Pendapatan bulanan median isi rumah SG jangkaui S$11,000 pada 2024; naik 1.4%
Median pendapatan bulanan isi rumah daripada pekerjaan di Singapura meningkat kepada S$11,297 pada 2024 berbanding S$10,869 pada 2023, atau naik sebanyak 1.4 peratus dari segi pendapatan sebenar selepas mengambil kira inflasi.

Pekerja pejabat di Raffles Place, Singapura. (Gambar fail: Marcus Mark Ramos)
Pertumbuhan median pendapatan bulanan daripada pekerjaan adalah lebih perlahan pada 2024 berbanding tahun sebelumnya – dengan Singapura menyaksikan perangkaan itu meningkat sebanyak 2.8 peratus pada 2023.
Mengambil kira saiz isi rumah, median pendapatan bulanan bagi setiap anggota isi rumah meningkat sebanyak 0.8 peratus dari segi pendapatan sebenar, dari S$3,500 pada 2023 kepada S$3,615 pada 2024, yang turut menyaksikan pertumbuhan yang lebih perlahan berbanding tahun sebelumnya.
Perangkaan itu dikeluarkan pada Khamis (13 Feb) dalam laporan Trend Utama Pendapatan Isi Rumah 2024 oleh Jabatan Statistik Singapura (Singstat).
Dalam tempoh lima tahun lalu, median pendapatan bulanan isi rumah daripada pekerjaan meningkat sebanyak 0.7 peratus setahun dari segi pendapatan sebenar selepas mengambil kira inflasi.
Perangkaan bagi setiap anggota isi rumah meningkat sebanyak 1.3 peratus setiap tahun dari segi pendapatan sebenar sepanjang tempoh yang sama.
Purata pendapatan daripada pekerjaan isi rumah bagi setiap anggota isi rumah meningkat bagi semua kumpulan pendapatan pada 2024, antara 0.6 peratus dan 3.2 peratus dari segi pendapatan sebenar.
Perangkaan untuk isi rumah dalam kumpulan terendah dan kumpulan pendapatan tertinggi meningkat dengan jumlah yang sama - 3.2 peratus.
SingStat menyatakan bahawa sesetengah penduduk dalam kumpulan 10 peratus terendah yang bekerja memiliki kereta, menggajikan pembantu rumah, menetap di hartanah privet atau mempunyai anggota isi rumah yang berumur 65 tahun ke atas.
Ia merujuk kepada anggota keluarga tertua, pencari nafkah utama, pemilik-penghuni rumah, orang yang menguruskan hal ehwal isi rumah, atau orang yang membekalkan maklumat yang berkaitan dengan anggota keluarga lain.
Sama seperti tahun lepas, purata pendapatan isi rumah daripada pekerjaan bagi setiap anggota isi rumah dalam sembilan kumpulan pertama yang bekerja meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 1.9 peratus setahun dari segi pendapatan sebenar antara 2019 dan 2024.
Bagi isi rumah dalam kumpulan teratas, ia susut sebanyak 0.7 peratus setahun.
LEBIH BANYAK BANTUAN PEMERINTAH
Pada 2024, isi rumah menerima lebih banyak bantuan pemerintah pada 2024, dengan mereka yang menetap di flat satu dan dua bilik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima paling banyak bantuan.
Isi rumah menerima secara purata S$7,825 bagi setiap anggota isi rumah daripada skim pemerintah pada 2024, meningkat daripada S$6,418 yang diterima pada 2023, dedah Singstat.
"Ini disebabkan oleh langkah-langkah yang dilaksanakan pada 2024 untuk menyokong isi rumah bagi isu-isu seperti kos sara hidup, persaraan dan keperluan jagaan kesihatan," menurut kenyataan media.
Isi rumah yang tinggal di flat HDB satu dan dua bilik menerima purata S$16,805 setiap anggota daripada skim pemerintah, lebih dua kali ganda purata yang diterima oleh semua isi rumah yang merupakan penduduk negara ini.
Koefisien Gini, yang mengukur ketidaksamaan pendapatan, jatuh ke paras terendah. Angka 1 pada Koefisien Gini menunjukkan ketidaksamaan, dan angka yang lebih rendah menunjukkan kurang ketidaksamaan pendapatan.
Koefisien Gini meningkat daripada 0.433 pada 2023 kepada 0.435 pada 2024, sebelum bantuan pemerintah dan cukai.
Selepas bantuan pemerintah dan cukai disesuaikan, Koefisien Gini ialah 0.364, lebih rendah daripada 0.371 yang dicatatkan pada 2023, dan terendah sejak rekod bermula pada 2000.
"Ini mencerminkan peningkatan pada sokongan pemerintah untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana," menurut Singstat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.