Skip to main content

Singapura

Pendaratan pesawat Scoot dilengahkan selepas penumpang enggan guna tali pinggang keledar

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaratan pesawat Scoot dilengahkan selepas penumpang enggan guna tali pinggang keledar

(Gambar: TikTok/audikhalid)

Diterbitkan : 15 Nov 2022 11:37PM Dikemas Kini : 15 Nov 2022 11:47PM
SINGAPURA: Pesawat penumpang Scoot yang dalam penerbangan dari Bali ke Singapura terpaksa melengahkan pendaratannya pada Isnin (14 Nov) kerana sekumpulan penumpang enggan menggunakan tali pinggang keledar mereka semasa pesawat itu hendak mendarat.

Tingkah laku tidak terkawal penumpang tersebut bermakna juruterbang pesawat TR285 itu "membatalkan pendaratan" ke Singapura atas sebab keselamatan, menurut kenyataan syarikat perbangan itu pada Selasa (15 Nov).

"Pesawat itu mendarat dengan selamat sewaktu percubaan kedua di Lapangan Terbang Changi.
Para penumpang dalam pesawat itu kemudian dibawa keluar oleh pihak berkuasa lapangan terbang bagi siasatan lanjut," tambah Scoot.

Siasatan masih dijalankan, menurut Scoot, sambil menambah bahawa orang awam harus "mengelakkan daripada membuat spekulasi yang tidak bernas".

Dalam hantaran TikTok mengenai kejadian itu, seorang lelaki yang dipercayai juruterbang pesawat tersebut memaklumkan kepada penumpang bahawa beliau "secara sah tidak boleh mendaratkan pesawat jika kabin tidak selamat".

"Kami akan berpatah balik untuk membuat percubaan kali kedua pendaratan dan jika kami terpaksa membatalkan pendaratan sekali lagi atas sebab yang sama, polis lapangan terbang akan terlibat dan mereka akan ambil tindakan yang sewajarnya."

Apabila pesawat mendarat, penumpang juga diberitahu bahawa pihak berkuasa tempatan akan naik ke dalam pesawat dan penumpang akan dibenarkan turun sebaik sahaja kelulusan diberikan.

Polis tambahan dan kakitangan Scoot kemudian dilihat sedang berbual dengan para penumpang di sebelah kanan pesawat itu.

Seorang wanita juga dilihat sedang mendukung bayi dan berjalan di laluan pesawat itu dan kemudian dibawa keluar oleh seorang polis bantuan.

Pihak berkuasa kemudian dilihat sedang bercakap dengan seorang lelaki yang memakai kemeja T berwarna hitam di Lapangan Terbang Changi.

"Kesejahteraan penumpang dan kakitangan adalah keutamaan kami. Scoot tidak membenarkan tingkah laku yang menjejaskan keselamatan penerbangan," menurut Scoot.

Scoot menambah bahawa pihaknya akan mengambil "tindakan yang sewajarnya terhadap mana-mana penumpang yang mungkin mempertaruhkan keselamatan penumpang dan kakitangan kami".

"Scoot meminta maaf atas gangguan dan kesulitan terhadap penumpang kami."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita