Skip to main content

Singapura

Pendekatan berbeza diperlukan untuk besarkan anak titipan yang alami trauma

Pengalaman buruk zaman kanak-kanak, atau Adverse Childhood Experiences (ACE), boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi, sosial dan mental seseorang, khususnya bagi mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengalaman buruk zaman kanak-kanak, atau Adverse Childhood Experiences (ACE), boleh memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi, sosial dan mental seseorang, khususnya bagi mereka yang berusia di bawah 18 tahun.

ACE merangkumi pelbagai bentuk trauma seperti pengabaian, penderaan fizikal atau emosi, serta kehilangan figura penting seperti ahli keluarga yang dipenjarakan, kata Pengurus Kanan di Pusat PPIS Oasis, Cik Noor Aaqilah Abdul Latiff.

Di Singapura, ramai kanak-kanak yang terkesan akibat ACE ditempatkan dalam penjagaan keluarga titipan yang memberikan persekitaran selamat dan stabil untuk mereka membesar.

“Kanak-kanak ini boleh terdiri daripada bayi seawal kelahiran hingga remaja berusia 18 tahun. Ada kes di mana bayi terus dimasukkan ke dalam penjagaan titipan dari hospital, jika ibu bapa mereka dianggap tidak mampu menyediakan penjagaan yang selamat,” katanya.

Menurut Cik Noor Aaqilah, kebanyakan kanak-kanak tersebut datang daripada keluarga yang menghadapi masalah seperti kesihatan mental atau penahanan ibu bapa.

Ini sering memberi kesan terhadap tingkah laku apabila mereka mula tinggal bersama keluarga titipan.

“Mereka mungkin sangat pendiam pada mulanya, atau kerap mengalami tantrum. Ada juga yang sering mengalami ledakan emosi. Ini adalah antara cabaran tingkah laku yang mungkin ditunjukkan oleh mereka. Simptom lain termasuklah kesukaran mengawal emosi. mereka tidak tahu bagaimana untuk mengurus atau mengawal perasaan mereka sendiri.” jelas beliau.

Malah, ada dalam kalangan mereka menunjukkan tanda-tanda gangguan pertautan atau 'attachment disorder', seperti kebergantungan emosi yang melampau kepada ibu bapa titipan dan kesukaran untuk berpisah.

PENDEKATAN KEIBUBAPAAN BERBEZA DIPERLUKAN UNTUK ANAK TITIPAN YANG ALAMI TRAUMA

Menjadi ibu bapa titipan memerlukan pemahaman mendalam terhadap keperluan emosi dan psikologi kanak-kanak yang mengalami trauma.

“Ramai dalam kalangan ibu bapa titipan tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan situasi seperti itu. Ia memerlukan pendekatan keibubapaan yang sangat berbeza dan lebih sensitif terhadap pengalaman lampau kanak-kanak tersebut,” kata Cik Noor Aaqilah.

Antara yang melalui pengalaman sedemikian ialah Cik Nur Halimah Ali, 41 tahun, seorang suri rumah yang menjalankan perniagaan dari rumah, dan suaminya Encik Muhammad Najib Mohyah, 41 tahun, seorang teknisyen.

Mereka menjadi ibu bapa titipan sejak tahun 2017 dan kini menjaga dua orang anak titipan berusia enam dan lapan tahun.

“Ya, memang kami belajar, tapi bila praktikal, banyak perkara yang di luar jangkaan. Setiap kanak-kanak itu unik,” kata Cik Nur Halimah.

Salah satu cabaran terbesar mereka ialah apabila anak titipan mereka menangis setiap malam tanpa henti.

“Itu tidak diajar dalam kursus. Kami terpaksa hubungi sana sini. Saya telefon ibu saya, adik saya yang guru prasekolah, cari jawapan kenapa anak ni menangis begitu. Ia bukan sesuatu yang normal,” jelasnya.

Selepas mendapatkan bantuan daripada pekerja sosial dan meneliti latar belakang anak itu, mereka menyedari bahawa isu kepercayaan adalah puncanya.

“Kami perlu bina kepercayaan terlebih dahulu. Selepas itu barulah tantrum semakin berkurangan. Ia mengambil masa enam bulan sebelum dia benar-benar dapat menyesuaikan diri dan merasa selamat di rumah kami,” kata beliau.

Menurut Cik Noor Aaqilah, ibu bapa titipan perlu mempelajari pendekatan keibubapaan yang berbeza.

“Mereka perlu mempelajari banyak amalan keibubapaan yang berasaskan trauma (trauma-informed parenting). Amalan ini agak berbeza daripada pendekatan keibubapaan biasa. Sebagai contoh, bagi kanak-kanak yang tidak mengalami ACE, anda mungkin boleh menggunakan kaedah seperti 'sudut nakal' (naughty corner) atau masa untuk tenangkan diri (time-out).

"Namun bagi kanak-kanak yang pernah mengalami trauma, kaedah seperti itu tidak sesuai. Sebaliknya, anda mungkin perlu menggunakan pendekatan 'time-in'. Walaupun mereka melakukan sesuatu yang tidak baik, anda perlu berkata, “Mari kita bincangkan hal ini. Duduk dan berbual dengan saya.”

Tambah beliau, cara ini mungkin bertentangan dengan naluri ibu bapa, khususnya jika dibandingkan dengan cara membesarkan anak kandung sendiri.

"Salah satu cabaran besar bagi ibu bapa titipan adalah untuk ‘melupakan’ apa yang telah dipelajari sebelum ini, dan menggantikannya dengan amalan keibubapaan yang lebih peka terhadap trauma," jelas beliau.

Pendekatan sedemikian, kata beliau, dapat membantu anak-anak titipan membina semula keyakinan, emosi yang stabil dan hubungan yang sihat dalam persekitaran yang penuh kasih sayang.
Cik Nur Halimah Ali (kanan) dan suaminya, Encik Muhammad Najib Mohyah, merupakan ibu bapa titipan di bawah program PPIS Oasis. (Gambar: PPIS)
SOKONGAN BERTERUSAN BUAT IBU BAPA TITIPAN

Menjadi ibu bapa titipan bukan sahaja menuntut kesabaran dan kasih sayang, tetapi juga kecekalan emosi, terutamanya apabila anak-anak mula bertanya tentang asal-usul mereka.

"Apabila anak pertama kami semakin membesar, dia mula bertanya dan meluahkan keinginan untuk berjumpa ibu bapa kandungnya. Kami faham keinginannya, tetapi sebagai ibu bapa titipan, kami tidak dapat nafikan perasaan sedih dan sedikit kecewa apabila soalan itu ditanya," luah Encik Muhammad Najib Mohyah.

Bagi membantu mereka menangani cabaran emosi tersebut, pasangan tersebut menerima bantuan daripada pekerja sosial di Pusat PPIS Oasis.

"Daripada bantuan pekerja sosial kami, mereka mencadangkan satu program ‘Life Story’ untuk anak kami yang pertama. Program ini membantu dia memahami identiti dirinya – siapa ibu bapa kandungnya dan mengapa dia berada bersama kami. Ia bukan sahaja menenangkan dia, tetapi turut membantu kami sebagai ibu bapa titipan untuk menguruskan emosi dan memberi sokongan yang sesuai," tambah Encik Najib.

Cik Noor Aaqilah berkata PPIS Oasis bukan sahaja menyokong kanak-kanak, malah turut mengiringi perjalanan ibu bapa titipan secara berterusan.

"Kami menyokong keluarga melalui lawatan ke rumah setiap dua bulan. Kami juga menghubungi mereka melalui panggilan telefon atau video jika diperlukan, dan turut melawat kanak-kanak di sekolah. Sepanjang tempoh mereka tinggal bersama keluarga titipan, kami akan sentiasa berada di sana untuk menyokong," jelas beliau.

Sejak dimulakan pada 2017, PPIS OASIS telah berkembang daripada mengurus sekitar 75 kanak-kanak.

“Sepanjang tempoh tujuh hingga lapan tahun ini, kami telah menyokong lebih 200 kanak-kanak. Kami juga telah menyaksikan kejayaan dalam penyatuan semula – iaitu apabila keluarga asal mereka telah cukup stabil untuk menyambut mereka kembali. Setiap tahun, kira-kira 10 hingga 12 kanak-kanak berjaya disatukan semula dengan keluarga kandung mereka.

“Namun, dalam beberapa kes, penjagaan jangka panjang diperlukan apabila keluarga kandung masih belum bersedia untuk menerima mereka semula,” kata Cik Noor Aaqilah.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/HD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita