Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendidikan anak-anak penghuni rumah sewa akan disokong lebih baik supaya ibu bapa dapat keluar bekerja

Demi membantu keluarga-keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa menjadi pemilik rumah, bantuan akan disediakan bagi memastikan mereka tidak lagi perlu bimbang soal penjagaan anak sehingga dapat keluar bekerja.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Demi membantu keluarga-keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa menjadi pemilik rumah, bantuan akan disediakan bagi memastikan mereka tidak lagi perlu bimbang soal penjagaan anak sehingga dapat keluar bekerja.

Usaha ini akan dilaksanakan di bawah Projek DIAN@M³ yang akan dilancarkan di Geylang Serai, Bedok dan Jalan Besar pada suku keempat tahun ini.

"Kita akan menyalurkan anak-anak mereka kepada program-program masyarakat seperti kelas Matematika MENDAKI dan kelas-kelas tuisyen MENDAKI serta AMP. Mereka juga akan diberi peluang untuk menghadiri pusat-pusat penjagaan selepas sekolah supaya ibu bapa dapat diberi peluang untuk menumpukan perhatian kepada pekerjaan mereka," terang Dr Maliki mengenai bagaimana keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa akan dibantu dari segi pendidikan.

Sememangnya bantuan yang menyokong pendidikan kanak-kanak seperti ini sangat penting. Ia malah disifatkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai "kunci" membina sebuah masyarakat yang inklusif.

Ini beliau tegaskan dalam ucapan Bahasa Melayu Rapat Umum Hari Kebangsaan 2021, semasa membicarakan tentang trend membimbangkan dalam masyarakat Melayu/Islam, iaitu kadar orang Melayu yang menetap di flat sewa semakin meningkat.

Yang membimbangkan adalah, ada dalam kalangan kumpulan ini "mengalami perubahan mendadak dalam keadaan keluarga atau kewangan mereka" dan "ada pula yang menghadapi cabaran-cabaran rumit hingga sukar untuk merancang bagi masa depan mereka".

PM Lee Hsien Loong semasa Rapat Hari Kebangsaan 2021 pada 29 Ogos 2021 (Gambar: Try Sutrisno Foo)

"Kita mesti galakkan keluarga-keluarga di flat sewa memantapkan pendapatan, agar mereka boleh memiliki rumah sendiri dan maju seiring dengan masyarakat," gesa PM Lee.

Mengulas lebih lanjut tentang bagaimana program UPLIFT boleh dimanfaatkan anak-anak keluarga Melayu/Islam yang tinggal di rumah sewa dan masih lagi peringkat sekolah rendah, Dr Maliki berkata mereka akan turut dibantu dalam pembelajaran mereka.

"Kita akan terus membantu mereka dari segi pemahaman bahasa dan Matematik di sekolah. Guru-guru akan memberi mereka perhatian yang lebih tertumpu untuk membantu mereka," tambah beliau.

Projek DIAN@M³ juga akan memastikan bahawa kanak-kanak kecil memasuki prasekolah.

"Kami dapati ramai anak-anak daripada keluarga (seperti) ini tidak menghadiri pusat-pusat prasekolah dan ini akan menjadi satu 'kerugian' kepada mereka kerana hari ini kita mempunyai subsidi yang begitu besar. Jadi mereka yang berpendapatan rendah misalnya, akan dapat diberi subsidi di mana yuran untuk menghantar anak mereka ke pusat-pusat tajaka hanya S$3 sebulan sahaja."

Dalam pada itu, program UPLIFT yang diterajui Dr Maliki sedang dalam perancangan untuk diperluaskan lagi ke lebih banyak kawasan.

Lebih 300 pelajar di empat kawasan - Boon Lay, Bukit Merah, Kreta Ayer dan Woodlands - sudah meraih manfaat daripada projek itu sejak ia dilancarkan pada tahun lalu.

"80 peratus di antara para penuntut dalam UPLIFT sudahpun menunjukkan prestasi yang lebih baik. Mereka mula ke sekolah dan menunjukkan prestasi lebih baik dari sebelum mereka memasuki program ini," kongsi Dr Maliki.

"Kami sedang membuat rancangan untuk meningkatkan UPLIFT dan menyebarkan UPLIFT ke kawasan-kawasan lain tetapi ini masih dalam perbincangan dan akan kami umumkan tidak lama lagi."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan