Skip to main content

Singapura

Pendekatan agama & sekular perlu boleh seiringan dalam usaha perkukuh institusi keluarga

Bagaimana unsur agama boleh saling melengkapi usaha Pemerintah mengukuhkan institusi keluarga di sini? Pendekatan sekular perlu, agama pun perlu, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagaimana unsur agama boleh saling melengkapi usaha Pemerintah mengukuhkan institusi keluarga di sini? Pendekatan sekular perlu, agama pun perlu, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli.

Pandangan itu beliau suarakan di Seminar Mendekati Hati dan Minda anjuran MSF pada Isnin (8 Nov). Seminar online yang disertai lebih 400 individu itu mengupas bagaimana ekosistem sokongan masyarakat dapat ditingkatkan lagi demi membina keluarga Melayu/Islam yang kukuh.

"Dalam dunia moden, landskap sosial tidak sama seperti beribu-ribu tahun lalu. Sebagai contoh, wanita masa kini berpendidikan tinggi. Peranan mereka berubah. Mereka ingin mendaki tangga kerjaya dan mereka sangat berkebolehan," kata Encik Masagos selaku salah seorang anggota panelis seminar itu.

Keadaan ini, tambah beliau, memerlukan pakar-pakar merujuk kepada pelbagai jenis kajian dan mengambil pendekatan berdasarkan bukti. Namun pendekatan seperti itu, tegas Encik Masagos, walaupun sekular, bukan anti-agama, ataupun berpihak mahupun berakar kepada suatu ajaran agama.

"Sebab itu jugalah ia berguna. Pendekatan berdasarkan bukti bagi pembangunan, pengukuhan, perdamaian dan pemulihan keluarga ini juga berguna (bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang keyakinan agama)," terang Encik Masagos.

Jadi bagaimana agama boleh memainkan peranan di sini?

"Hakikatnya, agama mempengaruhi idea tentang apa itu keluarga, perkahwinan itu bermula. Jika anda kaji bagaimana masyarakat berubah, pemahaman tentang apa itu keluarga dan perkahwinan berasal daripada semacam proses keagamaan," ujar Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

"Saya rasa kekuatannya menyerlah bila anda bekerjasama. Paderi, Imam, (misalnya) harus tahu bahawa di luar bidang kerohanian, mereka boleh manfaatkan kepercayaan pihak yang mendekati mereka dengan merujukkan mereka kepada pendekatan berdasarkan bukti untuk katakan: Mengapa tidak anda cuba program ini?"

Lantaran itu, Encik Masagos berpandangan bahawa kedua-dua pendekatan - agama dan sekular - boleh digabungkan. Ini apatah lagi kerana isu mendampingi masyarakat sering kali menjadi satu cabaran sementara aspek agama pula masih sangat 'hidup' di Singapura.

"Kita boleh menjadi lebih kukuh. Kita bekerjasama dan bukan menentang satu sama lain," kata Encik Masagos lagi.

Selain Encik Masagos, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim turut menyertai seminar MSF selaku anggota panelis.

Beliau melahirkan penghargaan kepada MSF kerana menyediakan wadah untuk membincangkan isu seperti ini dan berharap perbincangan sedemikian dapat terus mencetus ilham untuk meningkatkan mutu sokongan bagi keluarga-keluarga di Singapura.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita