Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendakwa usul hukuman penjara 12 tahun terhadap dalang skandal Keppel Club

Wanita berusia 71 tahun yang mendalangi skandal keanggotaan Keppel Club bersetuju untuk membayar balik S$3.65 juta kepada kelab tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Mar 2018 05:43PM Dikemas Kini : 19 Mar 2018 10:32PM

SINGAPURA: Wanita berusia 71 tahun yang mendalangi skandal keanggotaan Keppel Club bersetuju untuk membayar balik S$3.65 juta kepada kelab tersebut.

Setho Oi Lin, juga dikenali sebagai Setho Irene, mengaku bersalah pada Disember lalu terhadap 60 daripada 3,181 tuduhan menipu.

Dalam penipuan yang dilakukan sekitar 10 tahun antara Jun 2004 hingga Ogos 2014, Setho memperdayakan 1,341 orang supaya membayar S$37.5 juta untuk menjadi anggota kelab tersebut. Dia mengaut sekurang-kurangnya S$10.5 juta daripada hasil penipuan itu. Dia bersubahat dengan Ivy Cheo Soh Chin (anggota kelab) dan penyelia kelab Nah Hak Chuah yang masing-masing dijatuhi hukuman penjara 4 setengah tahun dan 3 tahun pada bulan Januari.

Mengambil kira persetujuan yang dicapai pada Jumaat lalu, Timbalan Pendakwa Raya Hon Yi memohan supaya hukuman penjara sekurang-kurangnya 12 tahun dijatuhkan ke atas Setho, yang menurutnya sukar untuk dikesan dan mengakibatkan kerugian besar. Para pendakwa sebelum ini memohon supaya Setho meringkuk dalam penjara selama sekurang-kurangnya 15 tahun.

Encik Hon menambah Setho merancang dengan rapi sebelum itu, dan langkah-langkah diambil supaya jenayah itu tidak dapat dikesan.

"Supaya perbuatan jenayahnya tidak dapat dikesan, dia menjalankan skim penipuan secara teratur untuk mendapatkan hasilnya dengan mengubah suai urus niaga dan mendapatkan khidmat keledai wang untuk memindahkan wang secara haram," kata beliau.

Selain mengaku bersalah terhadap 60 tuduhan, 3,121 tuduhan lain juga diambil kira. "Dengan begitu banyak kesalahan yang dilakukannya, wajar jika dia dijatuhi hukuman lebih berat," kata Encik Hon.

Para pendakwa juga menganggarkan jumlah yang diraih Setho melebihi S$10.5 juta, namun jumlah sebenar belum dapat ditentukan dengan tepat disebabkan faktor masa.

Peguam bela Setho, Encik Philip Fong memohon supaya hukuman ke atas anak guamnya diringankan kerana usia dan kesihatannya.

Menurut laporan perubatan, Setho mengalami masalah tulang belakang yang serius. Dia juga mengalami beberapa masalah kronik seperti penyakit kencing manis dan darah tinggi. Laporan perubatan berkenaan menjangkakan Setho tidak mungkin dapat menjalani hukuman penjara 10 tahun.

Hukuman penjara melebihi 10 tahun "terlalu berat", kata Encik Fong, yang merayu supaya hukuman penjara disingkatkan kepada tujuh tahun.

Menurut Encik Hon pula, pihak berkuasa penjara memberitahu para pendakwa bahawa mereka mampu menangani keadaan perubatan Setho kerana mereka mempunyai unit khusus. Setho juga boleh dibawa ke hospital jika perlu.

Hukuman ke atas Setho akan dijatuhkan pada 26 Mac.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan