Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penderma darah A+ & O+ diperlukan segera

Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) menyeru penderma darah A+ dan O+ agar tampil untuk menambah stoknya yang rendah. Ini disebabkan penggunaan lebih tinggi kedua-dua jenis darah itu dan jumlah penderma darah jauh lebih rendah berbanding biasa.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) menyeru penderma darah A+ dan O+ agar tampil untuk menambah stoknya yang rendah. Ini disebabkan penggunaan lebih tinggi kedua-dua jenis darah itu dan jumlah penderma darah jauh lebih rendah berbanding biasa.

Persatuan itu dalam satu catatan Facebook pada Jumaat malam (8 Jul) menyatakan 600 unit darah jenis A+ dan 1,200 unit darah O+ "mesti dikumpulkan sepanjang dua minggu akan datang untuk membawa stok darah kami kembali ke paras yang sihat".

"Jika tidak, pembedahan elektif utama yang memerlukan darah A+ dan O+ akan perlu ditangguhkan."

Ia sudahpun mula menghubungi penderma yang memiliki jenis darah tersebut pada Khamis lalu melalui kiriman mesej dan wadah media sosial, namun ramai pendermanya kini positif COVID-19, jelas SRC.

Ia menggalakkan semua individu sihat, berusia 18 hingga 60 tahun dengan berat badan sekurang-kurangnya 45 kilogram, yang mempunyai jenis-jenis darah itu supaya tampil ke depan untuk mendermakan darah mereka.

Penderma darah yang belum mendermakan darah mereka dalam tempoh 12 minggu lalu juga digalakkan berbuat demikian.

Orang ramai yang membuat perjalanan ke luar negara dalam tempoh empat bulan lalu harus memeriksa kelayakan mereka sebelum mengunjungi bank darah kerana mereka mungkin tidak dapat mendermakan darah mereka dek sejarah perjalanan, menurut Palang Merah Singapura.

Penderma darah yang berminat boleh memuat turun aplikasi mudah alih DonateBlood dan melengkapkan satu soal selidik tentang kesihatan untuk menyingkatkan masa menunggu di bank darah.

Mereka juga boleh menghubungi Palang Merah Singapura di talian 6220 0183 atau melayari laman web giveblood.sg untuk memeriksa kelayakan mereka, membuat janji temu serta memeriksa waktu pembukaan bank darah.

Mereka juga boleh pergi ke mana-mana daripada empat bank darah atau pusat darah masyarakat yang tersedia tanpa perlu membuat janji temu.

Semua bank darah akan ditutup pada Ahad sempena cuti umum Hari Raya Haji. Semua bank darah kecuali yang terletak di Penguasa Sains Kesihatan (HAS) akan dibuka semula pada Isnin.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Jumaat menyeru orang ramai yang mempunyai darah jenis A+ dan O+ agar mendermakan darah mereka.

"Sebarkan berita ini... Kepada semua penderma darah A+ dan O+, kami memerlukan anda," tulisnya di Facebook.
 
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan