Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Fasa 10 penggalian & pengebumian semula kubur Islam ditutup pada 9 Jun 2026

Anggaran Waktu Membaca:
  Pendaftaran Fasa 10 penggalian & pengebumian semula kubur Islam ditutup pada 9 Jun 2026

(Gambar: Facebook/Dr Faishal Ibrahim)

Diterbitkan : 27 Mar 2026 10:39PM Dikemas Kini : 27 Mar 2026 10:42PM
SINGAPURA: Pendaftaran Fasa 10 Program Penggalian Semula di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang akan ditutup pada 9 Jun 2026.

Di bawah program itu, yang mana pendaftaran bagi tuntutan sudah dibuka sejak 10 Jun 2025, lebih 20,000 kubur di beberapa kawasan akan terjejas.

Perkara itu dikongsi oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim menerusi catatan Facebook beliau pada Jumaat (27 Mac).

Beliau berkata demikian selepas diberi taklimat oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Ia memberikan saya pemahaman yang lebih jelas tentang proses yang dilaksanakan serta tahap penjagaan yang diambil pada setiap peringkat.

"Saya faham, bagi ramai keluarga, proses pengebumian semula bukan sesuatu yang mudah. Justeru, MUIS akan bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) serta kontraktor yang dilantik bagi memastikan proses ini dijalankan dengan penuh tertib dan hormat," kata Dr Faishal.

Dalam konteks Singapura yang kekurangan tanah, tempoh pengebumian di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang terhad kepada 15 tahun supaya ruang dapat terus dimanfaatkan oleh generasi seterusnya.

Proses itu dilaksanakan secara berperingkat dan dipantau dengan teliti oleh pegawai agama serta para pegawai pentadbiran dan operasi. Kontraktor yang bertauliah pula mematuhi protokol ketat dalam pengendalian jenazah, bagi memastikan segala urusan dijalankan dengan penuh penghormatan dan selaras dengan panduan agama, tambah Dr Faishal.

"Waris juga boleh memohon untuk sertakan kubur di luar kawasan terjejas sebagai kubur tambahan, tertakluk kepada syarat, agar ahli keluarga dapat disemadikan semula bersama.

"Kami memahami bahawa proses ini bukan sesuatu yang mudah. Sokongan dan bantuan akan disediakan kepada keluarga yang terjejas, dan segala usaha akan dilakukan untuk memastikan jenazah dikendalikan dengan penuh hormat dan ihsan," menurut Dr Faishal.
Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen, menerusi video yang dimuat naik di akaun Facebook MUIS turut berkongsi mesej mengenai Fasa 10 Program Penggalian Semula di Tanah Perkuburan Choa Chu Kang.

"Di sini ramai sudah dikebumikan sejak sekian lama. Tidak lama lagi, sebahagiannya akan dipindahkan ke tempat baharu.

"Ini adalah amanah yang kami laksanakan dengan penuh teliti, hormat dan ihsan. Semoga Allah SWT mempermudahkan dan memberi ketenangan kepada semua yang terlibat dalam menguruskan mereka yang telah kembali ke rahmatullah," kata beliau.
Para waris anggota keluarga yang terjejas oleh Fasa 10 ini boleh mendaftar untuk menyertai proses tersebut di www.pusara.sg atau hubungi 6238 4504 untuk membuat janji temu.
Sumber : BERITA Mediacorp/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita