Skip to main content

Singapura

Pendaki SG hilang di Gunung Everest masih belum dapat ditemui

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaki SG hilang di Gunung Everest masih belum dapat ditemui

Gambar: Instagram/sushmasaurus

Diterbitkan : 27 May 2023 09:03PM Dikemas Kini : 28 May 2023 12:13AM

SINGAPURA: Pasukan mencari dan menyelamat pendaki Singapura yang dilaporkan hilang di Gunung Everest, masih gagal mengesannya "walaupun telah berusaha sedaya upaya", kata isteri beliau di media sosial pada Sabtu (27 Mei). 

Dalam catatan di Instagram, isteri Encik Shrinivas Sainis Dattatraya menulis kata-kata penghargaan kepada pendaki berusia 39 tahun itu yang hilang setelah tiba di puncak Gunung Everest pada 19 Mei. 

Encik Shrivinas meninggalkan Singapura pada 1 April, dengan harapan untuk mendaki ke puncak Gunung Everest dan Gunung Lhotse dalam satu ekspedisi, kata Cik Sushma Soma. 

"Beliau akan menjadi orang India Singapura pertama dan salah seorang daripada segelintir di Asia Tenggara untuk berbuat sedemikian." 

Cik Soma berkata, suaminya mengalami edema serebrum altitud tinggi (HACE), penyakit ketinggian yang boleh menyebabkan keletihan dan hilang koordinasi, lantas "tidak boleh turun ke bawah". 

Beliau mengimbau kembali suaminya yang begitu "fokus, disiplin dan tekun" dalam mengimbangi latihan dan komitmen kerja. 

"Hanya segelintir sahaja yang berani mempunyai impian besar seperti beliau," kata Cik Soma. 

"Memandangkan beliau sudah berjaya mendaki gunung yang lebih tinggi setiap tahun, termasuk Manaslu (gunung kelapan tertinggi di dunia) setinggi 8,163 meter, Shri memahami betapa besar impiannya itu." 

Catatannya termasuk gambar-gambar Encik Shrinivas di beberapa puncak gunung, termasuk di Manaslu, Puncak Lenin dan Puncak Mera. 

Cik Soma mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat dalam operasi mencari suaminya, termasuk malim gunung Dendi Sherpa, yang katanya, merupakan "sahabat yang dipercayainya semasa mendaki gunung-gunung Himalaya yang menggerunkan". 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakan dan keluarga, kesemua malim gunung dari ketujuh-tujuh puncak, Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan lain-lain lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita