Pendebat SJI muncul sebagai juara Bahas 4PM 2024 peringkat sekolah menengah
SINGAPURA: Sejarah berulang lagi tapi kali ini di peringkat menengah pula. Para pembahas dari St Joseph's Institution (SJI) berjaya menjuarai Bahas 4PM dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah pula menyandang gelaran Naib Juara.
Pada 2019, keputusan yang sama dicatatkan bagi pertandingan itu untuk peringkat pos-menengah.
Sebagai pihak penyanggah, para pembahas SJI berjaya mematahkan hujah-hujah yang dibentangkan pihak pencadang dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah.
Ini juga merupakan kali pertama SJI merebut gelaran Juara bagi Bahas 4PM peringkat menengah.
Piala pembahas terbaik keseluruhan juga dibolot pembahas dari SJI iaitu Ariel Aiman Noorisman.
SJI BERJAYA TUNDUKKAN MAUDUK PERBAHASAN
Dalam peringkat akhir, dua pasukan itu mengetengahkan pelbagai hujah menarik bagi mauduk 'Pelaburan dalam Sukan di Singapura Bukanlah Sia-Sia Semata-Mata.'
Namun, para pembahas SJI terbukti mampu mencabar dan membidas hujahan lawan dengan lebih berkesan lagi.
"Apabila saya mendapat tahu yang kita menang, saya berasa lega tetapi sehingga kini, saya masih tidak boleh percaya yang kita telah (menang) dan usaha-usaha kita berbaloi," kongsi pembahas SJI, Amir Hamza Shahbudin kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
"Kemenangan ini saya rasa sesuatu yang datang dari pelbagai usaha, bukan sahaja dari kita malah guru-guru dan rakan-rakan kita yang membantu dalam membuat kajian dan sebagainya," tambahnya.
MAUDUK: MANFAAT DAN KESAN SUKAN DI SINGAPURA
Antara isu yang ditimbulkan semasa perbahasan itu termasuk manfaat sukan kepada golongan belia dan warga emas di Singapura serta kesan sukan kepada alam sekitar dan kemakmuran masyarakat.
Bagi SJI, meskipun gementar berdebat di khalayak ramai, mereka berjaya atasi cabaran itu bagi menyandang gelaran juara.
"Tumpuan pihak lawan adalah tentang kesan sukan, berbeza daripada tumpuan kita contohnya. Mereka selalu berfikir tentang kesan secara bermasyarakat tetapi untuk kita, kita ada satu ukur tara yang patut dipenuhi dan saya rasa ukur tara itu yang membolehkan kami menang perdebatan pada hari ini kerana pada pendapat saya, kita lebih memberi tumpuan kepada kekekalan (sukan) pada masa hadapan dan bukan sahaja dalam jangka masa pendek," ujar pembahas terbaiknya, Ariel Aiman.
"Kita sebagai rakan-rakan semua dapat bekerjasama dengan baik. Kita semua dapat beradaptasi dengan baik dan kita semua dapat maju terus dan mempunyai ketekunan," tambah pembahas simpanannya, Gerald Aurelius Panenthe.
ARIEL AIMAN DARI SJI MENANG PEMBAHAS TERBAIK KESELURUHAN
Kejayaan pembahas Ariel Aiman muncul sebagai pembahas terbaik secara keseluruhan dan untuk pusingan akhir merupakan kemenangan berganda bagi SJI.
"Saya tidak percaya bahawa saya mampu mendapat anugerah ini kerana pada pendapat saya, sepanjang pertandingan ini, ada sebenarnya pelajar-pelajar lain yang berkemampuan seperti saya dalam penyampaian," kongsi Ariel Aiman, 16 tahun.
"Saya rasa rahsia saya untuk mendapatkan anugerah ini adalah untuk mempunyai kepercayaan diri kerana anda harus tahu bahawa anda sudah berlatih beberapa kali sebelum pertandingan ini. Saya pun sudah berkali-kali melihat skrip saya dan menyampaikannya kepada diri saya dan kadangkala bertanya kepada ibu bapa saya untuk mendapatkan komen yang boleh memperbaiki penyampaian saya," tambahnya.
INGIN ASAH KEFASIHAN DALAM BAHASA MELAYU
Sebagai penggulung perbahasan, Ariel Aiman berjaya mengatasi cabaran dalam persiapannya itu dengan bantuan rakan sepasukannya iaitu Amir Hamza dan Mario Sebastian.
"Saya sangat gementar kerana ada ramai orang yang sedang menonton. Oleh disebabkan itu, kadangkala saya juga takut jikalau saya akan kehilangan tumpuan atau tidak tahu menjawab celahan yang mereka (pasukan pencadang) akan menyampaikan kepada saya," ujar Ariel Aiman.
"Saya harus meneliti apa yang disampaikan oleh para pelajar madrasah dan oleh disebabkan itu, jikalau saya mendengar apa yang mereka katakan dan tuliskan yang salah, pada akhirnya apa yang saya sampaikan pun salah. Untuk mengatasinya, saya selalu meminta bantuan kawan-kawan saya jika saya ada apa-apa sahaja bentuk persoalan ataupun kekeliruan," menurutnya lagi.
Dengan minat terhadap perbahasan yang berputik sejak sekolah rendah lagi, Ariel Aiman juga mengambil peluang itu untuk mengasah kefasihannya dalam bahasa Melayu.
"Melalui pertandingan ini, saya rasa ada peningkatan dalam kemahiran saya berbual dalam bahasa Melayu. Contohnya apa sahaja kosa kata yang saya telah mempelajari melalui persiapan saya, saya sudah menggunakannya dalam karangan. Ada kalanya, kosa kata ini pun keluar dalam kefahaman dan saya dapat memahaminya dengan secepat mungkin," kongsi Ariel Aiman.
BERI ANAK MUDA LANDASAN UNTUK BINCANG ISU-ISU PENTING
Peringkat akhir pertandingan anjuran Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) itu diserikan lagi dengan kehadiran tetamu terhormat, Anggota Parlimen untuk GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
"Saya amat gembira dapat melihat prestasi bahas yang sangat baik daripada pemuda pemudi kita pada hari ini. Saya rasa topik yang mereka bincangkan juga adalah satu yang amat menarik dan saya rasa ia merangsangkan pemikiran kritis," ujar Dr Wan Rizal.
"Bagi saya, amat penting kita memberi pemuda-pemuda kita satu landasan dan platform di mana mereka dapat terus berbincang dan berkomunikasi secara berkeyakinan dan saya rasa ini adalah platform yang terbaik kerana ia sebenarnya holistik kerana kita mahu mereka memikir jauh dan luas dan saya harap kita dapat teruskan legasi bahas ini untuk masa hadapan," tambahnya.
PRESTASI PESERTA KALI INI CEMERLANG
Secara keseluruhan, 22 pasukan dari 21 sekolah menengah mengambil bahagian dalam pertandingan tahun ini, satu peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Tahun lalu, jumlah itu rendah sedikit iaitu 20 pasukan.
Lantaran itu, lebih banyak sumber tenaga diperlukan kali ini.
"Dari segi logistik, kami memerlukan lebih banyak tenaga, lebih ramai jawatankuasa, dan lebih para penilai dan ini dapat memberi kesan yang lebih bernas dari segi perkhidmatan kami kepada masyarakat," kongsi Pengerusi Akademi Bahas, Kamal Ashraf.
"Ini cabaran yang kami terima sebab ia melambangkan semangat kemasyarakatan antara sekolah-sekolah dan juga antara sekolah dengan pihak penganjur. Saya harap pertandingan ini dapat memupuk bahasa Melayu dan juga budaya perbahasan pada peringkat menengah dengan lebih tegas dan lebih berkesan lagi," tambahnya.
Beliau berkongsi bahawa secara keseluruhan, pertandingan bahas kali ini melibatkan lebih 60 juri sepanjang pertandingan itu.
Proses penilaian juga lebih mencabar kali ini kerana menurut Encik Kamal, prestasi para peserta kali ini sangat menyerlah.
"Topik sukan memang ada beberapa aspek yang memang menarik terutamanya aspek pertandingan, aspek hiburan dan juga untuk memupuk budaya gaya hidup sihat," jelas Encik Kamal.
"Prestasi pada tahun ini memang cemerlang kerana mereka telah membentangkan isi yang sangat kuat, dengan tegas dan mereka telah menggunakan bahasa Melayu baku yang hebat sekali. Mereka juga menggunakan frasa-frasa berbunga, peribahasa dan juga pantun-pantun pada masa yang sesuai," menurutnya lagi.
Juara Bahas 4PM membawa pulang Piala Pusingan Izzuddin Taherally, piala individu dan baucar wang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.