Skip to main content

Singapura

Pendaftaran Darjah 1: Jumlah tempat dalam Fasa 2A berkurangan 867 tahun ini

Sebuah sekolah rendah tidak lagi akan menerima pendaftaran daripada anak-anak kepada anggota alumni sekolah tersebut dalam sesi pendaftaran Darjah 1 tahun ini, iaitu Sekolah Rendah Canossa Catholic.

Anggaran Waktu Membaca:
Pendaftaran Darjah 1: Jumlah tempat dalam Fasa 2A berkurangan 867 tahun ini

Seorang pelajar memakai pelitup sambil mengambil peperiksaan di sekolah. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 08 Jul 2026 06:21PM Dikemas Kini : 08 Jul 2026 06:22PM
SINGAPURA: Sebuah sekolah rendah tidak lagi akan menerima pendaftaran daripada anak-anak kepada anggota alumni sekolah tersebut dalam sesi pendaftaran Darjah 1 tahun ini, iaitu Sekolah Rendah Canossa Catholic.

Menurut data yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) pada Rabu (8 Jul), jumlah tempat yang ditawarkan dalam Fasa 2A berkurangan 867 bagi semua sekolah rendah.

MOE mengurangkan jumlah pengambilan murid Darjah 1 bagi kebanyakan sekolah pada awal tahun ini disebabkan oleh saiz kohort pelajar yang semakin merosot pada 2027 dan pada tahun-tahun mendatang.

Pada ketika itu, MOE menyatakan pengurangan itu akan mengehadkan keperluan untuk menggabungkan atau memindahkan lokasi sekolah, serta mengekalkan taburan baik sekolah-sekolah rendah untuk murid-murid di seluruh Singapura.

Sekolah Rendah Canossa Catholic, yang mempunyai 120 tempat secara keseluruhan, menyaksikan 61 murid mendaftar bagi Fasa 1, yang diperuntukkan bagi para pelajar yang mempunyai adik beradik yang bersekolah di sekolah itu.

Dengan 60 tempat diperuntukkan bagi Fasa 2B dan 2C, ini bermakna tiada lagi slot terbuka bagi Fasa 2A, yang diperuntukkan khas bagi anak-anak kepada ahli alumni sekolah tersebut.

Kanak-kanak yang ibu bapa mereka merupakan anggota kakitangan di sekolah itu, atau anggota jawatankuasa pengurusan atau penasihat sekolah, juga tergolong dalam fasa itu.

Mereka yang menghadiri tadika MOE di bawah bidang kuasa dan terletak dalam sekolah rendah itu juga boleh mendaftar di bawah Fasa 2A.

Sekolah itu bergabung dengan Sekolah Canossian pada 2025 untuk menjadi sekolah rendah arus perdana yang ditetapkan untuk menyokong murid-murid yang mengalami masalah pendengaran tahap sederhana hingga ketara, yang mampu mengikuti kurikulum pembelajaran sekolah rendah kebangsaan dan menggunakan pendekatan lisan.

Tahun lalu, ia mempunyai 19 tempat dalam Fasa 2A.

Berbanding dengan 2025, secara keseluruhan terdapat kurang 1,460 tempat yang ditawarkan pada 2026 .

Daripada 179 sekolah rendah yang ada di Singapura, 61 mengurangkan jumlah pengambilan pelajar namun 12 sekolah pula menambah jumlah tempat yang ditawarkan.

Sekolah seterusnya dengan jumlah slot yang lebih rendah dalam Fasa 2A adalah Sekolah Rendah Pasir Ris, yang boleh mengambil 17 murid dalam Fasa 2A.

Keseluruhan jumlah tempat kosong di sekolah itu berkurangan daripada 180 kepada 150 pada 2026.

Sekolah dengan jumlah pendaftaran lebih tinggi paling banyak dalam Fasa 2A pada tahun lalu, iaitu, Sekolah Rendah Gongshang, tahun ini mempunyai 124 tempat tersedia dalam Fasa 2A, berbanding 67 pada tahun lalu.

Pihak sekolah itu menambah 40 lagi tempat kepada jumlah keseluruhan pengambilan tahun 2026.

Sekolah Rendah Nanyang, yang sering menerima permohonan melebihi kuota dalam Fasa 2A, mempunyai 125 tempat dalam Fasa 2A, berbanding 144 pada 2025.

Ia mengurangkan jumlah pengambilan daripada 390 kepada 260 pada 2026.

Pendaftaran bagi Fasa 2A akan bermula pada 9.00 pagi Khamis (9 Jul) dan ditutup pada 4.30 petang pada Jumaat (10 Jul).

Keputusannya akan diumumkan pada 17 Julai.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita