Skip to main content

Singapura

Pendidik Sokongan Pembelajaran di prasekolah akan ditambah kepada 200, tiga kali ganda berbanding sekarang

Program pendidikan inklusif bagi kanak-kanak berkeperluan khas mendapat rangsangan besar hari ini (29 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Program pendidikan inklusif bagi kanak-kanak berkeperluan khas mendapat rangsangan besar hari ini (29 Apr).

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faishal Ibrahim mengumumkan bilangan Pendidik Sokongan Pembelajaran (LSEd) di prasekolah akan ditambah kepada 200 orang dalam empat tahun akan datang. Ia satu kenaikan hampir tiga kali ganda berbanding sekarang.

Beliau berkata demikian di acara 'Walkathon' Iyad Perdaus. Seramai 500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat berjalan bersama sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Related article image

Diadakan sempena ulang tahun Iyad Perdaus yang ke-25, acara 'BREAKING BARRIERS: I'MPOSSIBLE' ini mendapat pujian Dr Faishal dalam mempromosikan budaya inklusif, terutama sekali dalam pendidikan kanak-kanak.

Tahun lalu, Iyad menjadi antara prasekolah pertama yang menawarkan Program Sokongan Pembangunan (DSP).

Ia bagi melengkapkan kanak-kanak dengan keperluan pembangunan, kemahiran yang sesuai di peringkat prasekolah dan bersedia untuk pendidikan sekolah rendah.

Dalam usaha untuk meningkatkan lagi sokongan bagi kanak-kanak sedemikian, Dr Faishal berkata MSF berharap dapat menambah jumlah LSEd kepada 200 orang menjelang empat tahun akan datang berbanding 72 sekarang.

Beliau menambah: "Ini menunjukkan kami mahu memberikan lebih banyak ruang bagi anak-anak ini untuk membangun kerana kami yakin dengan adanya lebih banyak sokongan dan pendekatan, mereka boleh membangun dan kami boleh memaksimumkan potensi mereka".

Tambah beliau lagi, "MSF akan terus memberi sokongan kepada badan-badan seperti Iyad ataupun masyarakat, lebih-lebih lagi ibu bapa dalam proses ini kerana kami yakin bahawa dengan adanya pendekatan yang lebih banyak dan juga peruntukan bagi aspek-aspek inklusif ini, ia akan mendatangkan kebaikan kepada seluruh masyarakat Singapura".

DSP memberi tumpuan pada bahasa, celik huruf, tulisan tangan dan kemahiran sosial, mengikut keperluan kanak-kanak.

Related article image

Kesannya amat positif di Iyad dan Perdaus percaya lebih ramai dapat meraih manfaatnya.

Menurut Presiden Perdaus, Encik Safarin Amerudin, "Kami melihat setiap anak itu mempunyai kelebihan mereka tersendiri. Walaupun mereka berkeperluan khas atau tidak. Jadi dalam suasana di mana mereka boleh berinteraksi sama-sama, kami berharap mereka boleh berkenalsuai dengan sahabat-sahabat mereka yang lain tanpa melihat keperluan khas itu sebagai suatu hambatan".

Iyad berharap usaha ini boleh dimajukan lagi dengan perkongsian amalan terbaik antara para pendidik prasekolah. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita