Skip to main content

Singapura

Pendekatan SG terhadap perlindungan media sosial bagi kanak-kanak 'lebih bersasar' berbanding larangan menyeluruh: Rahayu Mahzam

Pendekatan Singapura terhadap sekatan media sosial bagi kanak-kanak adalah “lebih ketat” berbanding larangan menyeluruh, kata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam pada Rabu (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Pendekatan SG terhadap perlindungan media sosial bagi kanak-kanak 'lebih bersasar' berbanding larangan menyeluruh: Rahayu Mahzam

Singapura mengambil pendekatan yang berbeza, yang dapat bertahan mengikuti peredaran masa dalam melindungi golongan muda di media sosial. (Gambar: iStock/Kenneth Cheung)

SINGAPURA: Pendekatan Singapura terhadap sekatan media sosial bagi kanak-kanak adalah “lebih ketat” berbanding larangan menyeluruh, kata Menteri Negara Penerangan dan Pembangunan Digital Rahayu Mahzam pada Rabu (6 Mei).

“Kami mengambil pendekatan yang berbeza, iaitu kami mahukan sesuatu yang lebih berkesan, pendekatan yang lebih mampan yang dapat bertahan mengikut peredaran masa serta perkembangan teknologi.”

Cik Rahayu berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan di parlimen yang dibangkitkan oleh Anggota Parlimen Vikram Nair (PAP-Sembawang), yang berkata bahawa Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) perlu mengambil “pendekatan lebih tegas” dan “menetapkan sempadan yang jelas” berhubung sekatan media sosial terhadap golongan muda, seperti yang dilakukan beberapa negara lain.

Cik Rahayu bersetuju bahawa terdapat ciri-ciri dan dimensi-dimensi tertentu pada platform media sosial yang memberi kesan kepada golongan muda, namun pendekatan kementerian adalah untuk menyasarkan aspek-aspek khusus tersebut.

“Pendekatan kami sentiasa berasaskan hasil, dan kami telah membinanya secara berperingkat.”

Singapura sudah memperkenalkan beberapa sekatan berkaitan umur terhadap penggunaan media sosial, kata beliau. Ini termasuk Kod Amalan bagi Keselamatan Online untuk perkhidmatan media sosial, keperluan pengesahan umur bagi aplikasi, serta kewajipan pelaporan tahunan yang perlu dikemukakan platform-platform media sosial kepada kementerian.

“Pada masa hadapan, kami akan memperluas langkah ini kepada perkhidmatan media sosial yang ditetapkan, dan melihat bukan sahaja kepada kandungan tetapi juga ciri reka bentuk.”

Beliau menambah bahawa pendekatan Singapura adalah untuk menyasarkan ciri-ciri reka bentuk yang menyebabkan kemudaratan khusus kepada para pengguna muda.

Larangan menyeluruh, kata Cik Rahayu, “mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut”.

TIDAK TOLAK LARANGAN

Namun demikian, beliau berkata kementerian tidak menolak kemungkinan larangan sedemikian dan akan “melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi golongan muda kita”.

Beliau turut menyatakan bahawa idea larangan media sosial bukanlah pendirian yang diterima secara global, sambil merujuk kepada Australia yang sudah melakukan pindaan kepada perundangannya agar ia menjadi lebih bersasar.

Pada Mac, pemerintah Australia mengumumkan kemas kini kepada undang-undangnya yang melarang golongan muda daripada menggunakan platform media sosial dengan menyasarkan ciri-ciri ketagihan tertentu, seperti algoritma cadangan dan fungsi menatal tanpa henti.

“Kami mempunyai langkah-langkah perlindungan sedia ada dan tidak berpendapat bahawa pelaksanaan larangan secara tergesa-gesa adalah suatu langkah yang terbaik. Kami tidak menolak pilihan itu, namun sedang mengkaji apa yang lebih berkesan untuk mencapai hasil yang diinginkan.”

Encik Nair turut mengemukakan soalan di parlimen berhubung sama ada Singapura akan mempertimbangkan untuk mengawal akses golongan muda kepada media sosial, termasuk kemungkinan mengenakan larangan.

Beliau merujuk kepada keputusan juri di Amerika Syarikat pada Mac yang mendapati bahawa Meta dan Alphabet bertanggungjawab mewujudkan platform yang mendorong ketagihan yang menyebabkan masalah kesihatan mental dalam kalangan golongan muda.

“Kami mengambil rujukan daripada penghakiman tersebut, daripada keputusan dan maklumat yang kami lihat. Dapatan itu sebenarnya menambah kepada bukti yang semakin berkembang.

“Kami tahu kemudaratan itu nyata dan kami memandangnya dengan serius.”

Dalam satu jawapan bertulis pada 5 Mei, MDDI menyatakan bahawa ia akan terus mempertingkatkan langkah perlindungan bagi kanak-kanak dalam perkhidmatan media sosial yang ditetapkan.

“MDDI sedang meneliti dengan teliti ciri-ciri pada perkhidmatan ini, seperti mesej langsung dan fungsi 'auto-play', yang boleh mengakibatkan interaksi yang tidak diingini dengan pihak yang tidak dikenali atau penggunaan berlebihan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.”

Kementerian itu menambah bahawa ia juga sedang melakukan perbincangan secara aktif dengan perkhidmatan media sosial yang ditetapkan bagi memperincikan jangkaan terhadap piawaian yang perlu dipatuhi mereka.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita