung isu-isu tersebut bagi menyebar kebaikan dan sifat baik budi dalam kalangan belia.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan