Pendaftaran SalamSG Korban dibuka awal, tawar lebih banyak pilihan haiwan korban
Memberi lebih banyak masa untuk bakal sohibul korban membuat pilihan dan pertimbangan merupakan antara sebab mengapa pendaftaran bagi SalamSG Korban dibuka lebih awal tahun ini.
Ini sekitar tiga minggu lebih awal daripada lazimnya.
Pengerusi SalamSG Korban, Mohd Khalid Mohd Lani menjelaskan bahawa ini juga hasil perancangan yang lebih baik.
"Perancangan yang lebih baik tahun ini membolehkan kami membuka pendaftaran lebih awal, sekali gus memberi lebih banyak masa bagi sohibul korban untuk membuat keputusan berhubung korban mereka bagi tahun ini.
"Masa yang lebih awal ini juga membolehkan penyertaan yang lebih tinggi daripada masyarakat, memberi peluang kepada lebih ramai jemaah untuk menyertai ibadah Korban pada tahun ini," jelas Encik Khalid.
SSGK juga berharap langkah tersebut dapat meraih jumlah pendaftaran yang lebih tinggi tahun ini.
"Berdasarkan pengalaman Korban tahun lalu, SalamSG Korban menyaksikan kadar penyertaan yang tinggi daripada masyarakat untuk melaksanakan ibadah Korban mereka bersama masjid-masjid ini," ujar Encik Khalid.
Menurutnya kadar tinggi itu juga menandakan sokongan kukuh para jemaah dan sohibul korban pada masjid-masjid.
HARGA LEBIH MURAH, BERGANTUNG KEPADA PEMBEKAL YANG DILANTIK
Berkaitan harga pula, ia turun sedikit berbanding tahun lepas, iaitu sehingga S$20 lebih murah.
Bagi kambing biri-biri misalnya, ia ditawarkan pada harga antara S$360 hingga S$380 seekor tahun lalu tapi tahun ini harganya ialah S$360.
Encik Khalid menjelaskan bahawa ia bergantung pada harga yang ditawarkan pembekal dan vendor yang dilantik.
Mereka juga dilantik, antara lain berdasarkan harga paling kompetitif yang ditawarkan.
"Alhamdulillah, menerusi proses pemerolehan atau ‘procurement’ yang telus dan baik, pihak SalamSG Korban telah melantik vendor yang mampu memberikan harga yang paling bersaing, di samping menawarkan khidmat terbaik untuk jemaah," kongsi Encik Khalid.
Secara purata, daging yang bakal diagihkan kepada sohibul korban adalah lebih kurang 15 kilogram bagi setiap haiwan korban.
Pihak SalamSG Korban terus meneroka peluang yang ada bagi memastikan harga yang ditawarkan kepada sohibul korban kekal berpatutan.
"Ini termasuk menerapkan elemen-elemen pendigitalan, seperti satu portal sehenti bagi kesemua masjid yang mengambil bahagian, kaedah pembayaran digital, dan langkah pemasaran yang lebih bersepadu dan berpusat. Menerusi kaedah-kaedah ini, masjid-masjid tidak perlu mengerahkan banyak sumber," kata Encik Khalid.
SSGK TAWAR LEBIH BANYAK PILIHAN HAIWAN KORBAN
Tahun ini, pihak SSGK juga menawarkan tiga jenis haiwan korban iaitu kambing biri-biri, kambing dan lembu.
Ini berikutan maklum balas sohibul korban dan bagi menepati permintaan jemaah.
"Tawaran haiwan korban yang lebih rencam pada tahun ini hasil maklum balas daripada sohibul korban yang inginkan kepelbagaian dari segi jenis haiwan korban yang diadakan untuk mereka.
"Ini juga bagi memenuhi citarasa mereka yang lebih berbagai dan sekali gus membolehkan lebih ramai jemaah untuk memilih masjid-masjid sebagai pilihan utama mereka untuk melaksanakan ibadah Korban pada tahun ini," kata Encik Khalid.
Orang ramai kini boleh membuat tempahan dengan masjid pilihan mereka sebelum 8 Jun 2024 atau selagi stok masih ada.
Pihak SSGK juga sedang membantu beberapa masjid yang sesuai dalam perbincangan dengan pembekal yang berpotensi untuk membuat persiapan dan permohonan untuk melakukan korban secara langsung di sini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.