Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: Permohonan jangkaui peruntukan di 89 sekolah; perlu mengundi bagi Fasa 2C

Ibu bapa yang memohon bagi 89 sekolah rendah akan mengundi untuk mendapatkan tempat buat anak mereka di Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini, menurut data Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (12 Ogos). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: Permohonan jangkaui peruntukan di 89 sekolah; perlu mengundi bagi Fasa 2C

(Gambar fail: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 13 Aug 2021 01:51PM Dikemas Kini : 13 Aug 2021 01:52PM

SINGAPURA: Ibu bapa yang memohon bagi 89 sekolah rendah akan mengundi untuk mendapatkan tempat buat anak mereka di Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini, menurut data Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (12 Ogos).

Ini bermakna sekitar separuh daripada 181 sekolah rendah di Singapura akan menjalankan pengundian bagi fasa itu. Daripada jumlah sekolah itu, enam menawarkan hanya 20 tempat kosong.

Sekolah-sekolah tersebut adalah: Sekolah Rendah Ai Tong, Sekolah (Rendah) St Nicholas Girls’, Sekolah Rendah Nanyang, Sekolah Rendah Rulang, Sekolah Rendah South View dan Sekolah Rendah St Hilda's.

Daripada enam sekolah itu, Sekolah Rendah South View dan Sekolah Rendah St Hilda's menerima pendaftaran melebihi jumlah tempat kosong yang ditawarkan, dengan masing-masing 130 pemohon dan 118 pemohon merebut 20 tempat kosong setiap satu.

Fasa 2C, yang ditutup pada 5 Ogos lalu, adalah bagi kanak-kanak yang tiada ikatan dengan sekolah itu. Ia lazimnya fasa yang paling sengit dari segi permohonan.

Di bawah fasa itu, 20 tempat diperuntukkan bagi murid yang tidak mempunyai keutamaan kemasukan dan permohonannya adalah berdasarkan jarak antara rumah dengan sekolah.

MOE sedang menyemak rangka kerja pendaftaran Darjah 1 untuk melihat sama ada jumlah tempat kosong yang diperuntukkan bagi kanak-kanak tanpa keutamaan kemasukan boleh ditambah, menurut MOE pada Mac lalu.

Persaingan bagi tempat kosong di sekolah-sekolah popular kian meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan lebih banyak sekolah terpaksa menjalankan pengundian, menurut Menteri Pendidikan Lawrence Wong pada ketika itu.

“Sekolah-sekolah popular seumpama itu tidak terbatas kepada sesebuah kawasan khususnya... Akibatnya, sekalipun dengan 20 tempat kosong diperuntukkan bagi Fasa 2C, sesetengah kanak-kanak tidak dapat bersekolah berhampiran dengan rumah mereka," ujarnya.

Dua sekolah di Punggol - Sekolah Rendah Valour dan Sekolah Rendah Oasis - bagaimanapun tidak akan menjalankan pengundian meskipun ia menerima permohonan melebihi tempat kosong yang diperuntukkan.

Sekolah-sekolah tersebut hanya mempunyai tempat kosong buat kanak-kanak warga Singapura yang tinggal dalam julat jarak satu kilometer dari sekolah, menurut MOE di lamannya.

Antara sekolah yang paling sukar untuk mendapatkan tempat bagi Fasa 2C termasuk Sekolah Rendah Northland, Sekolah Rendah Nan Hua, Sekolah Rendah Princess Elizabeth dan Sekolah Rendah Chongfu.

Sekolah Rendah Northland di Yishun menyaksikan 191 pemohon bagi 28 tempat kosong manakala Sekolah Rendah Nan Hua di Clementi mempunyai 141 ibu bapa yang memohon bagi 21 tempat kosong buat anak mereka.

Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok pula mempunyai 236 ibu bapa memohon bagi 45 tempat kosong dan Sekolah Rendah Chongu di Yishun menyaksikan 126 pemohon merebut 33 tempat kosong yang disediakan.

Sekolah Rendah Opera Estate di Siglap mempunyai 112 tempat kosong bagi Fasa 2C dengan 36 daripadanya diperuntukkan bagi Penduduk Tetap (PR). Terdapat 77 pemohon di bawah Fasa 2C dan kesemua kanak-kanak warga Singapura itu dimasukkan ke sekolah berkenaan, menurut MOE di lamannya.

Pengundian akan dijalankan bagi kanak-kanak PR yang tinggal di luar julat dua kilometer dari sekolah berkenaan kerana ia sudahpun mencapai had kemasukan bagi mereka. Baki tempat kosong di bawah Fasa 2C Tambahan hanya akan diperuntukkan untuk kanak-kanak rakyat Singapura. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan