Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: Permohonan melebihi tempat di hampir separuh sekolah dalam Fasa 2C

85 sekolah rendah akan menjalankan undian dalam Fasa 2C; keputusan diketahui pada 10 Ogos.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: Permohonan melebihi tempat di hampir separuh sekolah dalam Fasa 2C

Para pelajar sebuah sekolah rendah di Singapura. (Gambar: Chan Chun Sing/Facebook)

SINGAPURA: Hampir separuh daripada semua sekolah rendah di Singapura menerima lebih banyak permohonan berbanding tempat yang tersedia dalam Fasa 2C pendaftaran Darjah 1 tahun ini, dengan kebanyakannya akan menjalankan undi, menurut data Kementerian Pendidikan pada Jumaat (5 Ogos).

Fasa 2C dianggap sebagai fasa paling bersaing dan dibuka kepada semua kanak-kanak yang tidak mempunyai hubungan dengan sekolah pilihan mereka.

Pendaftaran bagi Fasa 2C dibuka pukul 9.00 pagi pada 27 Jul dan ditutup pukul 4.30 petang pada 29 Julai, dengan data mengenai sekolah terlebih permohonan dikeluarkan pada petang Jumaat.

88 daripada 181 sekolah rendah di Singapura, menerima lebih banyak permohonan daripada tempat yang ada.

Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok merupakan sekolah yang menerima paling banyak permohonan berbanding tempat tersedia dalam fasa ini dengan lima kali pemohon berbanding tempat kosong.

Di bawah perubahan kepada latihan pendaftaran Darjah 1 tahun ini, setiap sekolah rendah mesti ketepikan 40 tempat untuk Fasa 2C, naik daripada 20 tempat yang dikhusukan sebelum ini.

Sekolah Rendah Princess Elizabeth menerima 278 permohonan bagi 55 tempat tersedia, manakala Nan Hua mempunyai 191 pemohon untuk 40 tempat.

Sekolah Rendah Northland menerima 199 permohonan untuk 42 tempat kosong, manakala Sekolah Rendah South View mempunyai 177 pemohon untuk 40 tempat yang ditepikan.

Daripada 88 sekolah yang menerima permohonan melebihi tempat yang tersedia, 83 akan menjalankan undian.

Sekolah Rendah Anderson, St Joseph’s Institution, Sekolah Rendah Fengshan, Kuo Chuan Presbyterian, Sekolah Rendah Qifa dan Sembawang akan menjalankan undian untuk kanak-kanak Singapura yang tinggal antara 1km dan 2km dari sekolah itu.

Sekolah rendah Tanjong Katong, White Sands, St Margaret's dan CHIJ Our Lady of the Nativity akan menjalankan undian untuk kanak-kanak Singapura yang tinggal di luar jarak 2km dari sekolah itu.

Bagi pemohon ke sekolah rendah Punggol View, Naval Base, Lakeside dan Innova, undian akan dijalankan untuk kanak-kanak penduduk tetap yang tinggal dalam jarak 1km dari sekolah.

Sekolah Methodist Geylang akan menjalankan undian untuk kanak-kanak penduduk tetap yang tinggal di luar lingkungan 2km dari sekolah.

Kecuali 15 sekolah tersebut, sekolah lain yang menerima permohonan melebihi tempat yang ada akan menjalankan undian hanya untuk kanak-kanak Singapura yang tinggal dalam jarak 1km dari sekolah itu.

Dua sekolah yang tidak menerima permohonan lebih tinggi berbanding tempat tersedia, juga akan menjalankan undian. Sekolah Rendah Opera Estet dan Sekolah Rendah Bukit Timah mempunyai had bilangan bagi kanak-kanak PR yang boleh mereka terima.

Ini bermakna bagi kedua-dua sekolah itu, semua kanak-kanak Singapura diterima masuk. Pengundian akan dijalankan untuk kanak-kanak PR yang tinggal di luar jarak 2km dari sekolah.

Secara keseluruhan, 85 sekolah rendah akan menjalankan undian dalam fasa ini.

Keputusan akan dikeluarkan pada 10 Ogos.

5 SEKOLAH TIDAK ADAKAN UNDIAN

Lima sekolah yang menerima permohonan lebih tinggi tidak akan menjalankan undian.

Sekolah Rendah St Anthony, Paya Lebar Methodist Girls’, serta Sekolah Rendah Alexandra hanya mempunyai tempat bagi kanak-kanak Singapura yang tinggal dalam jarak 1km dari sekolah.

Sekolah Rendah Jurong West hanya ada tempat kosong untuk kanak-kanak Singapura, manakala Sekolah Rendah Ngee Ann ada tempat kosong untuk semua kanak-kanak Singapura dan kanak-kanak PR yang tinggal dalam jarak 2km dari sekolah itu.
Sumber : CNA/SU/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan