Skip to main content

Singapura

Pendakwah tempatan Ustaz Fizar Zainal dirompak; hilang wang tunai lebih S$10,000

Anggaran Waktu Membaca:
 Pendakwah tempatan Ustaz Fizar Zainal dirompak; hilang wang tunai lebih S$10,000

Ustaz Fizar Zainal berada di ruang istirahat di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz, Jeddah, 21 Sep. (Gambar: Instagram/Fizar Zainal)

SINGAPURA: Pendakwah tempatan Ustaz Fizar Zainal kehilangan lebih S$10,000 semasa dalam perjalanan ke Marrakesh, Maghribi bagi tujuan memberikan bantuan kepada mangsa gempa di sana.

Khabar duka itu dikongsikan sendiri oleh beliau menerusi tiga video di akaun Instagram miliknya setakat pukul 6.45 petang (waktu tempatan) hari ini (21 Sep).

Menerusi rakaman video pertama, Ustaz Fizar yang sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, dilihat menitiskan airmata dan dengan mukanya merah padam menceritakan insiden yang menimpa dirinya.

Lebih mengejutkan lagi, wang yang hilang itu digantikan oleh 'si pencuri' dengan sejumlah besar wang kertas AS$1!

"Ia (S$10,000) sejumlah wang yang besar. Sukar diterima akal saya bagaimana ini boleh berlaku kepada diri saya. Saya berasa sangat sedih sekarang ini. Saya harap anda boleh mendoakan saya," kata Ustaz Fizar.
(Gambar: Instagram/Fizar Zainal)
Semasa dihubungi BERITA Mediacorp sekitar pukul 6.20 petang (waktu tempatan), Ustaz Fizar berkata beliau sedang berada di balai polis lapangan terbang untuk membuat laporan.

"Saya sekarang seorang diri dan Alhamdulillah saya baik-baik sahaja tetapi masih dalam keadaan terkejut, trauma dan agak kecewa.

"Konsulat sedang membantu saya dan polis juga sedang memberikan bantuan," katanya, berkongsi keadaan terkini beliau.

BAGAIMANA DUIT S$10,000 HILANG?

Ustaz Fizar memulakan perjalanan ke Marrakesh pada Rabu (20 Sep).

Beliau menaiki pesawat dengan persinggahan di Kuala Lumpur, Jeddah dan Casa Blanca sebelum mendarat di Marrakesh. Tempoh perjalanan itu mengambil masa lebih kurang 28 jam.

Ustaz Fizar menyedari wang lebih S$10,000 itu tiada lagi di dalam satu dompet kecil yang disimpan di dalam beg galas yang dibawanya semasa berada di ruang istirahat di lapangan terbang Jeddah.

"Beg saya ada dengan saya sepanjang masa. Saya tidak rasa ada tempoh sepanjang perjalanan ini yang beg itu tiada dengan saya. Sentiasa dengan saya. Duit itu juga sentiasa dengan saya. Malah ia disimpan di bahagian paling dalam beg (galas) saya," ujar Ustaz Fizar.

Menerusi video beliau, Ustaz Fizar menunjukkan beg galas berwarna hitam yang digunakan. Dapat dilihat bahawa ia sebuah beg dengan pelbagai bahagian berzip.

"Mungkin ada yang akan kata saya seorang yang kerap keluar negara maka saya tidak harus jadi mangsa kehilangan duit. Tapi malang tidak berbau. Saya sentiasa periksa (beg) dan periksa dan periksa lagi," katanya.

Malah, dompet kecil berwarna merah di mana duit S$10,000 tersebut disimpan kini berisi sejumlah besar wang kertas AS$1, yang keseluruhannya bernilai AS$65.
(Gambar: Instagram/Fizar Zainal)
Ustaz Fizar menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang "sangat sangat mengejutkan dan mendukacitakan".

"Lebih menghairankan adalah duit berbilang matawang itu semuanya dalam satu dompet dan di dalam beg (galas) saya.

"Seseorang yang mahu mengambil duit itu perlu bersusah payah membuka beg (dengan pelbagai bahagian berzip ini) dan seluk tangan jauh ke dalam beg.

"Seolah-olah orang itu sudah merancangnya. Seolah-olah orang itu kenal saya dan tahu di mana saya letak duit itu," kata beliau, yang mengesyaki ia perbuatan sebuah sindiket.

Menurut Ustaz Fizar, sekali-sekala beliau akan memasukkan tangan ke dalam beg untuk 'rasa' ketebalan dompet itu.

Beliau juga tidak akan mengeluarkannya untuk periksa duit kerana ia "bukanlah langkah yang bijak untuk periksa duit di tempat awam".

"Selama bertahun-tahun, saya melawat lebih 40 negara...malah saya ke negara-negara Dunia Ketiga sekalipun, tidak pernah perkara seperti ini berlaku. Semuanya baik-baik sahaja," cerita Ustaz Fizar.

KENAPA BAWA DUIT TUNAI SEBANYAK ITU?

Ustaz Fizar juga berkongsi bahawa ia satu kebiasaan bagi dirinya untuk membawa sejumlah wang tunai apabila keluar negara sebagai "duit kecemasan".

"Duit itu duit kecemasan saya sendiri. Sekiranya kad kredit tidak boleh digunakan, sekiranya ada apa-apa berlaku di negara Dunia Ketiga juga, 'cash is power' (wang tunai digunakan). Wang tunai itu juga untuk saya beli barangan tambahan," kata Ustaz Fizar, merujuk kepada barangan yang beliau rancang untuk dibeli apabila tiba di Marrakesh.

Khusus bagi lawatannya ke Marrakesh, Ustaz Fizar berniat menggunakan wang tunai itu untuk "menggembirakan orang lain".

"Ia sesuatu yang biasa kami lakukan untuk gembirakan orang lain. Kami beli biskut-biskut, gula-gula untuk kanak-kanak, mainan. Juga untuk saya berikan duit itu kepada para sukarelawan saya di sana," cerita Ustaz Fizar.

DISURUH BATAL PENERBANGAN UNTUK BUAT LAPORAN POLIS

Lebih menduga kesabaran adalah kesukaran untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa di lapangan terbang tersebut pada awalnya.

Selepas menyedari duit beliau hilang, Ustaz Fizar memaklumkan kepada pihak lapangan terbang dan menzahirkan hasrat membuat laporan polis.

Sekalipun demikian beliau disuruh membatalkan penerbangan seterusnya ke Casa Blanca jika beliau mahu membuat laporan polis.

"Saya perlu membuat laporan polis supaya saya boleh mendapatkan bayaran balik daripada pihak insurans perjalanan saya. Tetapi saya diberitahu, untuk membuat laporan polis saya mesti membatalkan penerbangan.

"Agenda utama saya adalah untuk ke Marrakesh untuk membantu orang lain maka saya tidak boleh terlepas penerbangan saya. Saya tidak mahu terlepas penerbangan saya dan saya tidak mahu membatalkan penerbangan saya," kata Ustaz Fizar, sambil menyifatkan perkara ini sebagai "sesuatu yang tidak adil".

Sepanjang menunggu ketibaan pihak berkuasa relevan sekitar dua jam, perkara ini menjadi kegusaran utama Ustaz Fizar Zainal.

Sekalipun demikian, hampir pukul 6.30 petang wantu tempatan, beliau berhasil menukar jadual penerbangan ke Casa Blanca kepada esok (22 Sep) dan tidak perlu membatalkan penerbangan menerusi bantuan rakan-rakannya di Singapura.

Laporan polis juga sudah dibuat.

TEKANKAN WANG TUNAI DUIT SIMPANAN SENDIRI

Ustaz Fizar turut beberapa kali menekankan dan memberi jaminan kepada semua orang yang sudah menghulurkan derma kepada syarikatnya bagi misi bantuan di Marrakesh bahawa duit yang hilang bukanlah wang derma masyarakat.

Menurut beliau, duit lebih S$10,000 itu adalah duit simpanan beliau sendiri.

"Bagi anda yang sudah menghulurkan derma, jangan bimbang. Wang anda sentiasa dikirimkan menerusi utusan elektronik (wire transfer)," kata beliau.

Ustaz Fizar merupakan pengasas syarikat FZ Services, yang menawarkan khidmat ibadah korban dan juga misi bantuan.
Sekarang, syarikat itu sedang menjalankan misi bantuan bagi para mangsa gempa Marrakesh dan banjir Libya.

Menerusi poster yang dimuat naik ke Instagram, misi yang dipanggil 'We are here with you - Marrakesh Libya Assistance 2023', syarikat itu menyatakan pasukannya akan mengagihkan 2,000 selimut dan bungkusan makanan kepada para mangsa untuk meringankan beban mereka.
(Gambar: Instagram/Fizar Zainal)
"Duit ini duit saya sendiri. Saya berhasrat membelikan barangan untuk kanak-kanak dan keluarga-keluarga di sana. Sebab itu insiden ini amat menyedihkan. Saya tidak tahu ia hilang di Singapura atau di Kuala Lumpur atau di dalam pesawat," katanya penuh sebak, sambil menitiskan airmata.
PERINGATAN KEPADA ORANG LAIN

Ustaz Fizar juga menyifatkan insiden itu sebagai "peringatan penting" agar kita sentiasa berwaspada apabila melakukan perjalanan.

"Saya reda kehilangan duit S$10,000 itu dan saya hanya berharap untuk meneruskan misi saya di Marrakesh. Saya hanya rasa sedih perkara ini berlaku.

"Ia boleh berlaku kepada sesiapa pun tetapi Allah sudah tetapkan ia berlaku kepada saya. Saya harap ini menjadi satu pengajaran penting untuk kita semua. supaya sentiasa ada insurans perjalanan, sentiasa periksa barangan anda dan jangan sekali-kali leka dengan beg anda," ujar beliau, yang juga Pengasas KembaraUstaz.Sg, iaitu syarikat umrah dan wisata.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita