Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran vaksinasi COVID-19 bagi murid 9-11 tahun sekolah MOE bermula esok

Ibu bapa kanak-kanak termasuk murid madrasah dalam kohort sama, boleh tempah slot vaksinasi bermula 27 Dis.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran vaksinasi COVID-19 bagi murid 9-11 tahun sekolah MOE bermula esok

(Gambar: Facebook/Chan Chun Sing)

SINGAPURA: Lebih 100,000 ibu bapa murid Darjah 4 hingga Darjah 6 di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (MOE) berusia bawah 12 tahun pada 2022 akan menerima SMS untuk mendapatkan vaksinasi bagi anak mereka mulai Rabu (22 Dis).

MOE menyatakan demikian dalam sidang media pada Selasa (21 Dec)yang turut mendedahkan bahawa ibu bapa boleh menempah slot secara langsung mulai 27 Disember melalui sistem pendaftaran nasional, menggunakan pautan unik dalam SMS yang dihantar. Ini juga termasuk ibu bapa murid madrasah dalam kohort yang sama.

Ibu bapa kanak-kanak yang dilahirkan antara 2009 dengan 2012, tanpa mengira jenis persekolahan mereka termasuk sekolah antarabangsa dan mereka yang menjalani persekolahan di rumah, boleh mendaftar untuk memvaksin anak mereka mulai 27 Dis melalui sistem tersebut.

Selepas mendaftar melalui child.vaccine.gov.sg, ibu bapa dan penjaga boleh menjangkakan pautan unik dihantar melalui SMS dalam masa tiga hingga lima hari kerja untuk menempah janji temu vaksinasi, menurut MOE dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) dalam satu kenyataan media bersama pada Selasa.

Singapura meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty untuk digunakan oleh kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut pada awal bulan ini.

Agensi-agensi itu akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memperluaskan vaksinasi untuk mendampingi lebih 300,000 kanak-kanak yang berusia 5 hingga 11 tahun.

“Proses pendaftaran untuk vaksinasi akan dibuka secara bertahap-tahap kepada semua kanak-kanak yang layak secara amnya mengikut kumpulan usia mereka, bermula dengan kanak-kanak yang dilahirkan antara 2009 hingga 2012, diikuti oleh mereka yang lahir antara 2013 hingga 2017,” jelas MOE dan ECDA.

MOE dan ECDA menyatakan pada Selasa bahawa ujian klinikal Fasa 3 menunjukkan bahawa vaksin Pfizer BioNTech/Comirnaty selamat dan berkesan untuk kanak-kanak dalam lingkungan usia tersebut.

Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 sudah menilai dan mendapati "manfaat vaksinasi jauh mengatasi risikonya", tegas agensi-agensi itu.

Buat masa ini, vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty adalah satu-satunya vaksin yang diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 11 tahun di Singapura.

MOH menyatakan minggu lalu bahawa buat masa ini tiada rancangan untuk memperkenalkan langkah pengurusan selamat yang dibezakan mengikut status vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

KOHORT LEBIH MUDA

Mulai minggu 3 Jan tahun depan, ibu bapa dan penjaga murid Darjah 1 hingga 3 di sekolah-sekolah rendah MOE akan menerima secara bertahap-tahap pautan unik melalui SMS untuk menempah janji temu vaksinasi, menurut MOE dan ECDA.

Mulai minggu 10 Jan, ibu bapa dan penjaga semua kanak-kanak berusia lima tahun ke atas boleh terus mendaftar melalui sistem janji temu nasional itu. Mereka juga akan menerima pautan unik melalui SMS dalam masa tiga hingga lima hari kerja untuk menempah janji temu vaksinasi selepas membuat pendaftaran.

Kanak-kanak mesti telah melintasi ulang tahun kelima mereka sebelum layak membuat janji temu dan menerima vaksinasi.

Murid-murid madrasah di peringkat sekolah rendah sebahagian besarnya akan mengikut aturan yang sama seperti sekolah rendah MOE dan SMS juga akan dihantar kepada ibu bapa dan penjaga mereka.

PUSAT VAKSINASI BAGI KANAK-KANAK

Bagi memudahkan vaksinasi bagi kumpulan usia ini, 15 pusat vaksinasi sudah diperuntukkan bagi kanak-kanak di merata negara dan akan memulakan operasi secara berperingkat.

Pusat-pusat tersebut, yang kebanyakannya ditempatkan di kelab masyarakat di kawasan-kawasan seperti Clementi, Toa Payoh dan Hougang, akan dikendalikan oleh para kakitangan perubatan yang terlatih dalam penjagaan kanak-kanak, serta kakitangan yang terlatih dalam memberikan vaksin kepada kanak-kanak, menurut MOE dan ECDA.

Tujuh pusat vaksinasi kanak-kanak akan mula beroperasi mulai 27 Dis, diikuti dengan tujuh lagi mulai 3 Jan tahun depan.

MOE juga bekerjasama dengan MOH untuk menubuhkan pusat vaksinasi tambahan di Sekolah Menengah Yusof Ishak bagi "menyediakan perlindungan yang lebih baik di kawasan Punggol/Sengkang", menurut kenyataan media itu. Operasi di sekolah menengah itu akan dimulakan pada 11 Jan tahun depan.

Pusat vaksinasi kanak-kanak yang diperuntukkan ini, kecuali Sekolah Menengah Yusof Ishak, ditempatkan bersama dengan pusat vaksinasi sedia ada untuk orang dewasa dan kanak-kanak yang lebih tua, menurut MOE dan ECDA.

KANAK-KANAK 5-11 TAHUN PERLU DITEMANI KE PUSAT VAKSINASI

Keizinan ibu bapa atau penjaga diperlukan untuk menempah janji temu vaksinasi bagi kedua-dua dos vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty dan semua kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun mesti ditemani oleh seorang ibu bapa atau penjaga di pusat vaksinasi.

Mereka perlu membawa kad pengenalan diri kanak-kanak itu, atau lain-lain bentuk pengenalan diri, seperti sijil kelahiran atau pasport, untuk tujuan pengesahan.

Mereka yang mendaftar melalui sistem janji temu nasional juga perlu menandatangani borang kebenaran ibu bapa dan membawa bersama salinannya atau salinan digital ke pusat vaksinasi bagi tujuan pengesahan. Borang kebenaran ibu bapa boleh diperolehi daripada sistem tersebut.

KANAK-KANAK BERKEPERLUAN KHAS

Bagi memudahkan akses kanak-kanak di sekolah pendidikan khas dan pusat Program Program Campur Tangan Awal bagi Bayi dan Kanak-Kanak (EIPIC) yang dibiayai ECDA, MOH akan menempatkan pasukan vaksinasi di lokasi-lokasi tersebut untuk semua murid yang layak mulai 12 Jan.

Ibu bapa dan penjaga boleh memilih sama ada untuk anak mereka menerima vaksinasi menerusi pasukan vaksinasi itu atau mendaftar melalui sistem janji temu nasional untuk anak mereka mendapatkan vaksinasi di pusat vaksinasi kanak-kanak, tambah MOE dan ECDA.

Sekolah pendidikan khas dan pusat EIPIC akan mengongsikan arahan dan garis panduan pendaftaran dengan ibu bapa dan penjaga kanak-kanak itu.

Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak berkeperluan khas, yang tidak menghadiri sekolah dan pusat tersebut, boleh mendaftar melalui sistem janji temu nasional apabila anak-anak mereka layak untuk mendaftarkan diri.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan