Skip to main content

Singapura

Pendakwa mohon hukuman penjara 2 tahun bagi bekas guru gelapkan S$40,000 wang pelajar

Pihak pendakwa memohon hukuman penjara dua tahun bagi bekas Ketua Jabatan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Woodgrove yang didapati bersalah menggelapkan sekitar S$40,000 yang dibayar para pelajar bagi bahan pembelajaran.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendakwa mohon hukuman penjara 2 tahun bagi bekas guru gelapkan S$40,000 wang pelajar

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Feb 2021 09:40PM Dikemas Kini : 24 Feb 2021 09:42PM

SINGAPURA: Pihak pendakwa memohon hukuman penjara dua tahun bagi bekas Ketua Jabatan Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Woodgrove yang didapati bersalah menggelapkan sekitar S$40,000 yang dibayar para pelajar bagi bahan pembelajaran.

Maslinda Zainal, 46 tahun, didapati bersalah bulan lalu atas dua tuduhan pecah amanah jenayah sebagai penjawat awam dalam satu perbicaraan di mana semua 20 guru dalam jabatan itu memberi keterangan masing-masing.

Setelah mendengar hujah dari kedua-dua pihak, hakim menangguh perbicaraan ke bulan depan.

Maslinda ditugaskan mengumpul wang yang diserahkan pelajar kepada guru-guru Bahasa Inggeris mereka bagi bahan pembelajaran. Namun, Maslinda mengumpulkan wang lebih daripada yang sebenarnya diperlukan sekitar S$40,000 antara Januari 2016 dengan April 2017.

DIDORONG RASA TAMAK: PENDAKWA

Pihak pendakwa pada Rabu (24 Feb) berkata Maslinda adalah "seorang pegawai kanan awam yang diamanahkan dengan tanggungjawab berat" di jabatannya.

"Malangnya dengan kesalahan yang dilakukan, dia menjejas keyakinan yang terbina selama ini terhadap perkhidmatan awam, terutama sekali dalam pengendalian wang," kata Timbalan Pendakwa Raya Stephanie Chew.

Beliau mendakwa bahawa Maslinda "didorong rasa tamak" dan mengatur teliti tindakannya semasa melakukan kesalahan itu, dengan cuba mengelakkannya daripada terbongkar.

"Penjelasannya tentang bagaimana dia membelanjakan wang itu berubah sepanjang perbicaraan," katanya.

Hakim mencelah dengan berkata bahawa beberapa alat tulis dan buku ditemui pada meja Maslinda dan dia tidak dibenarkan untuk kembali ke meja.

Cik Chew menjawab bahawa "tidak terdapat bukti" bahawa wang itu dibelanjakan untuk membeli benda-benda tersebut, sambil menambah bahawa Maslinda "tidak menunjukkan sebarang rasa kesal sepanjang perbicaraan dan rayuannya".

Peguam belanya, Singa Retnam berkata "hukuman yang ditetapkan bergantung pada fakta kes". Beliau berkata, anak guamnya adalah "seorang guru cemerlang" yang menerima beberapa anugerah, termasuk guru paling penyayang pada 2016.

"Malangnya, berlaku keadaan di mana wang dilaporkan hilang dan dia tidak dapat menjelaskannya dan didapati bersalah," katanya.

MOE sebelum ini menyatakan bahawa Maslinda digantung kerja sejak 2017. Bagi setiap kesalahan pecah amanah jenayah sebagai penjawat awam, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda bagi setiap tuduhan.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita