Skip to main content

Singapura

Penderita penyakit paru-paru dan jantung jarang berlaku tubuh kumpulan sokongan, jadi pemangkin penyakit kian dikenali

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bagi kebanyakan orang, bibir biru mungkin sekadar gaya fesyen unik.

Namun bagi Mohd Amin Mubaruk, 61 tahun, bibir biru adalah simptom sekaligus simbol perjuangannya melawan penyakit yang dikenali sebagai pulmonary hypertension (PH).

PH ialah penyakit yang menyebabkan tekanan darah tinggi dalam saluran darah paru-paru hingga menjejas bahagian kanan jantung.

Antara simptom penyakit PH termasuk sakit dada, degupan jantung yang pantas, kelelahan dan sesak nafas.

Diagnosis awal penyakit itu amat penting untuk kelangsungan hidup, namun ia sering disalah anggap sebagai penyakit jantung atau paru-paru yang lebih lazim berlaku.

"Saya didiagnos pada 2004, pada masa itu di Pusat Jantung Nasional (NHC). Saya lalui beberapa ujian dan doktor di sana mengatakan mereka tidak boleh buat apa-apa. Pada masa itu juga, belum ada pakar buat penyakit PH pada masa itu," ujar beliau, mengimbas awal kisah hidupnya.

Nasib kemudian membawanya ke klinik keluarga di mana beliau terlihat di sebuah majalah bahawa ada sebuah klinik pakar penyakit PH di Pusat Jantung Universiti Nasional Singapura (NUHCS).

Beliau kemudian memutuskan untuk ke klinik tersebut untuk mendapat pandangan berbeza daripada pakar.

Pertemuan pertama Encik Amin dengan Profesor Madya James Yip di NUHCS menjadi titik perubahan baginya.

"Selepas beberapa minggu, beliau meminta saya untuk dimasukkan ke hospital bagi pemeriksaan jantung. Hasilnya, doktor mendapati tekanan darah dalam paru-parunya sangat tinggi dan beliau memberi rawatan jangka panjang," kongsi Encik Amin.

Terdetik di fikiran Encik Amin bahawa tidak mungkin beliau seorang sahaja yang menghidap penyakit tersebut.

"Daripada 2004 saya terfikir tidak mungkin saya seorang yang ada penyakit ini, saya tanya kepada doktor 'Mana boleh saya cari pesakit-pesakit macam saya?' Beliau kemudian sarankan untuk mulakan kumpulan sokongan," kata Encik Amin.
Encik Amin sedang berbual dengan anggota PHSG yang lain. (Gambar: NUHCS)
INGIN TINGKATKAN KESEDARAN MASYARAKAT TENTANG PH MELALUI KUMPULAN SOKONGAN

Sebagai pengasas kumpulan sokongan Pulmonary Hypertension Singapore (PHSG), Encik Amin tekad untuk meningkatkan kesedaran tentang penyakit PH di dalam masyarakat melalui acara dengan sokongan NUHCS.

PHSG secara rasmi didaftarkan sebagai pertubuhan bukan mencari untung (NGO) pada 2015, tahun yang sama ia ditubuhkan.

Kerjasama pertubuhan itu dengan NUHCS sejak sedekad adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pengesanan awal serta sokongan buat pesakit PH.

Dalam masa yang sama, mendekati masyarakat terutama sekali pesakit, para penjaga dan pakar perubatan untuk lebih memahami penyakit ini dan meningkatkan kesedaran kumpulan sokongan dan pendidikan buat pesakit.

Buat masa ini, kumpulan sokongan itu mempunyai kira-kira 30 anggota.

Meski sudah bersara dek usia dan keadaan kesihatan yang semakin memburuk, beliau masih bersemangat kental untuk mendidik orang ramai akan gejala awal dan risiko penyakit ini.

"Tujuan saya ialah untuk mendidik orang ramai supaya mereka tahu apa penyakit ini dan macam mana (gejala) penyakit ini dan apa risiko penyakit ini," kata Encik Amin.

Walaupun berdepan dengan cabaran pelbagai penyakit selain PH, Encik Amin bersemangat waja, kekal positif dan tidak berputus asa.

"Saya selalu mengatakan bahawa ini (penyakit) adalah satu cabaran dan saya tidak boleh hindari. Kedua, cara saya kekal positif adalah untuk bercampur dengan orang ramai.

"Kita mesti be berfikiran positif. Kalau boleh jangan hampa diri dan cari bantuan lain kalau boleh. Saya juga selalu bilang mereka (pesakit lain) untuk pergi bersenam sebab bersenam adalah satu usaha untuk kuatkan (imuniti) badan," kongsi Encik Amin.
Pengarah Eksekutif NUHCS, Profesor Madya James Yip dengan pesakitnya, Mohd Amin Mubaruk. (Gambar: NUHCS)
DOKTOR TEKANKAN PERANAN PENTING KUMPULAN SOKONGAN

Bagi Profesor Madya James Yip, Pengarah Eksekutif, NUHCS, Encik Amin bukan sekadar pesakit, tetapi juga rakan seperjuangan.

"Encik Amin bukan sahaja kawan, tetapi juga pesakit saya selama 21 tahun. Beliau mendapat pandangan saya ketika saya baru balik daripada latihan di Toronto (Amerika Syarikat). Saya mungkin salah satu pakar jantung yang dilatih dalam penyakit PH.

"Pada ketika itu beliau diberikan pilihan untuk menjalani pembedahan tetapi saya menasihatkan supaya tidak melakukan pembedahan kerana kami mendapat tahu bahawa ia akan lebih memudaratkan kesihatannya," kata Prof Yip.

Beliau menambah bahawa ketika itu, rawatan buat penyakit PH masih baharu dan ubat seperti 'Sildenafil' boleh menyelamatkan nyawanya.

Prof Yip turut menegaskan peranan penting kumpulan sokongan PHSG.

"Pertubuhan seperti PHSG meningkatkan kesedaran. Jadi juga sebagai pensyarah di Universiti Nasional Singapura (NUS), kami mendidik pelajar perubatan dan setiap tahun kami ada kuliah di mana kami kongsikan tentang penyakit ini dan meningkatkan kesedaran di kalangan para pelajar.

"Dan ketika pakar jantung datang untuk latihan, kami akan melatih mereka untuk mendiagnos penyakit ini. Akhir sekali dengan kolaborasi dengan doktor lain di Singapura, lama kelamaan lebih ramai beminat untuk ketahui lebih lanjut tentang penyakit ini," kongsi Prof Yip.

Baginya, kerjasama antara hospital dan pesakit seperti Encik Amin telah mengubah cara rawatan PH dijalankan di Singapura.

"Encik Amin sudah ajar saya banyak pekara, beliau mengingatkan saya akan pentingnya rehabilitasi. Dia mencadangkan dan menekankan pentingnya program rehabilitasi buat PH sehinggakan kini, setiap hospital ada sebuah program pemulihan khusus untuk membantu pesakit dengan penyakit ini.

"Anda boleh lihat kuasa kumpulan sokongan ini di mana ia boleh membawa kumpulan perubatan bersama, mereka daripada hospital berbeza. Mereka juga boleh mendapatkan industri perubatan untuk mendapatkan tajaan bagi acara meningkatkan kesedaraan. Mereka juga boleh mengubah cara pakar kesihatan melakukan sesuatu," kongsi Prof Yip.

KEMPEN 'BLUE LIPS' DIANJURKAN SEMPENA BULAN KESEDARAAN PH

Tahun ini, Kempen 'Blue Lips' dianjurkan sempena ulang tahun ke-10 Pulmonary Hypertension Singapore (PHSG) dan Bulan Kesedaran Pulmonary Hypertension (PH).

Sepanjang bulan November ini, orang ramai boleh mengunjungi reruai-reruai yang tersedia di beberapa hospital di merata Singapura untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit PH.
Reruai kempen "Blue Lips" yang tersedia di NUH pada Selasa (4 Nov). (Gambar: Nurfazirah Azman)
Antaranya di Pusat Jantung Singapura pada Jumaat (7 Nov) dan Hospital Tan Tock Seng pada 14 November.

Di acara itu, orang ramai boleh menyertai beberapa aktiviti menarik seperti bermain kad interaktif, menulis mesej sokongan di papan buat pesakit dan 'photobooth' dengan tema 'Blue Lips" untuk dikongsikan di media sosial.

Lebih 200 peserta termasuk pesakit, para penjaga dan kakitangan perubatan hadir di acara yang diadakan di NUH pada Selasa (4 Nov).
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita