Pendekatan SG tentukan tarikh & waktu ibadah bagi umat Islam dipuji, wajar dicontohi negara lain
SINGAPURA: Pendekatan Singapura dalam menentukan tarikh dan waktu ibadah bagi orang Islam seperti waktu solat dan permulaan bulan Ramadan dan Aidilfitri dipuji ahli Falak terkemuka dunia, Mohammad Shawkat Odeh.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Pusat Astronomi Antarabangsa di Amiriah Arab Bersatu berkata pendekatan sedia ada Singapura yang melakukan kiraan Falak menggunakan kriteria-kriteria berdasarkan sains dan ilmu Falak wajar dicontohi.
"Apa yang kami perhatikan, ia adalah idea yang baik yang kalendar ditentukan berdasarkan kriteria-kriteria yang sudah ditentukan dan apabila bulan-bulan itu datang (seperti Ramadan, Syawal), mereka tidak mengubah tarikhnya, mereka hanya ikut apa yang sudah ditetapkan mengikut kiraan sebelumnya. Apa yang positif tentang pendekatan itu ialah ianya berdasarkan penampakan anak bulan. Jadi ini adalah gabungan antara syarat-syarat syariah dengan tujuan memudahkan orang kerana ada negara, walaupun mereka sudah ada kalendar yang ditentukan mengikut kiraan awal, mereka mengikut hasil pencerapan anak bulan," kata Encik Odeh.
Menurutnya, Singapura merupakan negara kedua di dunia, selepas Turki yang menggunakan pendekatan moden itu.
Encik Odeh juga mencadangkan supaya negara-negara lain menggunakan pendekatan sedemikian.
"Kami mengesyorkan negara-negara lain, lebih-lebih lagi negara Islam untuk gunakan pendekatan seperti di Singapura iaitu untuk menetapkan kalendar bergantung kepada kiraan berdasarkan kriteria-kriteria atau garis panduan bagi penampakan anak bulan. Jadi ia sejajar antara hasil sebenar dengan apa yang sudah dikira lebih awal, jadi orang tahu lebih awal bila jatuhnya cuti umum. Tidak akan ada masalah untuk masyarakat apabila tarikh sebenar diumumkan," jelas Encik Odeh.
Kebanyakan negara lain masih bergantung pada kaedah pencerapan anak bulan.
Namun pendekatan demikian boleh mendatangkan beberapa masalah dan kesukaran.
Faktor-faktor seperti kejelasan hasil pencerapan yang boleh dipengaruhi oleh mutu udara, cuaca dan teknologi wadah yang digunakan untuk mencerap anak bulan, dijelaskan dengan lebih terperinci lagi oleh Encik Odeh dalam Bengkel Falak yang dianjurkan baru-baru ini.
Ini merupakan kali pertama Bengkel Falak dianjurkan oleh Pejabat Mufti untuk para asatizah dan penuntut madrasah.
"Sesi-sesi seperti hari ini, Bengkel Falak di antara usaha-usaha dari Pejabat Mufti dan MUIS yang berterusan untuk memperkasakan lagi cara dan metode kepimpinan keagamaan di Singapura. Bagi ilmu Falak adalah dalam menentukan permulaan bulan-bulan Islam dan juga waktu solat kerana banyak perkembangan teknologi hari ini yang makin pesat termasuk dalam bidang astronomi Islam ataupun ilmu Falak itu sendiri. Sebagai contoh, wujudnya teknologi 'Imaging' ataupun penggambaran yang lebih tepat dan jelas. Adakah teknologi sedemikian boleh digunakan untuk memperhalusi lagi usaha menentukan dan menetapkan tarikh permulaan Islam ini? Sesuatu perbincangan yang berlaku bukan hanya di Singapura tetapi di peringkat global," ujar Dr Nazirudin.
"Beberapa pakar antarabangsa di antaranya salah seorang pakar yang kami jemput untuk menyertai bengkel ini (Encik Odeh) telah membuat kajian yang berterusan dan juga dapatan-dapatan terkini dan dapatan sedemikian serta kepakaran sedemikian amat sangat membantu usaha kita untuk memperhalusi lagi dan juga memperkukuhkan lagi usaha menentukan takwim Hijri kita dan waktu solat dan sebagainya. Dalam kita meneliti perkembangan zaman dan juga tempat di mana sesuatu masyarakat itu melaksanakan kewajipan agama mengikut konteks mereka dan ini adalah satu usaha Singapura untuk sebenarnya mempelopori dan juga mengembangkan lagi bidang ini dengan lebih teratur, lebih sistematik dan profesional," tambahnya.
Misalnya, pendekatan sedemikian sebenarnya sudah digunakan sejak 1974 lagi dan diperkenalkan oleh mantan Mufti Negara, Almarhun Syed Isa Semait.
"Ini bermula daripada sumbangan mantan-mantan Mufti di Singapura termasuk Syaikh Isa. Beliau orang yang pertama yang mengusulkan penggunaan ilmu hisab ataupun perkiraan kerana keadaan atmosfera Singapura yang menjadikan pencerapan anak bulan itu begitu sukar sekali. Jadi, hasil daripada usaha dan sumbangan mereka diteruskan," kata Dr Nazirudin.
Antara individu yang kian giat berkongsi ilmu dan mencetus minat terhadap ilmu Falak dalam kalangan para asatizah ialah Ustaz Dr Firdaus Yahya.
Beliau juga merupakan individu yang mencipta sofwe bagi mengira waktu solat di Singapura yang masih lagi digunakan sehingga hari ini.
Di Bengkel Falak itu, Dr Firdaus juga berkongsi tentang pendekatan bagi membuat kiraan dalam Ilmu Falak seperti kiraan 'Topocentric anda Geocentric'.
Bagi dirinya, usaha menganjurkan bengkel sebegitu baik untuk menimbulkan minat, kesedaran dalam kalangan asatizah dan masyarakat sekaligus untuk membentuk generasi pelapis bagi sektor tersebut.
"Sekarang asatizah menunjukkan minat sangat mendalam terhadap ilmu ini dan mereka sebenarnya mendahagakan agar dapat didedahkan kepada asas asas ilmu. Ini kerana soalan-soalan akan timbul daripada masyarakat berkenaan dengan bagaimana menentukan waktu solat arah kiblat dan juga penentuan awal bulan. Jadi mereka lebih bersedia untuk menjawab soalan tersebut," tambahnya.
Bengkel dua hari itu (7 & 8 Jul) itu dihadiri sekitar 80 peserta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.