Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendakwaan pertama pembelian hartanah '99-to-1': Ibu, anak dituduh beri maklumat palsu kepada IRA

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang ibu dan anak lelakinya didakwa pada Jumaat (20 Sep) kerana berbohong kepada Penguasa Hasil Mahsul Dalam Negeri Singapura (IRAS) berhubung aturan pembelian hartanah "99-to-1" yang digunakan sesetengah pihak untuk mengelak cukai setem pembeli tambahan (ABSD).

Pendakwaan itu yang pertama seumpamanya, di tengah-tengah audit oleh IRAS ke atas urus niaga hartanah privet yang melibatkan kontrak jualan "99-to-1".

Tan Kai Wen Keith, 26 tahun, telah membeli sebuah unit kondominium atas namanya sebelum menjual 1 peratus pegangan dalam hartanah itu kepada ibunya, Ng Chiew Yen, 56 tahun.

Urus niaga dua langkah ini membolehkan satu pihak yang sudah memiliki hartanah lain mengelak daripada membayar cukai tambahan sementara masih layak untuk memohon pinjaman rumah secara bersama.

Dengan mengaturkan urus niaga dengan cara ini, ABSD hanya perlu dibayar pada 1 peratus bahagian hartanah itu, dan bukannya nilai penuh hartanah tersebut jika pembelian dilakukan secara bersama pada awalnya.

IRAS mengesyaki transaksi antara Tan dan ibunya diatur untuk mengelakkan ABSD.

Menurut kertas pertuduhan hartanah yang dibelinya terletak di 49 Canberra Drive - alamat projek The Watergardens di Canberra. Unit di sana berharga S$1.19 juta hingga S$2.87 juta, menurut penyenaraian di PropertyGuru.

BUTIRAN KES

Pasangan ibu-anak warga Singapura yang didakwa pada Jumaat itu dikenakan lima pertuduhan setiap satu di bawah Akta Cukai Setem kerana berpakat untuk memberikan maklumat mengelirukan kepada IRAS.

Tan membeli hartanah kediaman itu atas namanya pada 24 Sep 2021, dan kemudiannya menjual 1 peratus pegangan kepada ibunya.

Pada 2023, IRAS mula mengaudit transaksi berkaitan dan berusaha mendapatkan maklumat daripada Tan melalui e-mel.

Ketika ditanya sebab dia tidak membeli harta itu secara bersama-sama dengan ibunya dari awal, Tan didakwa berkata bahawa dia telah membuat keputusan terburu-buru untuk membeli hartanah itu, dengan pemahaman disokong keluarganya dari segi kewangan.

Dia juga didakwa berbohong bahawa keluarganya tidak mampu berbuat demikian dan terpaksa menambah nama ibunya sebagai pemilik bersama untuk membuat pinjaman.

Tan juga dituduh memberikan maklumat mengelirukan kepada IRAS dalam bentuk mesej WhatsApp yang tidak lengkap.

Baik Tan mahupun ibunya tidak mengatakan sama ada mereka akan membuat rayuan. Kedua-duanya akan kembali ke mahkamah pada Oktober.

Jika disabit kesalahan memberikan maklumat palsu dan mengelirukan kepada IRAS, Tan dan Ng boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$10,000, atau kedua-duanya sekali.

IRAS berkata ia akan mendapatkan semula jumlah cukai setem yang sepatutnya daripada pembeli jika ia mendapati berlaku kes pengelakan cukai. Surcaj sebanyak 50 peratus daripada cukai tambahan yang perlu dibayar boleh dikenakan, dan tiada had masa berkanun untuk audit cukai setem.

Pembeli yang membuat perjanjian pembelian hartanah"99-to-1", harus secara sukarela mendedahkan aturan mereka kepada IRAS, kata badan cukai itu.

"Bergantung kepada keadaan, IRAS bersedia untuk mempertimbangkan kes sedemikian dengan lebih baik," tambah agensi itu.

Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata pada Mei bahawa IRAS telah menemui 166 kes melibatkan pengelakan cukai dalam pemeriksaannya terhadap 187 kes "99-to-1", sambil menambah kira-kira S$60 juta dalam ABSD dan surcaj akan ditarik balik.
 
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan