Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendamping banduan mula gerakan sendiri untuk bantu golongan berdepan stigma

Sejak lebih sedekad lalu, Encik Mohamed Ismail Abu Bakar, 63 tahun, menyumbang bakti kepada pelbagai kerja kemasyarakatan termasuk menjadi penyokong kesihatan mental di Institut Kesihatan Mental (IMH), pertubuhan Resilience Collective dan Project Green Ribbon.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak lebih sedekad lalu, Encik Mohamed Ismail Abu Bakar, 63 tahun, menyumbang bakti kepada pelbagai kerja kemasyarakatan termasuk menjadi penyokong kesihatan mental di Institut Kesihatan Mental (IMH), pertubuhan Resilience Collective dan Project Green Ribbon.

Sebagai seorang pendamping banduan di penjara pula, beliau terkesan mendengar luahan hati golongan bekas pesalah dadah yang menjalani kaunseling daripadanya.

"Selalunya saya dengar, katanya "Ismail, saya tidak cukup bagus". Pemikiran sedemikian cukup menyedihkan. "Saya tidak bagus, saya tidak setaraf dan tak sebaik awak". Ini adalah satu stigma yang membuatkan mereka rasa mereka lebih senang bergaul sesama sendiri," kata Encik Ismail, yang bertugas sepenuh masa sebagai seorang jurulatih, membantu golongan kurang upaya.

Perasaan sebegitu kata Encik Ismail juga timbul kerana kurangnya sokongan masyarakat, lebih-lebih lagi daripada keluarga.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Bila mereka keluar daripada penjara, mereka rasa saya lebih senang berbual dengan seorang yang bekas banduan. Dan daripada keluarga. Sebab "kadang-kadang keluarga lihat saya semacam sampah"," tambah Encik Ismail, seorang bapa dua orang anak, dan datuk kepada dua orang cucu.

ACARA JALAN BERAMAI-RAMAI DAN SIMPOSIUM

Prihatin akan nasib golongan sedemikian, Encik Ismail menubuhkan sebuah gerakan tahun lalu, dipanggil Flourishing Happiness.

Ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap stigma yang terus membelenggu golongan pesakit mental dan bekas banduan.

"Ramai mereka yang sakit mental ataupun bekas banduan, mereka rasa diri mereka ini mempunyai kurang keyakinan diri.

"Dan saya rasa dalam masa 15 tahun dalam bidang ini, saya lihat. saya belajar juga daripada mereka yang mereka inginkan satu, hidup dengan rasa senang, tiada tekanan dan juga rasa mereka ada kebebasan untuk bercakap," kata Encik Ismail, yang mengendalikan FH secara sendiri.

Sejak ditubuhkan, beberapa acara termasuk webinar membincangkan isu-isu seperti 'bunuh diri dan keresahan', 'ketagihan dan pemulihan' sudahpun dianjurkan.

"Mereka hanya memerlukan seseorang itu yang dapat mendengar isi hati mereka. Ini kadang-kadang susah bagi mereka yang inginkan kebebasan dan kegembiraan," tambah Encik Ismail.

Dalam misinya untuk meningkatkan lagi usaha pendidikan tentang isu-isu kesihatan mental serta membantu golongan bekas pesalah, beberapa acara di bawah siri 'Walk With Me Against Stigma' (WWMAS) akan dianjurkan sepanjang Oktober ini.

Pada Sabtu (1 Okt), satu acara berjalan kaki beramai-ramai sejauh 2 kilometer akan dianjurkan di sekitar Taman di Persisiran buat julung-julung kalinya.

(Ihsan: Mohamed Ismail Abu Bakar)

"Ia dapat memberi macam satu harapan yang kalau saya ini contohnya, jika saya seorang yang pesakit mental, atau saya ini seorang banduan, kalau saya bergerak seorang, saya rasa kesepian. Tapi kalau saya bergerak berjalan dengan kawan, dengan keluarga, saya rasa lebih berani," kata Encik Ismail.

Pendaftaran adalah percuma dan boleh dibuat di lelaman berikut: https://tinyurl.com/5n7ah9hk

Selain itu, dua simposium juga akan dianjurkan pada 15 dan 22 Oktober 2022.


(Ihsan: Mohamed Ismail Abu Bakar)

BEKAS PESALAH KEMBALI BERKONGSI KISAHNYA

Di samping menampilkan para penceramah daripada badan-badan masyarakat, ia turut mengundang golongan bekas pesalah sendiri, seperti Encik M Azahari, yang pernah ditahan akibat kesalahan dadah.

Beliau yang berkenalan dengan Encik Ismail yang menjadi pendampingnya atau 'befriender' di penjara tujuh tahun lalu, masih lagi akrab hingga ke hari ini.

Menurutnya, semangat teguh Encik Ismail dalam memperjuangkan nasib golongan sepertinya dijadikan teladan dan motivasi untuk beliau merubah nasibnya.

"Selepas berbual dengan dia dan kami berhubung, saya sedar dia seorang yang jujur. Saya sentiasa mengarapkan kedatangannya untuk berjumpa saya. Sebab (ketika itu) saya sudah berada di dalam sistem terlalu lama sehingga tiada sesiapa yang berjumpa saya. Bila dia datang itu, saya nampak harapan ada," kata Encik Azahari, yang kini juga banyak melakukan kerja-kerja relawan di penjara dan membantu bekas pesalah yang menjalani pemulihan.

"Tanpa 'Abang Mail' saya tidak tahu yang saya boleh ke hadapan. Kerana saya sering fikirikan kalau tidak boleh, masuk balik sahaja," tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Meskipun dirinya sendiri masih merasakan pandangan serong masyarakat akibat sejarah silamnya, beliau berharap masyarakat dapat memberi golongan sepertinya peluang untuk membina hidup baru.

"Jangan mengadili kami. Berikan kami peluang. Saya tahu apabila kami meminta peluang, ada golongan masyarakat yang bertanya berapa kali peluang kau nak? Tapi anda semua mesti faham, bukan senang untuk kami dan kami sedang berusaha," tambahnya.

Encik Ismail berkongsi lebih banyak program sudahpun dirancangkan dalam siri WWMAS.

Untuk tahun depan misalnya, acara-acara diadakan sempena hari-hari istimewa seperti Hari Kesihatan Sedunia pada April, Hari Anti Dadah pada Jun dan Hari Pencegahan Bunuh Diri pada September.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan