Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran PCICS dibuka, kohort pertama mula April 2020

Pendaftaran bagi Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) kini dibuka. Kelas bagi kohort pertama program sepenuh masa selama setahun itu akan dimulakan April tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pendaftaran bagi Program Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) kini dibuka. Kelas bagi kohort pertama program sepenuh masa selama setahun itu akan dimulakan April tahun depan.

Demikian menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya hari ini (7 Dis).

Semua lulusan dari institusi pengajian tinggi Islam luar negara perlu menjalani program selama setahun itu sebagai prasyarat sebelum diterima masuk ke dalam Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Lulusan yang membuat permohonan bagi ARS akan diberi pengiktirafan sementara yang sah selama tiga tahun dari tarikh permohonan, yang membolehkan mereka mengajar Islam semasa mengikuti kelas PCICS.

Program tersebut bertujuan membantu golongan asatizah yang pulang dari luar negara menyesuaikan diri dan mengaplikasikan pengajian sains Islam yang dipelajari dengan konteks sosial serta politik Singapura.

MUIS menyatakan program itu akan melengkapkan asatizah dengan kemahiran dan pengetahuan relevan dalam kedua-dua sektor agama dan sekular selain memperkukuh mereka dengan nilai dan ajaran Islam.

Dalam mengendalikan program itu MUIS sudah menjalin kerjasama dengan dua universiti tempatan melibatkan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

Ia juga menjalin kerjasama dengan Universiti Al-Azhar dan Universiti Jordon.

(Gambar-gambar: MUIS)

80 lulusan baru dan ibu bapa mereka mengikuti sesi perbincangan terkahir mengenai PCICS musim ini. Timbalan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir menekankan tentang pentingnya melengkapi para asatizah dengan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran relevan untuk berkhidmat dalam sektor agama. Ini selain memastikan mereka dapat mengaplikasikan ajaran Islam yang bersesuaian dengan konteks Singapura.

ADA LATIHAN AMALI DI BAWAH PCICS

MUIS juga sedang membangunkan Pelan Pembangunan Tenaga Manusia Asatizah dalam usaha meningkatkan lagi peranan asatizah sebagai bukan sekadar guru agama.

Ini termasuk program peningkatan kemahiran seperti celik digital, kaunseling dan kerja sosial serta kepimpinan.

Langkah itu dialu-alukan para lulusan agama termasuk Cik Siti Raudhah Ramlan yang tidak sabar untuk memahami perspektif sosiologi dan psikologi yang boleh diterapkan dalam pengetahuan ukhrawi.

Beliau baru lulus dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan merancang menjadi seorang asatizah. Cik Raudhah mendalami pengajian Quran dan Sunnah.

"Walaupun kita sudah mendapat ijazah, pelajar dari pelbagai universiti Islam didedahkan kepada pelbagai pengalaman yang berbeza-beza. Maka itu, kami perlu menimba lebih banyak ilmu agar dapat mendekati masyarakat moden sekarang (secara berkesan)," kata Cik Raudhah.

Latihan amali juga membentuk sebahagian komponen PCICS. Ini sesuatu yang dijangka akan memberi manfaat kepada para lulusan agama.

"Platform seperti ini tidak tersedia semasa kursus pengajian tinggi saya dan saya rasa komponen ini akan sangat membantu saya," kata lulusan baru Teologi Islam dari Universiti Jordon, Encik Uwais Al-Qarni Mohamed Fawzi.

PCICS pertama kali diumumkan oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Encik Masagos Zulkifli, semasa berucap di perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) mengenai Ehwal Masyarakat Islam pada Mac lalu.

PCICS menggantikan program empat minggu Sijil Pengajian Islam Mengikut Konteks (ICON) yang ada sekarang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan