Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara dilarang masuk S'pura kerana ajaran pelampau, kata MHA

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwah Indonesia Abdul Somad Batubara dilarang masuk S'pura kerana ajaran pelampau, kata MHA

(Gambar: @ustadzabdulsomad/Instagram)

Diterbitkan : 18 May 2022 12:03AM Dikemas Kini : 18 May 2022 01:44AM

SINGAPURA: Seorang pendakwah Indonesia yang tiba di Singapura pada Isnin (16 Mei) dilarang masuk dan dihantar pulang semula ke Batam pada hari yang sama. 

Demikian menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Selasa malam (17 Mei). 

Lagi enam orang yang datang bersamanya juga tidak dibenarkan memasuki Singapura. Mereka tiba di Terminal Feri Tanah Merah dan dihantar pulang dalam sebuah feri ke Batam pada hari yang sama.

Menurut MHA dalam satu kenyataan, Ustaz Abdul Somad Batubara dikenali dengan ajarannya yang bersifat "pelampau dan  pengasingan", yang "tidak boleh diterima dalam masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama." 

"Sebagai contoh, beliau berdakwah bahawa serangan nekad dibenarkan dalam konteks krisis Israel-Palestin dan dianggap sebagai operasi 'mati syahid'.

"Beliau juga pernah membuat kenyataan yang memburuk-burukkan anggota masyarakat agama lain, seperti orang Kristian, dengan menyifatkan salib sebagai tempat tinggal 'jin kafir'," menurut MHA. 

"Selain itu, Somad juga pernah menyebut anggota masyarakat bukan Islam sebagai 'kafir'", tambah MHA. 

Kementerian itu menyatakan bahawa setiap kes dinilai berdasarkan merit tersendiri. 

"Walaupun Somad cuba memasuki Singapura bagi sebab lawatan sosial, Pemerintah memandang serius sesiapa sahaja yang menyokong keganasan dan/atau mendukung ajaran pelampau dan memecah belah masyarakat," tegas MHA. 

Minggu lalu, pihak berkuasa Singapura melarang tayangan filem berbahasa Hindi atas sebab-sebab serupa, kerana gambaran dalam filem The Kashmir Files itu "berpotensi menimbulkan permusuhan antara masyarakat dan mengganggu perpaduan sosial dan keharmonian agama dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama". 

Filem itu tidak menerima klasifikasi atas sebab "mempunyai unsur provokasi dan berat sebelah terhadap umat Islam dan gambaran penganut Hindu dianiaya dalam konflik yang masih berlaku di Kashmir," menurut Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan bersama dengan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA). 

Sumber : CNA/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan