Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendidik veteran Shawal Hussin kini jadi Pengetua Sekolah Menengah Fuchun

Guru-guru yang tidak menggunakan teknologi akan menghadapi kesukaran untuk menarik minat dan perhatian para pelajarnya yang tergolong dalam generasi yang membesar dalam era kecanggihan teknologi ini. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Guru-guru yang tidak menggunakan teknologi akan menghadapi kesukaran untuk menarik minat dan perhatian para pelajarnya yang tergolong dalam generasi yang membesar dalam era kecanggihan teknologi ini.

Mentelah lagi terdapat cabaran-cabaran baru yang timbul dek COVID-19 yang menekankan semakin pentingnya penggunaan teknologi dalam proses mengajar. Disebabkan itu juga, pihak sekolah perlu mengubah suai proses pengajaran akibat gangguan kepada cara operasi biasa dalam pandemik ini.

Demikian menurut pendidik veteran, iaitu pengetua baru Sekolah Menengah Fuchun, Encik Shawal Hussin. Beliau antara 59 pengetua sekolah yang menerima watikah pelantikan masing-masing pada Jumaat (3 Dis).

"Sebagai contoh, guru-guru boleh menggunakan media sosial untuk menggalakkan anak-anak murid aktif dalam perbincangan," kongsi Encik Shawal, yang mempunyai pengalaman luas selama 26 tahun dalam sektor pendidikan.

"Teknologi juga membenarkan pembelajaran berlaku bila-bila masa dan di mana sahaja, tidak terkongkong kepada kelas fizikal," tambahnya lagi.

Menurutnya, teknologi turut membolehkan para guru menghidupkan sesuatu topik atau subjek melalui pelbagai teknik pedagogi, dan ini membenarkan mereka mengajar dengan lebih berkesan lagi.

"Bagi anak murid generasi sekarang yang membesar dalam era kecanggihan teknologi, guru-guru yang tidak boleh gunakan teknologi akan sukar untuk menarik minat dan perhatian mereka," tegas beliau.

Encik Shawal sendiri sebelum ini memimpin sekolahnya menjadi antara yang pertama untuk menerapkan sistem portal pelajar (SLS).

Beliau yang merupakan pengetua di Sekolah Menengah Orchid Park akan rasmi menjadi pengetua Sekolah Menengah Fuchun berkuat kuasa 15 Disember ini.

Ini merupakan sekolah ketiga beliau pimpin sebagai pengetua sekolah.

Kini, beliau tidak sabar untuk berkongsi pengalamannya dalam bidang ilmu pendidikan teknologi kepada para guru di sekolah barunya. Ini agar mereka dapat menggunakan teknologi di dalam kelas masing-masing dengan cara yang berkesan.

"InsyaAllah, bersama-sama kita dapat meningkatkan kemahiran kita dalam menggunakan teknologi untuk faedah anak murid," menurut Encik Shawal.

APA PANDANGAN PENGETUA INI TENTANG PERKEMBANGAN PELAJAR MELAYU?

Mencedok pengalamannya dalam sektor pendidikan sejak suku abad lalu pula, Encik Shawal ditanya mengenai pemerhatiannya tentang para pelajar Melayu.

Gambar: Shawal Hussin

(Gambar: Shawal Hussin)

Menjawab, Encik Shawal berkata beliau mendapati ada suatu peningkatan ketara berhubung pencapaian para pelajar Melayu.

"Di bangku sekolah, saya melihat lebih ramai pelajar Melayu yang tidak gentar lagi dengan subjek-subjek seperti bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Mereka bukan hanya lulus dalam subjek-subjek ini tetapi mereka boleh lulus dengan cemerlang," kongsi Encik Shawal yang kini berusia 52 tahun.

Di sini, beliau mengajak para ibu bapa untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah agar sama-sama dapat memastikan pencapaian cemerlang.

"Untuk pelajar Melayu terus maju dalam pendidikan, peranan ibu apa tidak boleh dipersoalkan. Sokongan, pengawasan serta kerjasama ibu bapa amat penting," ujar Encik Shawal.

Sumbangan Encik Shawal sebenarnya bukan sekadar kepada sekolah-sekolah yang beliau pimpin sahaja.

Sejak 10 tahun yang lepas, beliau aktif sebagai seorang mentor bagi pengetua dan naib pengetua baru di bawah Program Kepimpinan dalam Pendidikan (LEP) dan Akademi Pengetua Singapura. Lima pengetua baru berada di bawah naungannya.

35 PENGETUA PINDAH SEKOLAH

Dalam majlis pelantikan hari ini (3 Dis), 35 daripada 59 pengetua sekolah merupakan pelantikan semula dan mereka dikerah ke sekolah-sekolah lain.

Baki 24 pula adalah pelantikan kali pertama, termasuk Cik Nur Sabariah Mohd Ibrahim. Naib pengetua Sekolah Rendah Admiralty itu dinaikkan pangkat menjadi pengetua baru Sekolah Rendah Yew Tee.

Berikut adalah senarai tujuh pengetua Melayu yang dikerah semula ke sekolah-sekolah lain:

- Rasidah Rahim dari Sekolah Menengah Queenstown ke Sekolah Menengah Clementi Town

- Sulaiman Mohamad Yusof dari Sekolah Menengah Naval Base ke Sekolah Menengah Greendale

- Mohd Azhar Terimo dari Sekolah Menengah Bartley ke Sekolah Menengah Pei Hwa

- Mohamed Razali dari Sekolah Menengah Junyuan ke Sekolah Menengah Meridian

- Noorismawaty Ismail dari Sekolah Rendah Huamin ke Sekolah Rendah Greendale

- Norliza Rahim dari Sekolah Rendah Anchor Green ke Sekolah Rendah Punggol

- Shawal Hussin dari Sekolah Menengah Orchid Park ke Sekolah Menengah Fuchun.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan