Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendekatan dakwah perlu diperhalusi di tengah pelbagai cabaran rumit masa kini

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Keterbatasan pemahaman yang gagal menilai keterikatan isu atau realiti semasa akan menyebabkan kepincangan dalam menghidupkan ajaran agama, kata Mufti Negara Dr Nazirudin Mohd Nasir di majlis sambutan Hari Raya Asatizah bersama Mufti pada Jumaat (5 Mei).

Berucap kepada 350 pemimpin agama dan asatizah di Temasek Club, Mufti menekankan, pendekatan dakwah perlu dikemas kini dan diperhalusi dalam suasana berbeza dan di tengah-tengah pelbagai cabaran rumit masa kini yang menjadikan peranan asatizah semakin genting.

Namun beliau mengingatkan, peranan ini hanya dapat dijayakan dengan baik jika asatizah terus membina kekuatan rohani dan membangunkan keupayaan intelek dan pemikiran.

“Para asatizah sebagai golongan yang terdidik dalam bidang agama seharusnya berada di barisan paling hadapan di dalam memahami kompleksiti dan kerumitan. Isu-isu yang dihadapi, khusus tatkala berlaku peralihan ataupun perubahan di dalam masyarakat, bukan isu-isu yang mudah. Ia terkait dengan pelbagai dimensi – ada dimensi akidah, akhlak, hukum fiqh, sosial, sejarah dan tradisi, sains dan teknologi, undang-undang, pemerintahan dan pentadbiran negara, antarabangsa dan sebagainya,” jelas Mufti.

Isu-isu masa kini termasuk alam sekitar dan pemanasan global, kecerdasan buatan, perubatan biomedikal dan makanan baru.

Dalam hal ini, bagaimana hukum agama diguna pakai dalam masyarakat perlu mempertimbangkan kenyataan semasa atau 'lived reality' kerana hukum tidak wujud dalam kekosongan.

"Jika sewaktu kita mengalami pandemik, kita hanya memberi fokus kepada aspek hukum dan tradisi fiqh sahaja, tanpa mempertimbangkan aspek sains perubatan ataupun impak dan kesan sosial, pastinya kita akan tersilap, sebab fiqh tradisi tidak dibangunkan dalam suasana dan krisis serupa dengan apa yang kita hadapi," tegas Mufti.

PENDEKATAN TANGANI ISU SOSIAL BERKAITAN LGBT

Memberi satu lagi contoh cabaran rumit masa kini adalah isu-isu berkaitan LGBT.

Pada tahun lepas, Pejabat Mufti mengeluarkan panduan berkaitan isu itu dengan menegaskan dengan jelas hukum agama mengenai gaya kehidupan homseksualiti.

Pejabat Mufti juga telah memberikan panduan pada pendekatan yang harus diambil dalam menangani isu seksualiti dalam konteks Singapura.

Mufti mendedahkan, kumpulan asatizah masih terus memikirkan isu ini daripada pelbagai sudut termasuk bagaimana mereka dapat menasihati dan membimbing golongan LGBT yang berhadapan dengan ujian ini dan keluarga mereka.

Sedang hukum agama mengenai gaya kehidupan LGBT adalah jelas, apa yang tidak sejelas hitam dan putih menurut Mufti adalah cara dan pendekatan menangani pelbagai isu sosial berkaitan LGBT di dalam masyarakat dan negara.

"Walapun kita semua jelas dari hukum dan prinsip agama dalam hal ini, para asatizah yang terlibat dalam semua perbincangan akur betapa rumit isu ini, dari sudut cara untuk mendekati dan menasihati golongan-golongan yang diuji yang masih ingin melalui kehidupan dan amalan agama yang baik, yang menghadapi konflik dalam jiwa mereka sendiri," tambah Mufti.

PERSIAPAN ASATIZAH MASA DEPAN

Sebagai persiapan lanjut, isu-isu mencabar sudah mula dikaji di dalam Program Kajian dalam Penyelidikan Masyarakat Islam Gemilang (RPCS).

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) mengalu-alukan para asatizah untuk menyertai program kajian itu sebagai zamil. Program itu sudah mempunyai sembilan zamil kajian sekarang.

Mufti berkata, cabaran masa kini bukan hanya berkaitan menyampaikan asas-asas agama, tetapi bagaimana untuk menterjemahkannya dalam suasana berbeza dan mencabar masa kini.

"Inilah yang dimaksudkan dengan kompleksiti, kerumitan dan keterikatan. Sebagai asatizah dan kepimpinan agama di negara kita Singapura, kita tidak akan dapat memberikan panduan serta mengatur visi yang baik lagi berkesan, sekiranya kita sendiri belum lagi mahir dan matang dalam mempertimbangkan segenap dimensi dan aspek yang berkaitan dengan isu-isu yang kita tangani", tambah Mufti.

Mufti selanjutnya memberi jaminan bahawa dalam suasana yang semakin mencabar ini, institusi-intitusi keagamaan perlu kekal terpelihara dan dipertahankan, bahkan diperkukuhkan lagi.

Beliau melahirkan harapan agar para asatizah dapat bekerjasama rapat dalam memperkasakan institusi asatizah di Singapura dan berbesar hati dengan kesungguhan para asatizah dalam mempertingkatkan pendidikan dan kelayakan masing-masing.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan