Pendakian gunung selamat untuk kanak-kanak dengan persiapan rapi

Warga SG paling muda sampai ke Kem Pangkalan Gunung Everest pada April 2024, Abyan Imtiaz Irkriz dan bapanya, Zikri Ali. (Gambar: Instagram/abyan.irkriz)
SINGAPURA: Setiap pendaki, tanpa mengira pengalaman atau usia, perlu membuat persiapan yang rapi sebelum memulakan pendakian.
Ini termasuk memiliki tahap kecergasan fizikal yang baik dan ketahanan mental yang tinggi, selain memberi keutamaan kepada aspek keselamatan.
Demikian ditekankan Encik Zikri Ali dan anaknya, Abyan Imtiaz Irkriz, yang mencipta sejarah sebagai pasangan bapa dan anak paling muda dari Singapura yang sampai ke Kem Pangkalan Gunung Everest pada 29 April tahun lalu.
JALANI PERSIAPAN BERBULAN-BULAN SEBELUM PENDAKIAN

Abyan, yang ketika itu berusia lima tahun, menjalani latihan dan persiapan selama beberapa bulan sebelum menyertai pendakian mencabar itu bersama bapanya.
"Memang ada risiko apabila mendaki atau melakukan pendakian di altitud tinggi, tetapi saya rasa, jika dilakukan dengan betul, ia sebenarnya boleh selamat untuk kanak-kanak," kongsi Encik Zikri kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Beliau menekankan pentingnya persiapan menyeluruh termasuk dari segi peralatan dan pakaian.
"Perlu ada persiapan yang mencukupi. Ini termasuk kelengkapan yang dibawa. Anda perlu bawa peralatan dan pakaian yang sesuai. Cuaca boleh berubah agak cepat di luar sana," tambah beliau.
PERLU KOMUNIKASI TERBUKA DENGAN ANAK

Selain aspek fizikal, Encik Zikri turut memberi penekanan terhadap persiapan mental, terutama apabila melibatkan kanak-kanak.
"Untuk kanak-kanak, anda perlu mendorong mereka dan melatih anak dengan betul sebelum pendakian. Ini kerana jika mereka sudah hadapi cabaran dengan aspek fizikal pendakian itu, saya rasa lebih senang untuk mereka menghadapi penyakit altitud," ujar Encik Zikri, yang berusia 43 tahun itu.
Menurutnya, komunikasi terbuka antara bapa dan anak juga satu keutamaan.
"Sekiranya apa-apa terjadi, dia tidak sihat atau tercedera, dia perlu memberitahu saya. Kita memerlukan komunikasi terbuka. Saya memang berterus terang dengannya. Saya katakan, tidak ada gunanya untuk mempertaruhkan nyawa sendiri untuk mencapai matlamat sebab anda sentiasa boleh cuba lagi," tambah beliau.
Menjelang pendakian itu, mereka meluangkan masa kira-kira empat bulan untuk berlatih, termasuk menaiki tangga dan mendaki Bukit Timah.
"Isteri saya mengajarnya latihan pernafasan agar dia boleh bernafas dengan lebih baik lagi sebab antara keprihatinan kami ialah penyakit altitud. Jadi kita membuatnya lakukan pernafasan yang dalam agar lebih banyak oksigen boleh memasuki badan dan paru-parunya, untuk mencegah penyakit altitud," dedah Encik Zikri.
PERSIAPAN FIZIKAL BANYAK BANTU DALAM PENDAKIAN

Menurut Encik Zikri, segala latihan fizikal yang dilakukan memberi kesan ketika pendakian.
Encik Zikri berkata: "'Physical conditioning' atau peningkatan kesihatan fizikal yang telah kita lakukan sangat baik kerana pada awal pendakian, kami tidak menghadapi banyak cabaran kerana kami sudah bersedia dari segi fizikal."
Tambah beliau, suhu yang dingin turut menjadi cabaran utama pada altitud tinggi.
"Apabila kami naik ke altitud yang lebih tinggi, terutama sekali 4,000 meter ke atas, udara menjadi sangat nipis. Jadi kami mudah letih dengan lebih cepat daripada biasa. Oleh itu, kami terpaksa berehat lebih kerap apabila kami meneruskan pendakian. Selain itu, cuaca yang sejuk juga menjadi cabaran."
ENCIK ZIKRI DAN ABYAN HARAP UNTUK DAKI KINABALU TAHUN HADAPAN
Pengalaman itu turut mengajar Encik Zikri untuk lebih peka terhadap keadaan dan tingkah laku anaknya sepanjang ekspedisi, bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar berpandukan situasi sebenar.
"Anda kena benar-benar mengenali mereka, memahami perangai mereka dan melihat apa yang anda boleh melakukan. Dan sudah tentu, sebagai ibu bapa, anda perlu menjadi yang lebih waras kerana kadangkala sukar untuk meluahkan apa yang mereka rasakan," menurutnya.
"Pada satu tahap, anda perlu tahu bila untuk membuat keputusan dan katakan, ia terlalu bahaya. Ayuh berhenti. Kita boleh cuba sekali lagi pada masa yang lain," tambah beliau.
Berkongsi perancangan masa depan, Encik Zikri berkata beliau dan Abyan berhasrat untuk mendaki Gunung Kinabalu pada tahun hadapan, dan berharap dapat menawan puncaknya bersama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.