Pendekatan segar generasi muda tarik golongan seusia, lestarikan pusaka budaya Melayu
This audio is generated by an AI tool.
Kini, beliau boleh dianggap sebagai antara pelapis bagi memperjuangkan seni warisan.
Dalam lebih dua dekad beliau terlibat dalam usaha itu, Duta Bahasa ini mendapati terdapat jurang dalam penglibatan golongan muda.
Kurangnya pembaharuan baginya merupakan antara faktor yang menyebabkan ramai warga muda semakin tidak berminat terhadap seni budaya.
Ini mendorong beliau untuk ingin mendekati golongan muda dengan penubuhan Meja Conteng.
Kolektif sastera yang diasaskan bersama oleh Encik Hidayat, Cik Aisyah Lyana dan Encik Fadhli Fadzil pada 2024 itu ditubuhkan untuk cuba menarik golongan muda.
Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, beberapa pembaharuan diterapkan oleh Meja Conteng yang kini mempunyai 10 orang anggota.
Antaranya ialah pencetakan 'zine'.
Zine ialah sejenis cetakan yang mengandungi elemen-elemen visual yang menarik dan sesuai untuk pelbagai citarasa terutama sekali golongan muda.
Dengan penerbitan zine juga, penulis-penulis muda ini sudah menyebarkan sayap ke seberang tambak untuk bekerjasama dengan penulis-penulis Malaysia bagi zine 'Arus' yang dilancarkan pada akhir tahun lalu.
Selain itu, Meja Conteng juga menghidupkan karya-karya penulisan mereka ke atas pentas.
"Antara projek yang kami telah lakukan adalah 'Cerpen Ke Panggung' dan 'Puisi Ke Panggung' di mana bentuk-bentuk penulisan ini diolah semula ataupun diadaptasi semula untuk pementasan pentas," kongsi Encik Hidayat.
Meja Conteng akan menjayakan sebuah pementasan pada 27 Jun ini di Taman Warisan Melayu (TWM) sempena pelancaran buku baharu berjudul 'Terlena Di Teluk Bibir'.
Selain kerja keras para penulis muda ini, sokongan oleh badan-badan seperti Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan TWM juga membantu Meja Conteng menjangkau lebih jauh lagi.
Malah, TWM sudah menyokong ramai lagi anak muda dalam usaha mereka melestarikan budaya.
Misalnya, dalam festival pembukaan semula TWM baru-baru ini, hampir 50 peratus rakan kerjasama TWM terdiri daripada golongan belia.
"Kami rasa mereka dalam satu kedudukan yang strategik dalam masyarakat. Dalam konteks Singapura yang berbilang kaum dan kosmopolitan, belia-belia ini sangat penting kerana mereka menjadi perantara bagi golongan-golongan pelbagai peringkat umur bagi yang muda dan juga yang tua dan mereka juga menjadi perantara bagi golongan berbilang kaum (kerana) kebanyakannya berkebolehan untuk berdwibahasa," jelas Cik Liyana.
Antara usaha yang turut dialu-alukan TWM oleh kumpulan-kumpulan seperti Meja Conteng ialah wujudnya wacana tentang seni Melayu.
"Kita harus mempunyai keinginan ataupun kebolehan untuk membicarakan seni warisan budaya Melayu dalam segi ilmiah dan dengan cara itu, kemungkinan budaya itu akan terus berkembang dan difahami dan dengan itu pelestarian itu akan lebih mantap," tambah beliau.
TWM juga bersedia membantu kumpulan-kumpulan belia melakarkan program mereka agar boleh lebih dinikmati ramai.
PEMBAHARUAN TANPA MENGGADAI ASAS WARISAN
Sebuah lagi kumpulan belia yang meraih manfaat bekerjasama dengan TWM ialah GerakAntara.
GerakAntara ialah sebuah kumpulan silat yang ditubuhkan oleh para graduan dari kumpulan silat Universiti Teknologi Nanyang (NTU).
Daripada sebuah persembahan silat di majlis perkahwinan rakan mereka, respons positif yang diterima daripada persembahan tersebut mendorong salah seorang daripada kumpulan itu, Encik Muhammad Fikri Fazil, untuk mengasaskan GerakAntara.
Sejak penubuhannya pada 2024, GerakAntara telah mengendalikan bengkel-bengkel dan program-program silat bagi anak-anak muda.
Ini termasuk program-program di prasekolah dan juga dalam acara ReadySetLearn anjuran MENDAKI pada Mei lalu.
'Melting' ialah gerakan yang mana para pesilat melepaskan ketegangan sebelum menyambung pergerakan di lantai.
Menurut Encik Fikri, elemen-elemen kontemporari tersebut bertujuan untuk menangani jurang dalam mendekati golongan muda.
"Kami amat menghormati kumpulan-kumpulan silat yang telah sedia ada yang telah lama berjasa mengekalkan warisan ini. Keputusan kami untuk membina kumpulan ini adalah untuk menyumbang dari sudut yang berbeza. Selain itu, kami lihat ada lagi ruang untuk mendekati golongan muda melalui sumbangan-sumbangan yang lebih kepada kontemporari ataupun dinamik tanpa menghilangkan asas ilmu silat yang asli," jelas beliau.
Antaranya ialah Cik Salmah Harris, 34 tahun.
"(Saya) tertarik kepada misi GerakAntara iaitu untuk meneroka cara-cara baharu untuk mempersembahkan dan memperkenalkan silat sambil tetap menghormati tradisi dan akar warisan seni silat Melayu di Singapura," kongsi Cik Salmah.
"GerakAntara membantu saya untuk menjadi lebih kreatif dari segi menghasilkan koreografi sama ada daripada dari pergerakan tradisional atau kontemporari. GerakAntara juga membantu saya untuk mengekspresikan diri saya melalui pergerakan dan juga gaya persembahan yang berbeza," renung Encik Fuad.
HARAPAN KUMPULAN-KUMPULAN BELIA UNTUK TERUS MEMPERJUANGKAN PELESTARIAN BUDAYA
Sememangnya, usaha mendekati golongan muda untuk melestarikan budaya oleh kumpulan-kumpulan belia bukanlah mudah.
Berkat kesungguhan mereka dan sokongan daripada badan-badan seperti TWM, kumpulan-kumpulan ini berjaya menembusi golongan sasaran mereka.
Namun, untuk terus berkembang, mereka berharap lebih banyak sokongan dapat diberikan daripada pelbagai aspek.
"Kami berharap dapat menerima sokongan dalam bentuk peluang persembahan, program pembangunan belia dan juga bekerjasama dengan badan-badan masyarakat. Saya percaya dengan sokongan ini, kumpulan-kumpulan yang belia seperti kami dapat sambung dapat sambung berkembang dan juga menyumbang dari segi pemeliharaan warisan dan budaya Melayu," luah Encik Fikri.
Bagi Encik Hidayat pula, kerjasama rentas seni boleh meningkatkan martabat seni Melayu di Singapura.
"Kami rasa sangat terharu sebab kami mendapat sokongan yang sangat-sangat menggalakkan daripada penulis-penulis mapan seperti Cikgu Asnida, Kak Aidli, Encik Nadiputra, Encik Jamal dan juga anggota-anggota ASAS '50 yang sudi hadir di acara-acara kami. Tapi saya rasa lebih banyak kerjasama dengan badan-badan seni lain dapat memanfaatkan lagi perkembangan, bukan sekadar untuk kumpulan Meja Conteng, tapi untuk seni serantau di Singapura," kata beliau.
Bukan untuk bersaing dengan yang mapan, bukan juga untuk mengubah warisan.
Kumpulan-kumpulan muda itu mahu meneruskan legasi dengan cara mereka tersendiri dengan harapan dapat membentuk generasi pelapis seterusnya agar warisan Melayu tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.