Skip to main content

Singapura

Pendapatan pemandu teksi, kereta sewa privet menjunam hingga 60% sejak P2HA dikuat kuasa

Pemandu teksi dan kereta sewa privet masih bergelut dengan isu sara hidup meskipun banyak usaha bantuan dilakukan oleh pihak syarikat dan pemerintah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pemandu teksi dan kereta sewa privet masih bergelut dengan isu sara hidup meskipun banyak usaha bantuan dilakukan oleh pihak syarikat dan pemerintah.

Lebih seminggu selepas Phase 2 (Heightened Alert) atau P2HA iaitu Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) berkuat kuasa pada 16 Mei lalu, pendapatan para pemandu terjejas lagi dengan ada di antara mereka yang menjunam sehingga 60 peratus.

Dua pemandu yang ditemui BERITAmediacorp berkata keadaan sekarang hampir sama ketika tempoh pemutus rantaian jangkitan tahun lalu.

Salah seorang daripada mereka ialah Encik Haniff Mahbob, 68 tahun, yang sejak lebih seminggu lalu hanya mampu mendapat tiga hingga empat penumpang sehari.

Lebih menjadi keprihatinan adalah tiga hingga empat penumpang yang diambil beliau itu amat jarang sekali berlaku dan mereka kebanyakan akan ke tempat berdekatan.

Beliau berkongsi bahawa perkara itu membawanya kembali kepada keadaan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 tahun lalu.

Ketika itu, pendapatannya menjunam sekitar 70 peratus iaitu yang paling teruk pernah dialaminya sejak lebih 35 tahun memandu teksi.

Beliau yang juga merupakan seorang pemimpin kesatuan bagi Persatuan Teksi Kebangsaan (NTA) kini hanya mampu membawa pulang kurang separuh daripada pendapatan yang biasa diraihnya dalam sehari.

"Kalau hari biasa sebelum peningkatan Fasa 2 ini, anggaran 12 hingga 15 penumpang biasanya dalam satu syif atau syif setengah hari tetapi kali ini kalau antara satu penumpang ke satu penumpang ambil dalam jangka masa antara dua jam setengah atau lebih tiga jam. Jadi paling banyak dapat tiga hingga empat penumpang, itu pun kalau bernasib baik," kongsi beliau.

Pengalaman yang sama dikongsi Presiden Persatuan Kenderaan Sewa Privet Nasional (NPHVA), Encik Mohd Azan Salleh.

Encik Azan berkata: "Apabila memasuki Fasa 2, saya rasa pendapatan kami banyak sekali terjejas. Sekarang kami hanya dapat 40 peratus, sebelum itu dapat sekurang-kurangnya 70 peratus hingga 80 peratus pendapatan. Sekarang hampir separuh hilang."

Bagi membantu pemandu seperti Encik Azan dan Encik Haniff, pemerintah memperuntukkan tambahan S$27 juta bagi Dana Bantuan Pemandu COVID-19.

Mengalu-alukan bantuan pemerintah itu dan juga syarikat masing-masing, Encik Haniff dan Encik Azan berharap keadaan COVID-19 dalam masyarakat sekarang dapat diatasi bagi memastikan Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) tidak dilanjutkan.

"Walaupun pemerintah menambahkan S$10, kemudian Grab menambahkan S$1 tetapi kalau penumpang masih kekurangan di jalanan, pendapatan kami tidak ada banyak beza. Kami perlu penumpang yang banyak," kata Encik Azan.

Pandangan beliau disokong Encik Haniff yang mengharapkan agar akan ada lebih ramai penumpang selepas langkah pengurusan selamat dilonggarkan kelak.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan sokongan tambahan dana itu adalah tokokan kepada S$18 juta yang sudahpun diperuntukkan dari bulan Januari hingga Jun tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita